Please complete the required fields.



Malaysia Bersuara

Tular Beberapa Dakwaan Berkait Komuniti Rohingya, Ketahui Perkara Sebenar

Artikel | Sosial

Dianggarkan terdapat sekitar 126,144 warga Rohingya di Malaysia, yang membentuk kurang 0.4% daripada jumlah populasi di dalam negara.

Oleh: Sharifah

Diterbitkan : 06/06/2026

Baru-baru ini, kecoh di media sosial apabila segelintir individu memuat naik dakwaan-dakwaan tidak berasas membabitkan pelarian Rohingya yang berada di Malaysia.

Antaranya termasuklah dakwaan kes jenayah yang tinggi, mengambil ‘hak’ rakyat di hospital kerajaan, bekerja secara tidak sah terutamanya di pasar borong dan meminta agar diberikan tanah khas di Malaysia.

Dakwaan ini dibuat sementara mereka menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan dan ‘menghantar pulang’ pelarian Rohingya ke negara asal mereka, Myanmar.

Dalam masa sama, ada yang menganggap isu ini mula timbul sementara Malaysia bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum yang akan datang.

 
View on Threads

 

Apa yang lebih membimbangkan lagi adalah apabila petisyen ‘Remove Rohingya from Malaysia’ yang dimulakan pada 29 Mei lalu telah menerima lebih 316,000 tanda tangan setakat artikel ini ditulis.

Petisyen yang dimulakan oleh pengguna dikenali sebagai ‘Aku Anak Malaysia’ itu menggesa pihak berkuasa agar bekerjasama dengan organisasi antarabangsa bagi penyelesaian alternatif kepada ‘masalah’ ini, termasuk penempatan semula ke negara ketiga.

“Kami memahami aspek kemanusiaan situasi ini, tapi kami percaya pendekatan semasa adalah tidak mampan. Penting bagi Malaysia untuk mengutamakan kebajikan dan kestabilan rakyatnya sendiri sementara mencari penyelesaian berperikemanusiaan bagi pelarian,” katanya.

Hanya Sekitar 0.4% Warga Rohingya Di Malaysia Berbanding Keseluruhan Populasi

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), terdapat sekitar 215,600 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar di Malaysia setakat Februari 2026.

Daripada jumlah ini, kira-kira 126,144 ialah bangsa Rohingya yang melarikan diri dari penindasan di Myanmar sejak 1970-an lagi.

Sebagai perbandingan, Jabatan Perangkaan Malaysia menganggarkan sebanyak 34.4 juta penduduk di Malaysia bagi suku pertama 2026.

Dengan jumlah pelarian Rohingya dianggarkan sekitar 126,144, ini bermakna mereka hanya membentuk kurang 0.4% daripada jumlah populasi di dalam negara.

Memetik The Straits Times, sebahagian besar komuniti Rohingya boleh ditemukan di Kuala Lumpur dan Kedah, dengan beberapa kumpulan kecil di negeri lain seperti Kelantan atau Terengganu.

Penempatan Rohingya di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, 2021. (Foto: MalayMail)

Dakwaan Warga Rohingya Minta Tanah Di Malaysia Tiada Bukti

Walaupun terdapat penempatan Rohingya yang wujud di beberapa tempat dalam negara, ini tidak bermakna bahawa mereka telah diberi tanah secara sewenang-wenangnya.

Malah dakwaan bahawa golongan Rohingya menggesa agar mereka diberikan tanah di Malaysia tidak dapat dibuktikan secara sah.

Aktivis hak manusia dari Rohingya, Yasmin Ullah, berkata dakwaan tersebut adalah salah dan sengaja diwujudkan untuk menyebarkan berita palsu dan menjadikan komuniti tersebut sebagai ‘kambing hitam’.

Dia yang juga Pengarah Eksekutif Rohingnya Women Collaborative Network berkata pengesahan yang dilakukan menerusi kenalan di Malaysia mengesahkan bahawa dakwaan yang tular itu telah direka.

“Rakan kami di Malaysia telah menghubungi kumpulan ini yang dilihat dalam hantaran ini. Dan mereka dapati perkara ini sememangnya salah. Ia sengaja dibuat-buat,” katanya dipetik Sinar Daily.

