Bendera Malaysia ‘Jalur Gemilang’ & Undang-Undang Yang Melindunginya

Bendera Malaysia ‘Jalur Gemilang’ & Undang-Undang Yang Melindunginya

Terdapat pelbagai elemen dengan maknanya yang tersendiri pada Jalur Gemilang selaku bendera kebanggaan negara

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 18/04/2025 - Disunting : 18/04/2025

Petition to

Bendera Malaysia ‘Jalur Gemilang’ & Undang-Undang Yang Melindunginya

Pada 15 April 2025, kecoh di media sosial apabila akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, memaparkan gambar bendera Malaysia yang tidak lengkap pada muka hadapannya.

Visual bendera yang digunakan itu tidak mempunyai elemen bulan sabit berwarna kuning, dengan hanya bintang berbucu 14 tertera pada bahagian sebelah kiri atas berlatar belakang biru.

Sehubungan itu, pihak Sin Chew Daily telah memohon maaf atas isu tersebut dan menerangkan bahawa ia disebabkan oleh kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

Memandangkan ketiadaan elemen bulan sabit itu telah merubah reka bentuk Jalur Gemilang secara keseluruhan, sekaligus ‘merosakkan’ satu simbol penting buat negara, banyak pihak telah tampil melakukan laporan polis terhadap akhbar berkenaan. Kes kemudiannya disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama 1963 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Baca Artikel Berkaitan: Akhbar Sin Chew Daily Mohon Maaf Selepas Dikritik Guna Ilustrasi Jalur Gemilang Tanpa Bulan Sabit

Baca Artikel Berkaitan: Isu Bendera Tidak Lengkap: Keterangan Sudah Diambil, Ketua Editor & Penyunting Sin Chew Daily Dibebas

 

Ini maksud setiap elemen pada Jalur Gemilang

Sebagai rakyat Malaysia, penting untuk kita mengetahui makna setiap elemen pada Jalur Gemilang, termasuklah warna dan namanya, yang bukanlah dipilih dengan sewenang-wenangnya.

Berikut merupakan makna bagi empat warna yang terdapat pada bendera Malaysia berdasarkan kepada buku digital Jalur Gemilang:

Warna Merah – Keberanian dan bersedia dalam menghadapi segala rintangan dan cabaran dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju. 

Warna Putih – Kesucian, keikhlasan dan kesungguhan bagi mempertingkatkan ketahanan rakyat yang beradab, berkebudayaan dan berkeperibadian Malaysia. 

Warna Biru – Perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, bersatu padu serta berusaha dalam memajukan ekonomi berasaskan sains dan teknologi. 

Warna Kuning – Kedaulatan Raja Berperlembagaan serta mendokong dan menghormati lunas-lunas perlembagaan dan falsafah Rukun Negara. 

Warna pada Jalur Gemilang mengikut Pantone Matching System (Sumber: Buku Digital Jalur Gemilang)

Menurut portal MyGovernment, gabungan tiga warna utama iaitu merah, putih dan biru melambangkan setia kawan Persekutuan Tanah Melayu dan United Kingdom dan penyatuan Tanah Melayu dengan Negara-negara Komanwel.

Lambang-lambang pada Jalur Gemilang juga mempunyai maksud yang tersendiri seperti berikut:

14 jalur melintang – Menandakan keanggotaan 13 buah negeri iaitu Kedah, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Sarawak, Pulau Pinang, Sabah dan Melaka serta kerajaan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Bulan – Agama Islam sebagai agama Persekutuan negara.

Bintang berbucu 14 – Perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Baca Artikel Berkaitan: Adakah Malaysia Merupakan Sebuah Negara Sekular?

 

Di samping itu, buku digital Jalur Gemilang turut menerangkan maksud pada nama bendera tersebut. ‘Jalur’ merujuk kepada “satu laluan yang lurus hala tuju yang sama dan arah yang sama dianuti oleh rakyat negara ini.” Manakala ‘Gemilang’ pula membawa maksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. 

“Jalur Gemilang melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi suasana kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi menjaga nama dan menaikkan imej negara,” tercatat pada buku terbabit.

Kredit gambar: Unsplash

Jalur Gemilang berasal dari bendera Persekutuan Tanah Melayu

Untuk info, bendera Jalur Gemilang sebenarnya berasal dari bendera Persekutuan Tanah Melayu yang mempunyai 11 jalur dan bintang berbucu 11. 

Menerusi satu pertandingan yang diadakan pada tahun 1948, rekaan bendera bagi Persekutuan Tanah Melayu oleh seorang arkitek Jabatan Kerja Raya Johor,  Mohamed bin Hamzah, mendapat pilihan majoriti.

Pun begitu, Majlis Perundangan Persekutuan telah meminta agar bintang berbucu lima pada rekaan asal dipinda menjadi 11 bagi merujuk kepada perpaduan 11 negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu sebelum dibawa ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja

Kemudian, bulan sabit dan bintang yang pada mulanya berwarna putih juga dipinda menjadi warna kuning bagi melambangkan warna diraja.

Pada bendera Persekutuan Tanah Melayu ini, warna merah, putih dan biru melambangkan negara sebagai sebuah negara Komanwel.

Sumber: Buku Digital Jalur Gemilang

Bendera Persekutuan Melayu telah diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada 19 April 1950 dan King George IV pada 19 Mei tahun sama, sebelum dikibarkan buat pertama kali pada 26 Mei di Istana Sultan Selangor di Kuala Lumpur.

