Please complete the required fields.



Malaysia Bersuara

Sistem Pentadbiran Negeri Sembilan & Peranan Ibu Soko Di Bawah Adat Perpatih

Artikel | Budaya

Negeri Sembilan merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang mengamalkan Adat Perpatih, sekali gus menjadikan sistem pentadbirannya berbeza berbanding negeri-negeri lain di dalam negara.

Oleh: Sharifah

Diterbitkan : 07/05/2026

Pada 19 April 2026, kecoh apabila Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak, mengumumkan pengisytiharan  Penurunan Duli Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Namun ada yang mengatakan bahawa pelucutan ini tidak sah memandangkan Mubarak sebenarnya telah dipecat dari jawatannya sebagai Undang sebelum ini.

Situasi ini pastinya menimbulkan kebingungan dalam sebahagian besar masyarakat Malaysia memadangkan ramai yang masih tidak memahami tentang sistem Adat Perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan Amalkan Sistem Matrilineal Adat Perpatih

Umum mengetahui bahawa Negeri Sembilan merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang mengamalkan Adat Perpatih secara keseluruhan (adat ini turut menjadi amalan masyarakat Naning di Melaka), iaitu satu peraturan hidup berteraskan keharmonian masyarakat.

Apa yang lebih unik mengenai adat ini adalah ia bersifat matrilineal, yakni mempunyai sistem kekeluargaan yang berasaskan nasab sebelah ibu, serta mengangkat martabat wanita dalam menentukan pemimpin masyarakat.

Menurut laman web Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, Adat Perpatih yang diasaskan oleh pemimpin Minang, Sutan Balun (Dato’ Perpatih Nan Sebatang), berasal dari Minangkabau, Sumatera.

Dipercayai ia telah dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu sekitar abad ke-14 Masihi oleh perantau Minangkabau yang kemudiannya dijadikan amalan serta peraturan hidup.

Menerusi Adat Perpatih ini, sistem pemerintahan di Negeri Sembilan jelas berbeza berbanding negeri-negeri lain di Malaysia. Seperti dalam kes Undang memecat Yamtuan Besar di atas, mungkin ramai yang bingung bagaimanakah mereka yang berada di hierarki lebih rendah mempunyai kuasa untuk menurunkan seseorang yang menjadi tampuk pemerintahan negeri.

Hierarki Pemerintahan Bottom-Up Adat Perpatih

Untuk memahami lebih lanjut mengenai perkara ini, penting untuk mengetahui terlebih dahulu tentang hierarki pemerintahan Adat Perpatih yang merangkumi Anak Buah, Buapak, Lembaga, Undang dan Yamtuan Besar.

Berbeza dengan kebanyakan sistem pemerintahan lain yang bersifat top-down, sistem Adat Perpatih sebaliknya bergerak dari hierarki bawah ke atas. Ini bermakna lantikan pemimpin bermula dari akar umbi atau masyarakat umum.

Sumber: Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sembilan

Memetik Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sembilan, Anak Buah yang merupakan ahli keluarga yang membentuk Perut akan melantik ketua keluarga digelar Buapak. Mereka memegang tanggungjawab untuk melindungi Perut serta menjalankan adat istiadat berkaitan dengan perkahwinan, upacara bercukur rambut, berkhatan dan penceraian.

Beberapa Perut pula akan membentuk suku, dengan setiap Buapak mempunyai kuasa untuk melantik ketua suku iaitu Lembaga. Sebagai ketua suku, Lembaga bertanggungiawab dalam aspek-aspek yang berkaitan dengan keselamatan dan keamanan, menyelesaikan perbalahan sesama suku, mengawal dan mengadili pembahagian harta pusaka serta menjadi orang perantaraan antara anggota sukunya dengan Undang.

Gabungan beberapa buah suku di suatu kawasan akan membentuk Luak, dan Lembaga akan melantik Penghulu atau Undang yang mengetuai Luak.

Menurut Universiti Kebangsaan Malaysia, terdapat tiga jenis luak di Negeri Sembilan iaitu:

  • Luak Berundang: Luak-luak adat dipimpin oleh Undang Yang Empat yang tidak bernaung di bawah kuasa Yamtuan Besar, merangkumi Luak Sungai Ujong, Luak Jelebu, Luak Johol dan Luak Rembau.
  • Luak Tanah Mengandung: Kawasan yang mempunyai lima luak kecil iaitu Luak Ulu Muar, Luak Jempol, Luak Terachi, Luak Gunung Pasir, Luak Inas yang mengelilingi Seri Menanti.
  • Luak Tampin: Dipimpin oleh pembesar bergelar Tunku Besar.

