Please complete the required fields.



Malaysia Bersuara

Kematian Rocky: Apa Undang-Undang Malaysia Mengenai Penangkapan Haiwan Jalanan?

Undang-undang

Di Malaysia, hak haiwan dipelihara menerusi Akta Kebajikan Haiwan 2015, khususnya Seksyen 29 yang melarang sebarang bentuk seksaan atau penganiayaan terhadap haiwan

Oleh: Sharifah

Diterbitkan : 07/08/2026

Pada 29 Julai 2026, negara digemparkan dengan isu seekor anjing dikenali sebagai Rocky, yang terbunuh sewaktu operasi tangkapan di kawasan kejiranan Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang, Selangor dijalankan oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan penduduk setempat.

Difahamkan Rocky menjadi mangsa dalam pergelutan yang berlaku antara pihak berkuasa yang menjalankan operasi tangkapan dengan individu yang mendakwa sebagai pemiliknya, Roghini Devi, apabila kedua-dua pihak saling menarik tali jerat (catch pole) yang digunakan menyebabkan leher haiwan itu terjerut.

Sehubungan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS) telah menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada 5 Ogos bagi tujuan penelitian dan pertimbangan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd Hamid Hussain menjelaskan tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika operasi tangkapan yang mengakibatkan kematian Rocky.

 

Banyak Kes Babitkan Kematian Anjing Di Malaysia

Ini bukanlah kali pertama kes membabitkan kematian anjing berlaku. Pada tahun 2023, kecoh isu anjing jalanan dikenali sebagai Kopi yang ditembak mati ketika operasi dijalankan oleh pihak berkuasa di Besut, Terengganu. 

Pada Mac 2026, 11 ekor anjing jalanan yang dijaga oleh komuniti tempatan ditemui mati dipercayai akibat diracun di Taman Malaysia, Seremban.

Malah sekitar Julai lalu, 50 anjing termasuk yang bertuan dan liar juga dipercayai diracun dalam tempoh sebulan di Pusat Perindustrian Sungai Chua in Kajang

Keadaan ini membuatkan ramai golongan masyarakat mula cakna dengan kebajikan haiwan jalanan, khususnya anjing liar, yang sering berdepan stigma sebagai haiwan yang berbahaya.

Dalam masa sama, diingatkan bahawa anjing liar juga boleh mendatangkan bahaya jika tidak dikawal dan tindakan yang bersesuaian harus dilakukan oleh pihak berkuasa bagi menjamin kebajikan kedua-dua belah pihak.

Di bawah undang-undang negara, orang ramai khususnya penduduk setempat mempunyai hak untuk melaporkan sebarang haiwan liar, termasuk anjing jalanan, yang dipercayai mendatangkan bahaya agar tindakan diambil oleh pihak berkuasa.

 

Akta Kebajikan Haiwan Lindungi Hak Haiwan

Hak haiwan dipelihara menerusi Akta Kebajikan Haiwan 2015, khususnya Seksyen 29 yang melarang sebarang bentuk seksaan atau penganiayaan terhadap haiwan, termasuk memukul, tidak menjaga kebajikan haiwan yang dikurung, mencacatkan haiwan, meracun dan membunuh haiwan.

Sesiapa yang melakukan mana-mana kesalahan di bawah seksyen ini boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000, atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Menurut peguam, M Partiben, tindakan juga boleh dipertimbangkan di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan, bergantung kepada hasil siasatan pihak berkuasa.


Larangan Membunuh Haiwan Dengan Sengaja

Seksyen 30(1) akta sama pula menegaskan bahawa membunuh dengan menembak menggunakan senjata api anjing, kucing atau haiwan lain yang ditetapkan adalah perbuatan yang melanggar undang-undang dan boleh dikenakan tindakan sama seperti di atas.

Sumber: Akta Kebajikan Haiwan 2015

Pun begitu, subseksyen (2) menetapkan bahawa terdapat situasi di mana pembunuhan haiwan dibenarkan dalam keadaan tertentu termasuk:

  • Mencegah bahaya yang nyata kepada kehidupan atau anggota badan manusia
  • Bagi tujuan kawalan populasi oleh pihak berkuasa yang dibenarkan di bawah undang-undang


Pihak Berkuasa Tempatan Diberi Kuasa Menangkap Haiwan Jalanan

Demi melindungi kebajikan orang awam, pihak berkuasa menjalankan operasi tangkapan anjing liar, kebiasaannya apabila terdapat aduan yang dibuat.

Di Malaysia, kuasa menangkap haiwan jalanan, termasuk anjing dan kucing liar, tertakluk kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil Haiwan Merayau dengan bidang kuasa bergantung kepada kawasan masing-masing. 