Ia kemudiannya pertama kali dinaikkan dan berkibar secara rasmi di Padang Kelab Selangor sempena hari kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Ketika itu jugalah lagu Negaraku buat pertama kali berkumandang untuk diperdengarkan kepada rakyat umum.

Menurut portal MyGovernment, 11 jalur melintang ini ditambah menjadi 14 apabila masuknya Sabah, Sarawak dan Singapura yang membentuk Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, menjadikan bendera itu dikenali sebagai bendera Malaysia.

Walaupun Singapura telah dikeluarkan dari Malaysia, namun jumlah jalur pada bendera masih dikekalkan dan digantikan dengan kerajaan Persekutuan.

Nama Jalur Gemilang kemudiannya diberikan oleh Perdana Menteri ke-4 negara, Tun Dr  Mahathir Mohamad, sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-40 pada malam 31 Ogos 1997.

 

Jalur Gemilang dilindungi di bawah beberapa akta

Memandangkan Jalur Gemilang merupakan simbol yang penting buat negara, bendera itu semestinya mendapat perlindungan undang-undang.

Di bawah Seksyen 3 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414), mana-mana individu yang menggunakan atau meniru lambang yang serupa dengan  lambang-lambang kebesaran negara, termasuklah bendera Malaysia, bagi tujuan perdagangan, perniagaan, pekerjaan atau profesion tanpa kebenaran bertulis Menteri adalah melakukan satu kesalahan.

Sumber: Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963

Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) (Pindaan) 2017 (Akta A1525) pula menerangkan bahawa sesiapa yang melanggar Seksyen 3 Akta 414 di atas boleh didenda tidak melebihi RM20,000, atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Di samping itu, Seksyen 3 Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 (Akta 193) pula melarang lambang kebangsaan negara lain daripada dipamerkan di tempat awam atau di sekolah.

Seperti dalam satu kes yang dilaporkan sekitar Oktober 2024, pihak penganjur disiasat di bawah akta ini kerana mengibarkan bendera negara China di tempat awam dalam satu perarakan haram.

Baca Artikel Berkaitan: Tular Individu Berarak Bawa Bendera China Di Teluk Intan, Penganjur Mohon Maaf

Seksyen 8 akta sama menjelaskan bahawa:

(1) Mana-mana orang yang— 

  1. mempamerkan mana-mana lambang kebangsaan yang berlawanan dengan Akta ini atau mana-mana syarat mana-mana perintah atau permit yang dibuat atau diberikan di bawah seksyen 5; atau 
  2. selaku pemunya, penyewa, penerima pajak, penduduk atau orang yang menjaga mana-mana premis dengan disedarinya membenarkan mana-mana lambang kebangsaan dipamerkan di atas atau dari premis itu atau dalam mana-mana sekolah yang berlawanan dengan Akta ini atau mana-mana syarat mana-mana perintah atau permit yang dibuat atau diberikan di bawah seksyen 5, melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh—
    1. dalam hal seseorang selain pertubuhan perbadanan, dipenjarakan bagi tempoh tidak melebihi enam bulan atau didenda tidak melebihi lima ratus ringgit atau kedua-duanya;
    2. dalam hal pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi satu ribu ringgit

Kesucian bendera Malaysia turut dilindungi di bawah Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang mana individu boleh dikenakan tindakan sekiranya menghina atau melakukan provokasi melampau terhadap Jalur Gemilang dengan tujuan untuk mencemar nama baik atau menghasut.

 

Jalur Gemilang yang telah lusuh tidak boleh dikibarkan

Demi menunjukkan semangat patriotik dan cintakan negara, pasti segelintir besar masyarakat memiliki bendera Malaysia yang disimpan untuk dikibarkan terutamanya ketika Bulan Kemerdekaan.

Walau bagaimanapun, terdapat keadaan di mana sesetengah Jalur Gemilang yang dikibarkan sudah berada dalam keadaan yang lusuh dengan warnanya yang pudar, koyak dan sebagainya.

Sebenarnya, Jalur Gemilang dalam keadaan sedemikian tidak boleh lagi dikibarkan kerana seolah-olah bersikap tidak hormat kepada bendera tersebut. Ia sebaliknya perlulah dilupuskan dan diganti dengan bendera yang baharu.

Menurut buku digital Jalur Gemilang, cara pelupusan bendera Malaysia bukanlah dengan membuang ke dalam tong sampah begitu sahaja, tetapi dibakar secara tertutup dan tersembunyi daripada pandangan orang awam.

Contoh bendera Malaysia yang tidak patut dikibarkan lagi (Kredit gambar: Pexels)


Rujukan:

1. https://www.malaysia.gov.my/portal/content/138?language=my
2. https://dbook.penerangan.gov.my/dbook/dmdocuments/jalur_gemilang_2020/files/downloads/jalur_gemilang_2020.pdf
3. https://www.pmo.gov.my/wp-content/uploads/2019/12/bendera_kita_jalur_gemilang_2017_upscale.pdf
4. https://www.mkn.gov.my/web/ms/2022/09/02/tinta-bicara-hari-malaysia-akta-yang-melindungi-penggunaan-lambang-lambang-kebesaran-negara/
5. https://www.istiadat.gov.my/wp-content/uploads/2022/06/Akta-414-Akta-Lambang-Dan-Nama-Mencegah-Penggunaan-Tidak-Wajar-1963.pdf
6. https://tcclaw.com.my/wp-content/uploads/2020/12/NATIONAL-EMBLEMSCONTROL-OF-DISPLAY-ACT-1949.pdf

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 week ago