Lebuhraya utama di dalam negara, termasuk Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), sering mengalami masalah kesesakan jalan raya yang teruk, lebih-lebih lagi ketika musim perayaan, cuti sekolah dan apabila terdapat kerja-kerja baik pulih sedang dijalankan.
Demi mengurangkan kesesakan, pihak konsensi lebuhraya tampil dengan inisiatif ‘Smart Lane’ yang diperkenalkan pada tahun 2019 di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE).
Menerusi inisiatif ini, laluan kecemasan di bahagian tertentu lebuh raya akan dibuka buat sementara waktu bagi meningkatkan kapasiti lorong di lebuh raya ketika tempoh trafik tinggi, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Pun begitu, masih ramai pengguna jalan raya yang kurang cakna dengan inisiatif Smart Lane dan menuduh mereka yang menggunakan lorong kecemasan terbabit sebagai melanggar undang-undang.
Lebih teruk lagi apabila ada yang sehingga menghalang laluan tersebut semata-mata kerana menganggap mereka mengambil kesempatan terhadap lorong kecemasan untuk memotong trafik.
Baca Artikel Berkaitan: “Selfish Betul” – Wanita Berang Dihalang Proton e.Mas Ketika Guna Smart Lane
Kawasan dengan Smart Lane boleh dikenal pasti menerusi papan tanda ‘PENGAKTIFAN SMART LANE’ berwarna kuning yang terdapat di bahu jalan.
Namun ini tidak bermakna inisiatif itu diaktifkan sepanjang masa. Sebaliknya, pemandu perlu memerhatikan pada lampu yang kebiasaannya terdapat di atas papan tanda tersebut.
Smart Lane hanya diaktifkan apabila lampu berwarna hijau, Lampu Hijau Berkelip (Green Flashing Light), dihidupkan dan berkelip-kelip. Jika tidak, ini bermakna Smart Lane tidak diaktifkan dan menggunakan laluan kecemasan di kawasan tersebut menjadi satu kesalahan.
Dalam masa sama, terdapat juga Smart Lane yang sudah ditetapkan hari dan waktu pengaktifannya berdasarkan info tertera pada papan tanda. Contohnya, ada yang diaktifkan dari 8 pagi hingga 10 malam, dan ada juga yang dari 8 pagi hingga 7 petang.
Berdasarkan perkongsian orang awam, sesetengah lokasi Smart Lane pula akan menerbalikkan papan tanda bertentangan dengan arah trafik apabila tidak diaktifkan.
View on Threads
Selain itu, pengaktifan Smart Lane boleh diketahui menerusi maklumat yang dikongsi oleh pihak lebuh raya menerusi laman media sosial atau kenyataan rasmi.
Selalunya menjelang musim perayaan, pihak lebuh raya akan mengeluarkan kenyataan yang menyenaraikan kesemua kawasan Smart Lane yang akan diaktifkan dalam tempoh tersebut.
Seperti pada Mac 2026, pihak PLUS telah mengaktifkan 34 lokasi Smart Lane di seluruh negara sempena perayaan Aidilfitri.
Dalam masa sama, pengaktifan Smart Lane di kawasan tertentu juga boleh disemak menerusi makluman di media sosial seperti di bawah.
6:02hrs Pengaktifan ‘Smartlane’ Km 289.4 – Km 292.6 arah Utara dari Putra Mahkota ke Southville. Lorong kecemasan boleh dilalui dilokasi. Kenderaan ringan gunakan ‘Smartlane’. Trafik terkawal. Pandu berhati-hati. Harap maklum.@llminfotrafik pic.twitter.com/RwmE2P7LGx
— plusline1800880000 (@plustrafik) August 19, 2026
Berdasarkan pengamatan penulis sebelum ini, terdapat lokasi Smart Lane yang ditempatkan sebelum susur keluar dari lebuh raya. Perkara ini dipercayai bagi memudahkan pengguna lebuh raya untuk keluar ke tol yang diingini.
Walaupun Smart Lane diaktifkan, ini tidak bermakna pemandu boleh menggunakan laluan tersebut dengan sesuka hati sahaja. Apa yang paling penting, pastikan dahulu lorong Smart Lane berkenaan sedang diaktifkan sebelum menggunakannya.
Selalunya, papan tanda Pemberitahuan Smart Lane akan diletakkan sekitar 1 kilometer atau 500 meter sebelum bermulanya laluan Smart Lane.
Memandangkan laluan Smart Lane kurang lebar berbanding lorong lain, pemandu juga diingatkan agar berhati-hati dengan saranan kelajuan tidak melebihi 60km/j.
Perhatikan juga papan tanda yang menandakan lokasi Smart Lane telah tamat dan masuk semula ke lorong asal secara berhati-hati dengan memasang lampu isyarat.
Diingatkan juga bahawa Smart Lane hanya boleh digunakan oleh kenderaan ringan dan kenderaan persendirian sahaja.
Buat yang masih belum tahu, penggunaan lorong kecemasan ketika Smart Lane diaktifkan adalah dibenarkan sama sekali mengikut undang-undang. Sebaliknya, ia akan menjadi kesalahan sekiranya lorong terbabit digunakan apabila Smart Lane tidak diaktifkan.
Orang ramai turut diingatkan agar menggunakan Smart Lane dengan bertanggungjawab dan berhati-hati, serta mengikut peraturan yang ditetapkan.
Diingatkan juga bahawa penggunaan lorong kecemasan di luar lokasi Smart Lane adalah dilarang sama sekali, kecuali dalam keadaan yang benar-benar memerlukan.