Petisyen

Kekalkan Vape Secara Sah di Malaysia: Kawal Selia, Bukan Haramkan

Kekalkan Vape Secara Sah di Malaysia: Kawal Selia, Bukan Haramkan

2,289 Tandatangan

211 lagi diperlukan untuk mencapai 2,500

Oleh : Lukman Bin Elias

Diterbitkan : 05/08/2025 - Disunting : 05/08/2025

Petition to

Kekalkan Vape Secara Sah di Malaysia: Kawal Selia, Bukan Haramkan

Kami yang menandatangani kenyataan ini ingin menyeru kerajaan Malaysia untuk mengekalkan vape sebagai produk sah dan dikawal selia dengan sewajarnya. Pengharaman total hanya akan membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

Vape bukan sekadar trend. Bagi ramai daripada kami, ia satu-satunya jalan yang benar-benar membantu untuk berhenti merokok. Kajian di UK pada tahun 2021 mendapati perokok yang beralih kepada vape hampir dua kali ganda lebih berjaya berhenti merokok berbanding mereka yang menggunakan patch nikotin atau berhenti secara mengejut.

Di Malaysia, lebih 1.1 juta orang dewasa kini menggunakan vape. Ramai antara mereka adalah bekas perokok yang beralih demi kesihatan diri dan keluarga. Jika vape diharamkan sepenuhnya, ia tidak akan menghentikan penggunaan nikotin, sebaliknya ia membuang salah satu alternatif paling berkesan yang wujud pada ketika ini, dan berisiko menjerumus orang ramai kembali ke tabiat merokok yang sudah mereka tinggalkan.

Perkongsian Kisah Peribadi

Saya merokok lebih 10 tahun. Sudah pelbagai cara saya cuba, gula-gula getah nikotin, patch, batang herba, tapi semuanya gagal. Saya tetap kembali merokok. Dua tahun lalu, saya cuba vape. Saya pun tak letak harapan tinggi. Tapi dalam sebulan, saya berhenti merokok sepenuhnya. Batuk saya hilang. Tidur lebih lena. Nafas jadi lebih lancar buat pertama kali dalam bertahun-tahun, saya merasa hidup kembali. Vape bukan saja membantu saya berhenti, malah memberikan saya kehidupan semula.

Saya tidak keseorangan. Ada ribuan lagi di luar sana yang tidak mahu melanggar undang-undang atau menyusahkan sesiapa, cuma mahu membuat pilihan yang lebih baik untuk diri sendiri.

Mengharamkan vape tidak akan menghentikan penggunaannya. Ia hanya akan mewujudkan pasaran gelap yang tidak terkawal di mana ia lebih bahaya, lebih berisiko. Tanpa pemantauan yang betul, kita bakal berdepan dengan cecair palsu, peranti tidak selamat, dan pendedahan kimia yang membimbangkan. Pada masa yang sama, negara akan kehilangan hasil cukai, dan ribuan pekerjaan dalam industri tempatan mungkin lenyap sekelip mata.

Industri vape di Malaysia bukan hanya tentang pengguna. Ia turut menyokong perniagaan kecil, terutamanya dalam kalangan usahawan muda dan komuniti B40. Ini adalah satu ekosistem yang sedang berkembang, dan jika dikawal dengan baik ia boleh memberi manfaat kepada kesihatan awam, ekonomi dan rakyat dewasa yang bertanggungjawab.

Kami bukan menolak peraturan. Malah kami menyokong kawal selia. Had umur yang ketat, label yang jelas, ujian keselamatan, lesen yang sah — semua itu penting. Tapi larangan total itu adalah terlalu melampau. Ia menghukum orang dewasa yang sedang berusaha untuk hidup dalam keadaan yang lebih sihat. Malah, seolah-olah menyamakan semua penggunaan vape sebagai penyalahgunaan, dan langsung menafikan kisah sebenar di sebalik mengapa orang ramai memilih untuk menggunakan vape.

Kami merayu kepada Kementerian Kesihatan dan para pembuat dasar untuk mendengar suara rakyat. Jangan tarik alat yang benar-benar membantu sesetengah orang untuk berhenti merokok. Jangan wujudkan pasaran gelap daripada sesuatu yang boleh dikawal selia. Biarlah rakyat Malaysia buat pilihan dengan penuh tanggungjawab.

Kekalkan vape secara sah. Kawal selia dengan bijak. Biarkan ia jadi solusi dan bukan masalah.


Updates

More updates...
Lukman Bin Elias
Lukman Bin Elias
Mengemukakan petisyen ini 2 days ago
211 lagi diperlukan untuk mencapai 2,500

Tandatangan Sekarang

Dengan menandatangani, anda bersetuju untuk menerima emel berkala dari Malaysia Bersuara mengenai kempen-kempen. Anda boleh tarik diri dari melanggan emel-emel ini pada bila-bila masa.

By signing, you accept Campoal’s Terms of Service and Privacy Policy, and agree to receive occasional emails about campaigns on Campoal. You can unsubscribe at any time.