Tanggungjawab Penghulu atau Undang di setiap jenis luak ini berbeza. Penghulu di Luak Tanah Mengandung bertanggungjawab menjaga dan mengaku taat setia  kepada Yamtuan Besar. Dalam situasi Yamtuan Besar mangkat, Luak Ulu Muar akan membawa berita tersebut kepada Undang Yang Empat.

Undang Yang Empat di Luak Berundang pula bertanggungjawab dalam memilih dan melantik Yamtuan Besar apabila pusaka tersebut kosong. Sedikit berbeza dengan Lembaga, pusaka Undang disandang secara bergilir dalam kalangan perut dalam suku biduanda atau suku waris di luak masing-masing.

Sebagai info, empat orang Undang dilantik dari empat luak ini kerana kesemuanya merupakan daerah yang asal di Negeri Sembilan.

Undang Diberi Kuasa Melantik Yamtuan Besar

Memetik MKN, Undang Yang Empat mempunyai kuasa yang diberikan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) untuk menabalkan Yamtuan Besar Negeri Sembilan.

Malah MalaysiaKini melaporkan perkara ini termasuk kuasa untuk menurunkan takhta Yamtuan Besar, seperti di bawah Perkara 10(1) UUTKNS yang menjelaskan mereka boleh menyingkirkan Yamtuan Besar sekiranya baginda melakukan perbuatan yang menjejaskan kesucian, kehormatan serta martabat jawatan berkenaan.

Tanggungjawab lain Undang Yang Empat termasuk menjadi anggota Dewan Keadilan bersama dengan Yamtuan Besar serta pembesar lain, dan Undang yang berfungsi sebagai badan penasihat dalam hal adat dan pelantikan serta penyingkiran Yamtuan Besar.

Baca Artikel Berkaitan: Isu Takhta Negeri Sembilan: Ini Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini

Ibu Soko: Sosok Wanita Yang Memilih Pemimpin

Namun dalam hierarki pentadbiran Adat Perpatih ini, terdapat satu lagi sosok yang mungkin sering terlepas pandang dan tidak dikenali ramai. Dari tetapan masyarakat inilah muncul para wanita yang turut mempunyai kuasa dalam menentukan pemimpin-pemimpin di negeri itu.

Para wanita yang dikenali sebagai Ibu Soko ini merupakan ketua keluarga yang dipilih oleh keluarga sendiri di samping Buapak serta menjadi pakar rujuk dan penjaga adat dalam sistem Adat Perpatih.

Felo Penyelidik Utama, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Supyan Hussin berkata tanpa kewujudan Ibu Soko, Adat Perpatih ini akan hilang punca dan sejarahnya.

Memetik laman rasmi Lembaga Adat Wilayah Perpatih Naning, Ibu Soko merupakan sosok wanita yang mempunyai kuasa untuk menetukan pemerintah di setiap negeri, wilayah dan kawasan berkenaan. Katanya, walaupun kuasa memerintah diberikan kepada lelaki, tetapi kuasa memilih pemerintah itu dimiliki oleh golongan Ibu Soko.

Malah, Ibu Soko juga dikatakan sebagai individu penting yang boleh memberi persetujuan atau kata putus dalam membatalkan pusaka seseorang.

Rais Yatim Tegaskan Ibu Soko Tiada Kuasa Pecat Undang

Bagaimanapun, veteran politik Datuk Seri Utama Rais Yatim dalam satu episod Keluar Sekejap, berkata Ibu Soko tidak mempunyai kuasa untuk memecat Undang yang telah dilantik, tetapi hanya bertindak sebagai ‘pencari benih’.

Katanya, perkara ini menyalahi undang-undang Luak dan Artikel 14 Perlembagaan Negeri Sembilan.

Sebaliknya pihak yang berkuasa dalam hal ini dikenali sebagai Lembaga Yang Delapan kepada Undang. Malah dalam kes di atas, dikatakan bahawa Ibu Soko yang terlibat telah diragui keabsahannya.

Isu berkaitan Adat Perpatih ini sememangnya adalah sangat rumit, apatah lagi dalam kalangan rakyat biasa yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan tentang sistem yang unik ini.

Rujukan:

  1. https://nslibrary.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=752&catid=29&Itemid=356
  2. https://www.ns.gov.my/kerajaan/info-negeri/pengenalan
  3. https://www.ukm.my/megalitiknegerisembilan/luak/
  4. https://www.ukm.my/megalitiknegerisembilan/luak/
  5. https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2026/05/1541623/ibu-soko-arkib-bergerak-adat-perpatih
  6. https://naning.my/blog/post-27/
  7. YouTube Keluar Sekejap