Perlukah Suami Memberi Nafkah Kepada Isteri Yang Bekerja

Benar
Perlukah Suami Memberi Nafkah Kepada Isteri Yang Bekerja

Pada masa kini, rata-rata isteri turut bekerja dan membantu suami dalam pengurusan ekonomi rumah tangga

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 05/08/2022 - Disunting : 05/08/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Perlukah Suami Memberi Nafkah Kepada Isteri Yang Bekerja

Orang ramai sedia maklum bahawa suami wajib memberi nafkah kepada isterinya. Namun, dalam dunia moden kini, ramai isteri turut bekerja dan menyumbang kepada perbelanjaan isi rumah. Malah, terdapat banyak situasi yang mana si isteri memperolehi pendapatan yang lebih tinggi berbanding suami. Persoalannya, adakah suami masih perlu memberi nafkah kepada isteri mereka yang bekerja?

 

Apakah itu nafkah?

Nafkah adalah perbelanjaan yang perlu dikeluarkan seseorang terhadap ahli keluarga. Sebuah hadis yang diriwayatkan di dalam Riwayat Abu Dawud daripada Mu’awiyah al-Qusyairi RA menyatakan bahawa beliau telah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hak isteri yang menjadi kewajipan suaminya. Maka Rasulullah SAW menjawab:

“Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah”.

Kredit gambar: Emir Isovic/ Pexels

Isu nafkah turut terkandung di dalam firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah ayat 233: 

“Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.”

Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaili (al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh), majoriti ulamak bersetuju bahawa terdapat tujuh jenis nafkah yang wajib diberi kepada isteri iaitu makanan, barang-barang dapur, pakaian, tempat tinggal, alat-alat untuk membersihkan diri, barangan rumah,  serta pembantu rumah jika isterinya mempunyai seorang sebelum berkahwin.

 

Memberi nafkah kepada isteri bekerja

Menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, seorang suami yang tidak memberikan nafkah kepada isterinya yang bekerja dikira sebagai mengabaikan nafkah isterinya. Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan oleh Aisyah Abu Bakar R.A, seorang wanita bernama Hindun binti Utbah pernah mengadu kepada Rasullah SAW bahawa suaminya, Abu Sufyan, tidak memberikannya nafkah yang mencukupi. Rasullah kemudiannya bersabda:

“Ambillah (daripada harta Abu Sufyan) apa yang mencukupkan kamu dan anak kamu secara baik.”

Abdul Halim Abdullah dari Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia berkata walaupun isteri bekerja dan mempunyai pendapatan lebih besar daripada suami, suami masih wajib memberikan nafkah kepada isterinya. Walau bagaimanapun, isteri boleh membantu suami dalam perbelanjaan rumah mengikut kesesuaian.

Para fuqaha’ telah membahagikan suami kepada tiga golongan iaitu golongan senang, sederhana dan susah. Dalam pemberian nafkah, seorang suami yang susah hanya perlu memberikan nafkah asas seperti makanan ruji dan lauk asas mengikut tradisi setempat. Seterusnya, adalah menyediakan pakaian asas bagi isteri untuk di rumah dan ketika berada di luar serta cukup untuk menutup aurat. Kemudian, suami perlu menyediakan rumah mengikut kemampuannya dan memadai dengan menyewa. Jika suami yang kurang berkemampuan telah menyediakan nafkah-nafkah asas seperti di atas, isteri tidak boleh membuat permohonan fasakh.

Kredit gambar: Pavel Danilyuk/ Pexels

Sekiranya isteri bersetuju untuk sama-sama menyumbang kepada perbelanjaan rumah tangga, dia akan mendapat ganjaran sedekah. Situasi ini adalah berdasarkan sebuah hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Said al-Khudari. Zainab, isteri kepada Abdullah bin Masud telah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Nabi Allah, hari ini Tuan menyuruh saya bersedekah dan saya mempunyai barang-barang perhiasan (barang kemas). Saya ingin bersedekah dengan barang-barang itu lalu Ibnu Masud dan anaknya mendakwa mereka adalah orang-orang yang lebih berhak saya sedekahi”. 

Soalan ini telah dijawab oleh Rasullullah SAW:

“Benar kata-kata Ibn Masud itu, suami dan anak kamu adalah orang-orang yang paling berhak kamu sedekahi mereka”. 

Malah Rasulullah SAW turut menekankan bahawa Zainab mendapat dua ganjaran melalui perbuatannya iaitu ganjaran kekeluargaan (kerana bersedekah kepada keluarga terdekat) dan ganjaran sedekah (Muhammad ‘Atiyyah Khamis 1987).

Kredit gambar: Jack Sparrow/ Pexels

Terdapat juga pandangan bahawa suami tidak perlu memberi nafkah kepada isteri jika dia merasakan kekurangan hak terhadap isterinya, iaitu jika isteri hanya berada dengan suaminya pada waktu malam tetapi sibuk dengan kepentingan dirinya pada waktu siang. Walau bagaimanapun, suami wajib memberi nafkah sekiranya suami telah mengizinkan isterinya bekerja yang bermakna dia reda dengan kekurangan hak terhadap isterinya. Pada zaman sekarang, rata-rata kedua-dua suami isteri menyumbang kepada perbelanjaan keluarga serta sama-sama melakukan kerja rumah dan menjaga anak. 

 

Suami perlu memberi nafkah kepada isteri bekerja

Jelas bahawa tanggungjawab suami memberikan nafkah kepada isteri tidak hilang walaupun isterinya bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri. Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata agama membenarkan jika isteri reda suami tidak memberikan nafkah zahir. Namun begitu, suami perlu berusaha untuk menguruskan dan memberikan nafkah kepada isterinya. Hal ini adalah kerana jika timbul sebarang masalah pada masa hadapan, isteri boleh mengungkit dan perkara ini akan menyebabkan masalah yang lebih besar. 

Di bawah Seksyen 52 dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam, seorang isteri boleh menuntut untuk dibubarkan perkahwinannya atau untuk fasakh jika suaminya telah cuai atau tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan. Jika suami berterusan bergantung kepada kewangan isteri, perkara ini boleh menyebabkan isteri melihat suaminya kurang izzah (kemuliaan). Suami yang penuh izzah akan sentiasa berusaha keras untuk menyediakan nafkah yang secukupnya tanpa bergantung kepada isterinya. 


Rujukan:

1. https://maktabahalbakri.com/226-nafkah-isteri-bekerja/
2. https://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1729-tidak-beri-nafkah-kepada-isteri-yang-bekerja
3. https://www.sinarharian.com.my/article/123261/KHAS/Wacana/Tanggungjawab-beri-nafkah-tak-luput-walaupun-isteri-bekerja
4. https://ir.uitm.edu.my/id/eprint/33450/1/33450.PDF
5. http://www2.esyariah.gov.my/esyariah/mal/portalv1/enakmen/Federal_Updated.nsf/b3ac9c218c8efdc4482568310022d8b3/41d934058010e9a448256fd500158815?OpenDocument

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago