Seorang pengguna Twitter, Azzura, telah membuat kenyataan bahawa nafkah adalah mengikut kemampuan suami dan bukannya kehendak suami. Turut dikongsikan penulisan oleh Syazmee Sapian, seorang peguam syarie, yang menyatakan bahawa pemberian duit belanja sebagai nafkah merupakan “sebuah mitos undang-undang syariah”.
Kepada para wanita, baca apa yang dimaksudkan dengan nafkah. Skrg ni perasan juga, ada yang melampau mendefinisikan nafkah
Celikkan diri dgn ilmu agar jadi wanita yang menyenangkan. Apatah lagi jika suami kita bertanggungjawab
Nafkah ikut KEMAMPUAN suami bukan KEHENDAK isteri https://t.co/eJkS7XcOKp pic.twitter.com/gW9kIoYjJX
— AZZURA (@n_azzurajafri) January 15, 2023
Maksud nafkah
Nafkah adalah perbelanjaan yang perlu dikeluarkan seseorang terhadap ahli keluarga. Dari segi syarak, nafkah adalah pemberian barang keperluan seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Sebuah hadis yang diriwayatkan di dalam Riwayat Abu Dawud daripada Mu’awiyah al-Qusyairi RA menyatakan bahawa beliau telah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hak isteri yang menjadi kewajipan suaminya. Maka Rasulullah SAW menjawab:
“Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah”.
Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaili (al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh), majoriti ulama bersetuju bahawa terdapat tujuh jenis nafkah yang wajib diberi kepada isteri iaitu:
- Makanan
- Barang-barang dapur
- Pakaian
- Tempat tinggal
- Alat-alat untuk membersihkan diri
- Barangan rumah
- Pembantu rumah jika isterinya mempunyai seorang sebelum berkahwin
Hukum memberi nafkah
Pemberian nafkah oleh suami kepada isteri adalah wajib. Jika suami tidak memberi nafkah kepada isteri serta anak-anak, ia akan menjadi suatu dosa. Malah, suami tetap wajib memberikan nafkah kepada isteri yang bekerja walaupun pendapatannya lebih tinggi daripada suaminya. Rasulullah SAW bersabda:
“Cukuplah seorang lelaki itu dikira berdosa apabila dia mengabaikan tanggungjawabnya ke atas sesiapa yang berada di bawah penjagaannya.”
Sunan Abi Daud, al-Maktabah al-Asriyyah Birut, 2/132
Nafkah yang tidak diberi kepada isteri akan dikira sebagai hutang suami terhadap isterinya dan wajib dijelaskan. Walau bagaimanapun, jika isteri memilih untuk menghalalkan nafkah yang dihutang oleh suaminya, hutang tersebut akan gugur. Hal ini bermakna isteri turut sama-sama menyumbang kepada perbelanjaan rumah tangga dan akan mendapat ganjaran pahala bersedekah.
Seorang suaminya sememangnya wajib menunaikan nafkah terhadap isterinya. Namun begitu, suami hanya perlu menanggung keperluan isteri dan bukannya kehendak isteri. Rasulullah SAW menasihati supaya seorang isteri mengambil daripada kekayaan suaminya dengan berpatutan dan yang mencukupi untuk dirinya serta anak-anak (Sahih al-Bukhari 5049, Muslim, 1714).
Memberi duit belanja kepada isteri
Ustaz Farid Rashidi berkata kebanyakan orang salah faham dengan maksud nafkah dan menganggapnya sebagai duit belanja yang diberi oleh suami kepada isterinya. Seperti yang dijelaskan pada awal artikel, terdapat tujuh jenis nafkah yang diwajibkan majoriti ulama dan ia tidak termasuk pemberian wang.
Menurut Syazmee, nafkah isteri berdasarkan undang-undang Malaysia merangkumi makan minum, pakaian, tempat tinggal dan perubatan. Pemberian duit belanja bukan sebahagian daripada nafkah, tetapi suami boleh memilih untuk menguruskan sendiri nafkah atau memberi wang belanja kepada isteri untuk digunakan ke atas perkara-perkara nafkah. Tambah Ustaz Farid, pemberian duit belanja tambahan dilakukan dengan seikhlas hati oleh suami untuk membelanja isterinya.
Ustaz Azhar Idrus, di dalam ceramahnya, menyatakan bahawa pemberian duit belanja bukanlah sebagai nafkah, sebaliknya adalah upah yang diberi kepada isteri atas khidmat-khidmat melakukan kerja rumah. Ia dikira sebagai upah apabila suami melihat isteri melakukan sesuatu yang bukan tugasnya, dan perlu diberi terutamanya apabila isteri meminta dibayarkan upah.
Duit belanja bukan nafkah isteri
Orang ramai perlu mempelajari dan memahami konsep sebenar nafkah mengikut Islam. Nafkah adalah keperluan yang perlu disediakan oleh suami buat isterinya, dan bukanlah pemberian duit belanja. Namun begitu, duit belanja boleh diberikan oleh suami kepada isteri sebagai belanja tambahan ataupun upah kepada isteri kerana melakukan kerja-kerja rumah. Nafkah yang diberi oleh suami adalah untuk menyelesaikan keperluan isteri, bukan kehendaknya, dan diberi berdasarkan kemampuan suami.