Lebih 60% Isi Rumah Terima Pendapatan Kurang Dari Purata Kebangsaan

Lebih 60% Isi Rumah Terima Pendapatan Kurang Dari Purata Kebangsaan

Isi rumah di Malaysia dibahagikan kepada tiga kategori berdasarkan jumlah pendapatan iaitu B40, M40 dan T20

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 10/05/2024 - Disunting : 10/05/2024

Petition to

Lebih 60% Isi Rumah Terima Pendapatan Kurang Dari Purata Kebangsaan

Isu mengenai pendapatan hangat dibincangkan di media sosial, lebih-lebih lagi setelah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa pejawat awam akan menikmati penyelarasan kenaikan gaji tidak lama lagi. Beliau memaklumkan bahawa gaji minimum RM1,765 yang diterima penjawat awam adalah tidak munasabah.

Baca Artikel Berkaitan: Gaji Penjawat Awam Persekutuan Dinaikkan, Negeri Sembilan Akan Ikut Jejak Langkah

 

Umum sedia maklum bahawa Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengkelaskan isi rumah kepada tiga iaitu pendapatan rendah (bottom – B40), sederhana (middle – M40) dan tinggi (top – T20). Namun begitu, pengkelasan ini akan dihapuskan secara berperingkat mulai tahun ini.

Merujuk kepada DOSM, pengkelasan pendapatan isi rumah semasa adalah seperti berikut:

  • B40: Pendapatan kurang RM5,249
  • M40: Julat pendapatan antara RM5,250 dan RM11,819
  • T20: Pendapatan lebih RM11,820 

Seorang saintis data, Thevesh telah berkongsi di laman X data yang dianalisis olehnya berkenaan pengagihan pendapatan. Terdapat tiga graf pengagihan pendapatan yang dihasilkan olehnya menggunakan data dari sumber terbuka iaitu pendapatan isi rumah bulanan, pendapatan bulanan pekerja sektor formal dan pemfailan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Majoriti isi rumah menerima pendapatan bulanan antara RM3,000 dan RM3,999

Graf pertama menunjukkan jumlah pendapatan isi rumah sebulan yang dianalisis menggunakan data dari Survei Pendapatan Isi Rumah (HIS) 2022 oleh DOSM. Sesebuah isi rumah mungkin menerima pendapatan daripada lebih seorang isi rumah.

Untuk makluman, pihak DOSM telah menghasilkan laporan tersebut pada tahun lepas. Menurutnya, pendapatan isi rumah penengah kebangsaan ialah RM6,338, manakala purata ialah RM8,479. Kiraan dibuat berdasarkan purata saiz isi rumah sebanyak 3.8 orang dengan purata 1.8 yang menerima pendapatan sama ada secara bergaji, bekerja sendiri atau diterima dari pelaburan dan pindahan semasa.

Pengagihan pendapatan bulanan berdasarkan jumlah isi rumah. (Kredit: @thevesh/ X)

Berdasarkan graf tersebut, dapat dilihat bahawa paling banyak isi rumah menerima jumlah pendapatan dalam julat RM3,000 hingga RM3,999 (12%). Ini diikuti dengan julat RM2,000-RM2,999 (11%) dan RM4,000-RM4,999 (10%). Graf juga menunjukkan sekurang-kurangnya 42% isi rumah merupakan di bawah kategori B40.

Dalam masa sama, 64% isi rumah menerima jumlah pendapatan RM8,000 dan ke bawah. Apabila dibandingkan dengan pendapatan isi rumah purata (RM8,479), perkara ini bermakna lebih 64% isi rumah menerima pendapatan di bawah purata kebangsaan.

 

9% isi rumah di bawah garis kemiskinan negara

Di samping itu, 9% isi rumah mempunyai pendapatan bawah RM2,000. Untuk makluman, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi isi rumah ditetapkan sebanyak RM2,589. Nilai ini menunjukkan bahawa terdapat lebih 9% isi rumah yang hidup di bawah garis kemiskinan negara.

Sebaliknya, sekitar 18% isi rumah menerima jumlah pendapatan RM12 ribu dan ke atas yang jatuh di bawah kategori pendapatan tinggi atau T20. Malah, laporan HIS menyatakan bahawa majoriti agihan keseluruhun pendapatan isi rumah dimiliki oleh golongan T20 iaitu sebanyak 46.3%. Ini diikuti dengan M40 (37.6%) dan hanya 16.1% agihan pendapatan diterima oleh golongan B40.

Di samping itu, Thevesh juga menganalisis data bagi pemfailan cukai LHDN tahun 2022. Katanya, data ini mengesahkan graf pendapatan isi rumah di atas yang menunjukkan majoriti isi rumah masih menerima gaji di tahap rendah.

Pengagihan pendapatan bulanan berdasarkan pemfailan cukai LHDN 2022. (Kredit: @thevesh/ X)

Baca Artikel Berkaitan: Adakah Kutipan Cukai Pendapatan Individu Oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Bagi Tahun 2022 Meningkat?

 

Paling banyak pekerja sektor formal terima gaji bawah RM2,000

Selain itu, Thevesh juga telah menganalisis data pendapatan bulanan pekerja dalam sektor formal bagi September 2023 menggunakan data dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Katanya, analisis masih menunjukkan jumlah yang besar bagi pendapatan rendah, sama seperti pendapatan isi rumah.

Pengagihan pendapatan diterima pekerja sektor formal. (Kredit: @thevesh/ X)

Merujuk kepada graf, majoriti (sekitar 35%) daripada 6,677,900 pekerja menerima gaji kurang dari RM2,000 sebulan. Jumlah ini diikuti dengan lebih 20% penerima pendapatan dalam julat gaji RM2,000-RM2,999. 

Diingatkan bahawa gaji minimum kebangsaan adalah sebanyak RM1,500. Oleh itu, tidak mustahil jika masih ada yang menerima gaji di bawah nilai ini. 

Jika dilihat kepada graf, kebanyakan pengagihan pendapatan adalah pada tahap rendah dengan kurang 5% menerima gaji lebih RM15 ribu. Walau bagaimanapun, Thevesh berkata data tersebut tidak merangkumi golongan maha kaya yang bukan pekerja tetapi merupakan majikan yang turut menerima pendapatan bulanan.

 

Masih ramai terima gaji rendah

Menurut data yang dikongsi oleh Thevesh, ternyata bahawa sebahagian besar rakyat Malaysia masih menerima gaji di tahap yang rendah atau kategori B40. Dalam masa sama, majoriti pengagihan pendapatan diterima oleh golongan kaya atau T20.


Rujukan:

1. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/dosm-keluarkan-laporan-survei-pendapatan-perbelanjaan-isi-rumah-malaysia-2022-430117

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 8 months ago