Sejak kebelakangan ini, beberapa kejadian individu menghina agama Islam telah berlaku di Malaysia. Individu yang terbabit telah ditahan dan dikenakan tindakan undang-undang. Bentuk menghina Islam termasuk hinaan terhadap Allah SWT, Nabi Muhammad SAW dan Al-Quran. Ia juga merangkumi persendaan hukum agama menurut al-Quran dan Hadith serta tidak menjaga adab berkaitan perlakuan dalam Islam. Mari kita lihat perkara yang harus dilakukan oleh umat Islam terhadap seseorang yang menghina Islam.
Saranan di dalam al-Quran
Menurut al-Quran, sesiapa yang didapati menghina Islam dalam apa cara sekalipun. Dan tidak bertaubat, akan dimasukkan ke dalam neraka. Salah satu ayat al-Quran adalah seperti berikut:
Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesiapa yang menentang (perintah-perintah) Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya adalah baginya neraka Jahannam serta ia kekal di dalamnya? Balasan yang demikian adalah kehinaan yang besar (At-Taubah 9:63)
Pada masa yang sama, telah diturunkan juga ayat-ayat al-Quran yang menyarankan supaya kita bersabar dalam menghadapi cacian terhadap agama Islam. Saranan ini adalah selaras dengan akhlak Rasulullah SAW yang bersabar menghadapi cacian dan hinaan oleh musuh Islam.
-
Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya) (Ali ‘Imran 3:186)
-
Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu (Al-Hijr 15:95)
-
Oleh itu, bersabarlah engkau (wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan, dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya; dan beribadatlah pada saat-saat dari waktu malam dan pada sebelah-sebelah siang; supaya engkau reda (dengan mendapat sebaik-baik balasan). (Taha 20: 130)
-
Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu dari mereka dengan cara yang baik. (Al-Muzzammil 73:10)
-
Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)! (Al-Muddaththir 74:7)
Terdapat juga ayat al-Quran yang menyarankan supaya kita tidak mengendahkan orang yang jahil, seperti berikut:
Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya). (Al-A’raaf 7:199)
Perintah Allah s.w.t. memaafkan kejahatan orang lain
Ibn Katsir menyatakan bahawa Allah s.w.t. telah memerintahkan Rasulullah SAW untuk memaafkan kejahatan yang dilakukan oleh orang musyrikin seperti di dalam surah Al-Hijr ayat 85, “Maka, maafkanlah (mereka) dengan cara yang baik.”
Selain itu, ayat di bawah merupakan perintah Allah s.w.t. terhadap Rasulullah SAW supaya memaafkan kejahatan yang dilakukan oleh kaum kafir Quraisy melanggar perjanjian sekiranya mereka memohon keampunan:
Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran). Mereka sentiasa mengubah Kalimah-kalimah (yang ada di dalam kitab Taurat dengan memutarnya) dari tempat-tempatnya (dan maksudnya) yang sebenar, dan mereka melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka mereka dengannya. Dan engkau (wahai Muhammad) sentiasa dapat melihat perbuatan khianat yang mereka lakukan, kecuali sedikit dari mereka (yang tidak berlaku khianat). Oleh itu, maafkanlah mereka (jika mereka sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan, kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya. (Al-Ma’idah 5:13)
Kejadian di zaman pemerintahan Rasulullah SAW
Beberapa kejadian penghinaan terhadap Islam, terutamanya terhadap Rasulullah SAW sendiri, telah berlaku ketika zaman pemerintahan Baginda. Hukuman bunuh telah dijatuhkan kepada mereka, sama ada di atas suruhan Rasulullah SAW atau tidak.
