Janji Mansuhkan Akta Hasutan 1948, Namun Hanya Digantung Sementara Pada 2018 

Janji Mansuhkan Akta Hasutan 1948, Namun Hanya Digantung Sementara Pada 2018 

Akta Hasutan 1948 digunakan bagi mendakwa individu yang dikatakan ‘menghasut’ orang ramai

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 12/07/2024 - Disunting : 12/07/2024

Petition to

Janji Mansuhkan Akta Hasutan 1948, Namun Hanya Digantung Sementara Pada 2018 

Pada 4 Julai 2024, kumpulan masyarakat sivil telah berdemo dan menyerahkan memorandum agar Akta Hasutan 1948 dimansuhkan. Ia dilakukan sempena penangkapan dan penyiasatan pengasas Borneo Komrad Mukmin Nantang di bawah Akta Hasutan 1948. Tangkapan tersebut dipercayai dikaitkan dengan sebuah video di TikTok yang berkata prestasi paling rendah kerajaan ditunjukkan menerusi nasib masyarakat Bajau Laut tanpa kerakyatan.

Memorandum yang disediakan oleh Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) itu telah disokong 33 kumpulan dan diterima oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman.

“Apa yang Mukmin buat? Dia bangkitkan isu rakyat tetapi kerajaan menggunakan Akta Hasutan 1948,” soal Pengarah Eksekutif SUARAM, Sevan Doraisamy.

 

Akta Hasutan wujud sejak pemerintahan British

Akta yang digunakan bagi mengekang kebebasan bersuara rakyat ini sebenarnya telah diperkenalkan ketika zaman penjajahan British pada tahun 1948. Namun setelah rusuhan 13 Mei 1969, akta tersebut dipinda bagi meluaskan skop batasan terhadap kebebasan bersuara.

Di bawah akta ini, ucapan yang dikatakan mempunyai ‘kecenderungan menghasut’, termasuk  membawa kebencian atau penghinaan terhadap Institusi Raja-Raja atau kerajaan, dijenayahkan. 

Pada tahun 2015, Akta Hasutan telah dipinda bagi memasukkan hukuman penjara sekurang-kurangnya tiga tahun. Malah, menerusi pindaan ini, kerajaan juga mempunyai kuasa bagi menyekat media dalam talian yang dianggap berbaur hasutan.

 

Akta Hasutan paling banyak diguna pada tahun 2020

Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), sebanyak 367 kes telah dibuka di bawah Akta Hasutan antara tahun 2018 hingga 2022. Kes terbanyak direkodkan bagi tahun 2020 iaitu sewaktu kemelut politik negara dan kerajaan ketika itu di bawah pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Md Yasin. 

Pada Mac 2024, kerajaan telah mengumumkan bahawa Kabinet bersetuju untuk memulakan proses meminda Akta Hasutan bagi mengekang provokasi terhadap isu kaum, Institut Raja-Raja dan agama (3R).

Malah, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Pakatan Harapan (PH) telah menghasilkan Buku Harapan yang menyenaraikan janji-janjinya sekiranya dipilih sebagai kerajaan. Janji 27 menyatakan undang-undang yang zalim akan dihapuskan, termasuklah Akta Hasutan 1948. 

Tangkap layar Janji 27 dari Buku Harapan

 

Anwar Ibrahim nyatakan komitmen mansuh Akta Hasutan jika jadi PM

Seorang pengguna X juga telah menyenaraikan beberapa ciapan ahli politik yang sebelum ini lantang menyatakan pendirian bahawa Akta Hasutan harus dimansuhkan. Antara mereka ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Malah, Gobind Singh Deo turut menyatakan bahawa PH sedang dalam usaha bagi memansuhkan akta tersebut pada tahun 2018, iaitu ketika kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anwar Ibrahim sebelum ini telah beberapa kali berkata bahawa Akta Hasutan akan dimansuhkan sekiranya dia dipilih menjadi perdana menteri. 

Pada 25 Julai 2023, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata bahawa jemaah menteri secara prinsipnya bersetuju Akta Hasutan disemak. Ia bertujuan agar perundangan tersebut digunakan hanya bagi melindungi Institusi Raja-Raja daripada provokasi.

Sumber: Jabatan Perdana Menteri

Baca Artikel Berkaitan: Adakah Kebebasan Bersuara di Malaysia Semakin Merudum?

 

Moratorium Akta Hasutan ketika pemerintahan PH

Pada tahun 2020, bekas presiden Majlis Peguam Negara, K Ragunath, berkata bahawa PH tidak melaksanakan pemansuhan Akta Hasutan walaupun mempunyai peluang sebelum ini. Sebaliknya, undang-undang tersebut hanya digantung sementara (moratorium) pada tahun 2018 sewaktu pemerintahan PH.

Dakwa Ragunath, Peguam Negara serta menteri PH yang bertanggungjawab gagal mengambil tindakan bagi membubarkan akta tersebut, sebaliknya menjustifikasikan penggunaannya. Ia telah digunakan bagi menyiasat penganjur perarakan Hari Wanita serta penceramah Wan Ji Wan Hussin.

Pada Julai 2019, Tan Sri Muhyiddin yang merupakan Menteri Dalam Negeri ketika itu, berkata kerajaan sedang ‘menyemak’ undang-undang tersebut tetapi masih belum membuat sebarang keputusan. Akan tetapi, Tun Dr Mahathir telah bertegas bahawa akta itu akan dihapuskan dan digantikan dengan undang-undang baharu.

 

Akta Hasutan digunakan oleh Kerajaan Madani

Selain daripada penahanan Mukmin Nantang, di bawah pemerintahan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan Madani telah beberapa kali menggunakan Akta Hasutan, termasuk ke atas sesetengah tokoh politik negara.

Pada Julai 2023, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, telah didakwa di bawah undang-undang tersebut. Anwar Ibrahim mempertahankan tindakan kerajaan dengan berkata ucapan oleh Sanusi telah menyentuh kedudukan Raja-Raja Melayu. 

Pengarah Lawyers of Liberty, Zaid Malek, berkata undang-undang ini tidak seharusnya menjadi sebahagian daripada sistem keadilan jenayah negara. 

“Sekali lagi, Akta Hasutan kini digunakan terhadap pesaing politik Kerajaan yang kini memegang kuasa persekutuan. Sungguh dahsyat kerana perkara ini berlaku di bawah kerajaan yang diketuai PH yang ketika menjadi pembangkang mengutuk penggunaan dan kewujudan Akta Hasutan sebagai menindas dan menghina kebebasan bersuara,” katanya.

Zaid berkata penggunaan Akta Hasutan telah menghalang wacana politik yang sah, seterusnya melanggar hak kebebasan bersuara seperti yang termaktub di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee, juga telah disiasat di bawah akta sama ada Februari 2024 atas kenyataannya yang didakwa menghina institusi diraja berkaitan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Rujukan:

1. https://www.malaysiakini.com/news/710861
2. https://www.malaysiakini.com/news/680580
3. https://www.malaysiakini.com/news/656702
4. https://www.bharian.com.my/kolumnis/2024/03/1228911/guna-akta-hasutan-sedia-ada-dengan-bertanggungjawab
5. https://store.ubah.my/Manifesto_PH_BM.pdf
6. https://www.malaysiakini.com/news/513071
7. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/07/1128247/penggunaan-akta-hasutan-bertentangan-janji-anwar-ketika-ketuai
8. https://www.astroawani.com/berita-politik/muda-kritik-tindakan-terhadap-tony-pua-gesa-kerajaan-semak-semula-akta-hasutan-456892

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 3 months ago