Carian kami bagi kumpulan Facebook Rohingya Solidarity Network Malaysia yang memulakan dakwaan itu adalah tidak berjaya dan dipercayai bahawa akaun itu telah ditutup oleh pihak Facebook.

Warga Rohingya Didakwa Lakukan Banyak Jenayah, Ini Statistik Sebenar

Tiada statistik rasmi yang menunjukkan bilangan jenayah dilakukan oleh warga asing di dalam negara, khususnya yang membabitkan warga Rohingya.

Namun memetik laporan Harian Metro, seramai 9,684 warga asing dari pelbagai negara telah ditahan membabitkan jenayah kekerasan, samun, curi, bunuh, rogol dan lain-lain dari 2021 hingga November 2024.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, antara yang tertinggi melakukan jenayah di negara ini ialah membabitkan warga dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Filipina dan Pakistan.

Walaupun begitu, rekod menunjukkan bahawa kebanyakan warga asing yang ditahan polis ini terdiri daripada dua kategori iaitu yang tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan selepas memasuki negara secara sah dan mereka yang masuk secara haram.

Sebagai perbandingan, terdapat sejumlah 214,486 kes jenayah yang dicatatkan bagi tahun 2021 hingga 2024. Ini bermakna hanya sekitar 4.5% ke 5% jenayah yang dilakukan oleh warga asing bagi tempoh sama.

Sumber data: Statistik Jenayah oleh Jabatan Perangkaan Malaysia

Malah, kami sebelum ini pernah menerbitkan artikel semak fakta yang mendapati warga asing tidak melakukan jenayah pada kadar lebih tinggi berbanding warga tempatan berdasarkan data bagi tahun 2016 hingga 2019.

World Bank Economic Review turut membuktikan bahawa kedatangan pekerja asing ke Malaysia sebenarnya mengurangkan lagi jenayah, terutamanya bagi jenayah harta benda.

Baca Artikel Berkaitan: Adakah Warga Asing Di Malaysia Banyak Melakukan Jenayah Berbanding Warganegara Malaysia?

Pelarian Tidak Diiktiraf Di Sisi Undang-Undang, Dianggap Sebagai PATI

Memandangkan Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, golongan pelarian tidak diiktiraf secara sah di sisi undang-undang dan diklasifikasikan sebagai pendatang tanpa izin (PATI).

Keadaan ini membuatkan mereka tidak boleh mendapatkan akses pekerjaan, pendidikan dan kesihatan secara sah.
Dalam masa sama, pelarian dengan kad UNHCR yang sah dibenarkan untuk tinggal buat sementara waktu dalam negara sebelum dipindahkan ke negara ketiga.

Menurut UNHCR, lebih 88,500 pelarian termasuk golongan Rohingya di Malaysia telah dipindahkan ke negara ketiga dari 2008 hingga Jun 2020.

Dalam pada itu, kerajaan kini menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah memperkenalkan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi golongan pelarian dan pencari suaka.

Menerusi dokumen rasmi ini, golongan terbabit berusia antara 20 ke 40 tahun akan dipadankan dengan pekerjaan yang bersesuaian dalam sektor yang berdepan kekurangan tenaga kerja.

Pun begitu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bukanlah laluan bagi pelarian untuk mendapatkan status pemastautin tetap di Malaysia.

Setakat ini, hanya sekitar 4,000 warga asing, majoritinya golongan Rohingya, yang telah berdaftar.

Rujukan:

  1. https://www.unhcr.org/my/what-we-do/figures-glance-malaysia
  2. https://www.dosm.gov.my/portal-main/release-content/demographic-statistic-malaysia-q12026
  3. https://www.straitstimes.com/asia/se-asia/hari-raya-korban-controversy-reignites-wave-of-anti-rohingya-sentiment-in-malaysia
  4. https://www.sinardaily.my/article/736548/focus/national/rohingya-activist-denies-land-demand-claim-calls-viral-narrative-misinformation-and-scapegoating
  5. https://www.hmetro.com.my/utama/2025/03/1198101/sebanyak-9684-terbabit-jenayah
  6. https://malaysiabersuara.com/petisyen/adakah-warga-asing-di-malaysia-banyak-melakukan-jenayah-berbanding-warganegara-malaysia/
  7. https://www.unhcr.org/my/refugee-fact-check
  8. https://www.channelnewsasia.com/asia/malaysia-refugees-registration-jobs-labour-welfare-6158101