Sebuah riwayat oleh Ibnu ‘Abbas menceritakan bahawa Rasullullah SAW pernah bertanya “Siapakah yang akan menyelamatkan aku dari musuh-musuhku?”. Al-Zubair telah membunuh seorang lelaki yang menyakiti Rasulullah SAW, manakala Khalid bin Walid telah membunuh seorang wanita yang sentiasa menghina Rasulullah SAW. Rujuk Abu Bakr ‘Abd al-Razzaq bin Hammam bin Nafi‘ al-Humairi al-Yamani al-Sina‘i, Al-Musannif ‘Abd al-Razzaq.
Menurut Riwayat Abu Daud (4361), Kitab al-Hudud, Bab Hukum Orang Yang Mencela Rasulullah SAW, Ibn Abbas RA menceritakan suatu kejadian lelaki buta yang mempunyai isteri sering menghina Rasulullah SAW. Dia telah melarang isterinya daripada menghina Rasulullah SAW tetapi isterinya masih tidak berhenti. Oleh itu, dia mengambil keputusan membunuh isterinya. Setelah kejadian ini diketahui dan diceritakan kepada Rasulullah SAW, Baginda bersabda “Ketahuilah bahawa darah wanita adalah sia-sia (halal).” Hadis ini adalah sahih dan perawi-perawinya adalah tsiqah.
Rasulullah SAW juga pernah mengeluarkan arahan secara langsung untuk menentang Ka’ab bin Asyraf. Dia merupakan seorang pemimpin Yahudi yang kaya-raya dan sangat membenci Islam, orang-orang Islam serta Rasulullah SAW, sehingga menyeru orang ramai untuk memerangi Rasulullah SAW. Setelah Peperangan Badar yang dimenangi oleh orang Islam, dia ke Mekah dan mendendangkan syair-syair sedih berkenaan kematian kaum musyrikin dengan tujuan membangkitkan kemarahan orang ramai supaya memerangi Rasulullah SAW. Dia kemudiannya pulang ke Madinah dan menghina wanita-wanita Islam, termasuk isteri-isteri para sahabat. Malah, ketika Muhammad bin Maslamah bertemu dengannya dengan niat seolah-olah ingin meminta dipinjamkan makanan untuk diberi sebagai sedekah, Ka’ab meminta supaya digadaikan wanita-wanita atau anak-anaknya. Rasulullah SAW bersabda, “Siapakah yang akan menghadapi Kaab bin Asyraf? Sesungguhnya dia telah menyakiti Allah dan Rasul-Nya!”. Muhammad bin Maslamah serta beberapa orang lain telah mengambil tanggungjawab tersebut dan membunuh Ka’ab bin Asyraf. Rujuk al-Rahiq al-Makhtum oleh Sofiyyurahman al-Mubarakfuri, h. 358-362.
Situasi Rasulullah SAW tidak membunuh orang yang menghina agama
Dalam beberapa kejadian lain, Rasulullah SAW tidak menjatuhkan hukuman bunuh terhadap orang yang menghina agama atau dirinya sendiri. Sebuah hadis dari Riwayat al-Bukhari (4905) menceritakan situasi berkenaan orang munafik di bawah ketua mereka Abdullah bin Ubai yang menghina Islam. Mereka berkata, “Demi Allah jika kami pulang ke kota Madinah, nescaya akan mengeluarkan orang yang mulia daripadanya orang-orang yang hina.” Saidina Umar meminta izin Rasulullah SAW untuk membunuh mereka tetapi Rasulullah SAW bersabda, “Supaya orang ramai tidak bercakap bahawa Muhammad membunuh sahabatnya sendiri.” Seorang tokoh Islam, Al-Hafiz Ibn Hajar berkata Rasulullah SAW membuat keputusan demikian “kerana dibimbangi boleh membawa sebab pembunuhan kepada fitnah atau menjadikan orang ramai liar dan takut untuk memeluk Islam.” Rujuk Fath al-Bari (3/392).
Rasulullah SAW tidak menghukum bunuh seorang berbangsa Yahudi yang berkata “Matilah engkau (Rasulullah)”. Seseorang lagi pernah berkata tentang Rasulullah SAW, “Ini merupakan suatu pembagian di mana wajah Allah tidak dimaksudkan.” Rasulullah SAW berkata, “[Nabi] Musa pernah dicemuh dengan cemuhan yang lebih buruk dari ini, dan Nabi bersikap sabar.” Rujuk Sulaiman bin al-Asy‘as Abu Dawud al-Sajistani al-Azdi, Sunan Abu Dawud, Juz 2, h. 65. Rujuk juga Abu-Abdirrahman Ahmad bin Syu‘aib al-Nasa’i, Sunan al-Nasa’i, Juz 7, h. 122.
Menurut beberapa pendapat, Rasulullah SAW membuat keputusan sebegitu kerana Baginda sedang berusaha untuk menegakkan ajaran agama Islam. Rasulullah SAW bertindak dengan rahmah kepada mereka untuk menarik minat mereka. Baginda berkata kepada sahabat, “Kamu diutus untuk membuat segala sesuatu menjadi mudah. Kamu tidak dikirim agar orang-orang lari meninggalkanmu” dan “Mudahkanlah segala urusan, dan jangan mempersulit”. Rujuk Muhammad bin Isma‘il Abu ‘Abdillah al-Bukhari al-Ja‘fi, Sahih al-Bukhari, Juz 1, h. 38. Rujuk juga Muslim bin al-Hajjaj Abu al-Husain al-Qusyairi al-Naisaburi, Sahih Muslim, Juz 3, h. 1359. Rujuk juga Sulaiman bin al-Asy‘as Abu Dawud al-Sajistani al-Azdi, Sunan Abu Dawud, Juz 2, h. 667. Rujuk juga Abu ‘Abdillah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal bin Asad al-Syaibani, Musnad Ahmad bin Hanbal, Juz 1, h. 131.
Hukuman bunuh hanya dibenarkan terhadap orang yang menghina Rasulullah SAW
Saidina Omar bin Khattab pernah menghukum bunuh seseorang yang menghina Rasulullah SAW. Beliau berkata, “Sesiapa yang mencaci Allah, atau mencaci seseorang daripada para Nabi, maka bunuhlah dia.” Rujuk al-Saif al-Maslul ‘ala Man Sabba al-Rasul ﷺ (hlm. 124) oleh Imam Taqiyuddin al-Subki.
Dalam keadaan lain, seseorang di Kufah telah menghina Khalifah Umar Abdul Aziz. Oleh yang demikian, Abd al-Hamid bin Abd al-Rahman bin Zaid bin al-Khattab telah bertanya kepada Khalifah Umar jika dia dibenarkan untuk membunuh atau mencederakan orang tersebut. Khalifah Umur tidak mengizinkannya dan menyarankan supaya dia memaafkan orang tersebut. Beliau turut berkata seseorang boleh dibunuh jika dia menghina Rasulullah SAW. Rujuk al-Muhalla (14/434)
Hukuman terhadap orang menghina Islam di Malaysia
Menurut undang-undang syariah di Malaysia, seseorang yang menghina Islam boleh dikenakan hukuman. Di bawah Seksyen 55, Bahagian IV, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995, seseorang yang didapati bersalah melakukan sebarang bentuk hinaan atau cubaan hinaan terhadap Islam boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi dua ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. Namun dalam masa sama terdapat juga pelaksanaan undang-undang yang berbeza di antara sesebuah negeri memandangkan urusan undang-undang jenayah syariah di Malaysia adalah tidak seragam, sebaliknya tertakluk di bawah kuatkuasa undang-undang negeri.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menegaskan supaya sebarang bentuk penghinaan terhadap Islam dilaporkan kepada pihak berkuasa agar tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadapnya. Orang ramai tidak seharusnya mengambil tindakan sendiri untuk menghukum pihak yang berasalah, terutamanya dengan kekerasan. Perkara ini adalah kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada imej Islam, umat Islam dan keharmonian negara.