Sebagai contoh di Selayang, PBT mempunyai kuasa untuk menangkap anjing dan kucing yang terbiar atau berkeliaran. Namun operasi tangkapan hanya meliputi kawasan awam sahaja dan tidak termasuk kawasan persendirian seperti kilang, bangunan persendirian, institusi pendidikan, tanah persendirian dan bangunan berstrata.

Dalam pada itu, haiwan yang ditangkap akan disimpan sementara di Pusat Tahanan Haiwan Majlis Perbandaran Selayang bagi tujuan siasatan, adopsi, tuntutan semula ataupun pelupusan.

Memetik Berita Harian, sebanyak 15,120 ekor anjing liar di Selangor telah ditangkap oleh pihak berkuasa sepanjang tahun 2025. Sebanyak 10,333 aduan berkaitan anjing liar telah diterima oleh PBT di Selangor pada tahun sama yang membabitkan aspek keselamatan, kebersihan dan gangguan kepada masyarakat setempat, dengan 9,907 daripada aduan itu diselesaikan.


Perlu Ada Lesen Jika Pelihara Anjing

Devi dalam satu sidang akhbar pada 5 Ogos, menjelaskan bahawa dia merupakan pemilik Rocky dan mengakui anjing tersebut tidak mempunyai sebarang lesen sah. Namun dia berkata dia ketika itu memaklumkan sanggup menyerahkan Rocky sendiri kepada pihak berkuasa secara sukarela.


“Kalau nak ambil Rocky, saya sendiri boleh bawa dia. Saya mengaku Rocky tiada lesen, tetapi saya merayu kepada mereka berkali-kali untuk lepaskan anjing itu daripada jerat,” katanya dipetik TRP.

Sebagai info, seorang individu yang mahu memelihara seekor anjing wajib mendapatkan lesen yang sah daripada PBT. 

Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan haiwan tersebut dianggap sebagai haiwan liar dan ditangkap, disita, atau individu terbabit dikenakan denda sehingga RM10,000 bergantung kepada PBT.

Pun begitu, Presiden Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia, Kalaivanan Ravichandran berkata, ketiadaan lesen tidak bermakna seekor anjing boleh dipukul atau dianiaya sehingga menyebabkan kematiannya.

Di samping itu, pemilik anjing yang berlesen juga bertanggungjawab sekiranya anjing peliharaannya mendatangkan bahaya kepada orang lain termasuk mencederakan atau menggigit. 

Dalam situasi ini, pemilik boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.


Pelbagai Usaha Dijalankan Bagi Kebajikan Haiwan Jalanan & Kawalan Populasi

Dalam menangani isu populasi haiwan jalanan yang kian meningkat, terdapat kerajaan negeri yang tampil dengan solusi alternatif bagi mengelakkan pelupusan (put to sleep). 

Contohnya, kerajaan Perak pada Julai 2025, mencadangkan tiga strategi utama sebagai alternatif, iaitu:

  1. Program Pemandulan Bersubsidi di bawah kempen Perak Pawsitive Initiative, sebagai langkah kawalan populasi jangka panjang serta untuk memupuk budaya pemeliharaan yang lebih bertanggungjawab.
  2. Galakan Kempen Adopsi, bagi memberi peluang kedua kepada haiwan yang terbiar dan memerlukan kasih sayang.
  3. Perwartaan tanah bagi tujuan penubuhan Pusat Perlindungan/Shelter, yang akan diuruskan oleh NGO untuk menjaga haiwan jalanan yang tidak dituntut atau tidak diadopsi.

Selain itu terdapat juga usaha ‘Trap, Neuter & Release’ (TNR) yang dijalankan oleh kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, pihak berkuasa tempatan dan kumpulan advokasi haiwan bagi mengawal populasi haiwan liar daripada terus membiak.

Rujukan:

  1. https://www.dvs.gov.my/dvs/resources/user_1/2024/Akta/Akta%20Kebajikan%20Haiwan%202015%20[Akta%20772]/Akta_Kebajikan_Haiwan_2015_[Akta_772]_versi_Bahasa_Malaysia.pdf
  2. https://malaysiagazette.com/2026/08/01/partiben-gesa-pelaku-bunuh-anjing-di-port-klang-didakwa-segera/
  3. https://www.mps.gov.my/ms/tangkapan-haiwan-terbiar
  4. https://www.bharian.com.my/rencana/minda-pembaca/2026/08/1597912/tangani-isu-haiwan-jalanan-imbangi-keselamatan-awam-dan-nilai
  5. https://www.therakyatpost.com/news/2026/08/06/justice-for-rocky-owner-speaks-up-selangor-dvs-says-its-now-in-dpps-hands/
  6. https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2026/07/31/animal-welfare-group-wants-probe-into-alleged-torture-killing-of-dog
  7. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/lelaki-dipenjara-sebulan-anjing-peliharaan-cederakan-wanita-416328