Benarkah Cop Parking Salah Di Sisi Undang-undang?

Benar
Benarkah Cop Parking Salah Di Sisi Undang-undang?

Terdapat individu yang cop petak parkir dengan cara berdiri di dalam petak tersebut

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 22/03/2023 - Disunting : 22/03/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Benarkah Cop Parking Salah Di Sisi Undang-undang?

Baru-baru ini, tular sebuah video yang menunjukkan seorang individu berdiri di petak parkir kereta di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). Individu tersebut melakukan hal sedemikian kerana ingin cop petak parkir itu untuk kereta yang dinaikinya. Sehubungan itu, ramai yang bertanya jika terdapat tindakan undang-undang yang boleh dikenakan ke atas perbuatan cop petak parkir.

Cop tempat letak kereta

Situasi cop petak parkir bukan hanya tertakluk kepada perbuatan seseorang yang berdiri di petak tersebut, tetapi perbuatan meletak sebarang barangan seperti kon, kerusi dan pasu bunga dengan tujuan untuk menghalang kereta lain parkir di situ. 

Kredit: larojtfl/ TikTok

Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), perbuatan ini adalah salah di sisi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 seperti berikut: 

“Jika mana-mana orang melainkan dengan kuasa yang sah, berada di atas mana-mana jalan atau di mana-mana tempat letak kereta bagi maksud mendesak mana-mana orang lain berkenaan dengan penjagaan atau pencucian sesuatu kenderaan motor, atau bagi maksud mengarahkan mana-mana pemandu sesuatu kenderaan motor berkenaan dengan meletakkan kereta di atas jalan atau di tempat itu, dia melakukan suatu kesalahan”

Kesalahan cop petak parkir boleh dikenakan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan untuk kesalahan kali pertama, dan denda sehingga RM4,000 atau penjara sehingga 12 bulan untuk kesalahan berulang. 

 

Apa harus dilakukan jika ada orang halang petak parkir

Memandangkan ia adalah satu bentuk jenayah berkenaan pengangkutan, laporan boleh dibuat kepada pihak JPJ. Pastikan laporan tersebut mempunyai lampiran bukti dari gambar atau video yang menunjukkan nombor plat kenderaan pelaku.

Sebagai tindak balas kepada video viral tersebut, terdapat beberapa individu yang berkata bahawa mereka telah atau akan mengambil tindakan sendiri terhadap pelaku. Antaranya adalah dengan memandu kereta perlahan-lahan masuk ke petak parkir sehingga individu yang cop petak tersebut berganjak. Namun begitu, Ask Legal menasihati supaya tidak melakukan sedemikian kerana melanggar orang adalah suatu jenayah dan boleh didakwa dengan alasan perbuatan yang menakut-nakutkan orang lain di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan. 

Pada masa yang sama, elakkan daripada membuat hantaran video atau gambar yang menampakkan muka pelaku. Hal ini adalah kerana risau jika telah melanggar undang-undang lain seperti kesalahan memalukan individu lain di media sosial. 

 

Cop parkir melanggar undang-undang

Jelas bahawa mana-mana individu tidak mempunyai hak dan tidak boleh cop parkir kereta dengan apa cara sekalipun. Perkara tersebut adalah salah di sisi undang-undang dan pelaku boleh dikenakan tindakan undang-undang menurut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebagai tambahan, cop petak parkir juga salah jika dilakukan di Petak Khas parkir berwarna merah di luar waktu operasi. Sebenarnya, Petak Khas dibuka kepada orang awam di luar waktu operasi dan boleh digunakan oleh sesiapa jua. Info lanjut berkenaan Petak Khas boleh dilihat DI SINI.


Rujukan:

1. https://www.mpbp.gov.my/sites/default/files/aktapengangkutanjalan.pdf
2. https://asklegal.my/p/berdiri-untuk-cop-parking-lapor-jpj
3. https://www.therakyatpost.com/fun/2023/03/22/watch-car-park-hogger-shamelessly-chop-parking-spot-at-matta-fair-laughs-when-confronted/
4. https://malaysiabersuara.com/artikel/semak-fakta/benarkah-boleh-park-kereta-di-petak-khas-pada-waktu-tertentu/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago