Apakah Hukum Membakar Al-Quran?

Apakah Hukum Membakar Al-Quran?

Ada pihak yang membakar al-Quran sebagai satu bentuk penghinaan

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 30/01/2023 - Disunting : 30/01/2023

Petition to

Apakah Hukum Membakar Al-Quran?

Pada 21 January 2023, seorang ahli politik ekstrimis kanan Sweden telah membakar al-Quran di hadapan kedutaan Turki di Stockholm, Sweden. Ini bukanlah pertama kali dia melakukan sedemikian dan malah pernah membakar al-Quran di beberapa bandar di Sweden. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengeluarkan kenyataan yang mengkritik tindakannya dan menyifatkannya sebagai Islamofobia.  

Jurucakap kepada Miguel Angel Moratinos, wakil tinggi bagi Pakatan Ketamadunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNAOC), berkata walaupun kebebasan bersuara merupakan hak individu yang penting, tindakan membakar al-Quran menunjukkan kebencian terhadap orang Islam. Ia adalah tindakan yang biadap dan menghina Islam, serta tidak seharusnya disamakan dengan hak kebebasan bersuara. 

 

Al-Quran

Al-Quran merupakan kitab suci umat Islam yang menghimpunkan kalimah-kalimah Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui malaikat Jibril. Ia adalah sebuah kitab mahfuz, iaitu kitab yang terpelihara, menurut firman Allah S.W.T:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-zikr (Al-Quran), dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”.

Al-Syahid Hasan al-Banna, pengasas Ikhwan Muslimin, berkata: “Al-Quran al-Karim adalah sebuah perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum Islam. Al-Quran adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu ke dalam hati yang beriman. Al-Quran adalah alat yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara membacanya.

 

Penghinaan terhadap al-Quran

Seseorang dianggap telah merendahkan dan melakukan penghinaan terhadap al-Quran jika sengaja melakukan perkara seperti membuang, mengoyak atau memijak al-Quran. Membakar al-Quran dengan sengaja juga adalah salah satu perkara yang menghina al- Quran. 

Yahya Ibn Sharaf An-Nawawi , atau lebih dikenali sebagai Imam Nawawi berkata:
“Para ulama sepakat wajibnya menjaga dan menghormati Al-Quran. Siapa saja yang melemparnya ke tempat kotor maka ia kafir.” (Al-majmu’ syarhul muhadzdzab 71/2)

Penghinaan kepada al-Quran merupakan salah satu bentuk penghinaan kepada agama Islam. Menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, perbuatan menghina al-Quran adalah kesalahan yang besar dan pelakunya boleh dianggap telah jatuh kufur, iaitu tidak percaya dan beriman kepada Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W.

 

Perbuatan salah laku terhadap al-Quran di Malaysia

Pembakaran al-Quran, atau mana-mana tindakan yang menghina agama, tidak menjadi satu kesalahan di Sweden, dan di banyak negara lain seperti Amerika Syarikat. Namun begitu, di Malaysia, individu yang terbabit boleh dikenakan tindakan undang-undang. Seorang wanita pernah ditahan pada Disember 2022 kerana perbuatan mengoyak dan membakar al-Quran. Dia ditemui melakukan perbuatan tersebut di sebuah tangga tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Jalan Ampang. Walau bagaimanapun, suspek dipercayai sedang mengalami masalah tekanan. 

Di Negeri Sembilan pula, pihak berkuasa telah menemukan longgokan pelbagai perhiasan yang mengandungi ayat al-Quran di tempat pembuangan sampah haram yang disyaki dibuang oleh peniaga perabot di Kawasan Perindustrian Nilai 3. Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Ahmad Zaki Hamzah berkata perbuatan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 50 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 kerana mencela, menghina, dan mempermainkan agama Islam. Pesalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

 

Membakar al-Quran sebagai kaedah pelupusan

Walaupun membakar al-Quran dengan sengaja adalah dilarang agama, namun harus diingat bahawa ia boleh dilakukan jika dengan niat untuk melupuskannya demi menjaga kesuciannya. Perkara ini adalah menurut Imam Khatib al-Syirbini yang berkata:
“Dan makruh membakar kayu yang diukir padanya al-Quran melainkan dengan tujuan penyelenggaraan al-Quran, maka tidak makruh ini seperti yang diambil daripada pendapat Ibn Abd al-Salam berdasarkan perbuatan ‘Uthman R.A yang membakar mushaf” (Mughni al-Muhtaj, 1/152)

Uthman bin Affan R.A., khalifah ketiga Islam, telah membakar mushaf-mushaf (al-Quran) ketika menyatukan umat Islam ketika itu di atas satu mushaf. Menurut ilmuwan Islam Ibn Battal, perintah Uthman R.A. supaya dibakar helaian-helaian dan mushaf-mushaf al-Quran sewaktu isu mengumpulkan al-Quran, menunjukkan bahawa kitab-kitab yang tertulis nama-nama Allah SWT boleh dibakar. Ia bertujuan untuk memuliakan al-Quran, serta menjaganya dari dipijak dan dibuang di atas tanah.

Dr. Zulkifli mencadangkan supaya al-Quran yang hendak dibakar dikumpulkan setempat dan dibakar, serta abunya ditanam selepas itu. Menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pelupusan al-Quran sebaiknya dilakukan dengan cara membakarnya di tempat yang bersih. Kemudian, abunya perlu dikumpulkan dan sama ada dihanyutkan ke dalam laut atau sungai mengalir, atau ditanam di tempat yang tidak dilalui oleh orang ramai. Pada masa yang sama, seseorang yang menjalankan kaedah pelupusan tersebut perlulah dalam keadaan berwuduk. 

 

Hukum membakar al-Quran mengikut niat individu

Boleh disimpulkan bahawa hukum membakar al-Quran adalah mengikut niat individu yang terlibat. Jelas bahawa jika pembakaran dilakukan secara sengaja dan dengan niat untuk menghina al-Quran, individu tersebut dianggap menghina Islam dan boleh jatuh kufur. Sebaliknya, jika al-Quran dibakar untuk melupuskannya dan menjaga kesuciannya, ia adalah diharuskan dan perlu dilakukan berdasarkan tertibnya. Pada masa yang sama, pembakaran kayu yang mengandungi ukiran ayat al-Quran boleh menjadi makruh, melainkan jika untuk melupuskannya.

Tertanya-tanya apakah yang harus kita lakukan sebagai umat Islam apabila Islam dihina? Boleh baca di SINI.


Rujukan:

1. https://www.aljazeera.com/news/2023/1/23/un-body-condemns-quran-burning-in-sweden
2. https://www.moha.gov.my/images/maklumat_bahagian/PQ/Panduan_Rasm_Bab1.pdf
3. https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/2486-bayan-linnas-siri-ke-139-al-quran-kalamullah-yang-mukjizat
4. https://www.indonewstoday.com/agama/pr-2737001449/membakar-al-quran-apa-hukumnya-bagaimana-pandangan-para-ulama-terkait-hal-ini?page=2
5. https://zulkiflialbakri.com/8-penghinaan-terhadap-agama-islam
6. https://www.buletintv3.my/nasional/koyak-bakar-naskah-al-quran-wanita-diberkas/
7. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/12/1044811/tujuh-tan-dekorasi-ayat-al-quran-dibuang-di-tapak-pelupusan-haram
8. http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen2011/State_Enact_Upd.nsf/100ae747c72508e748256faa00188094/b1dc56ccf904b982482572f700069913?OpenDocument
9. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4624-irsyad-fatwa-siri-ke-533-bagaimanakah-kaedah-pelupusan-abu-al-quran

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago