Adakah Malaysia Merupakan Sebuah Negara Sekular?

Salah
Adakah Malaysia Merupakan Sebuah Negara Sekular?

Banyak pihak berkepentingan serta orang ramai sering berdebat tentang status Malaysia sebagai sebuah negara sekular ataupun negara Islam

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 03/08/2022 - Disunting : 03/08/2022

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Malaysia Merupakan Sebuah Negara Sekular?

Status Malaysia sebagai sebuah negara sekular atau negara Islam sering dijadikan isu perdebatan oleh parti-parti politik dalam mendapatkan sokongan orang ramai terhadap ideologi parti masing-masing. Oleh itu, ia menjadi suatu punca permasalahan tentang pemahaman orang ramai terhadap status negara. Hantaran kali ini akan meneliti sama ada Malaysia adalah benar-benar sebuah negara sekular ataupun sebuah negara Islam.

Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, seorang pakar perlembagaan berkata Perlembagaan Persekutuan tidak menunjukkan Malaysia sama ada sebagai sebuah negara sekular mahupun negara Islam. Sebelum meneliti dengan lebih lanjut, penting untuk kita memahami sistem pentadbiran negara. Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Seperti mana-mana negara dengan sistem Demokrasi Berparlimen, pemerintahan negara dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Perundangan, Kehakiman dan Eksekutif.

 

Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Kehakiman Malaysia

Sesebuah negara menjadi negara sekular jika ia bersifat neutral terhadap hal ehwal agama dan tidak mendukung mana-mana agama. Negara itu dipisahkan sama sekali dengan agama di dalam ketiga-tiga bahagian Perundangan, Kehakiman dan Eksekutif negara. Dr Nazri Muslim, seorang pakar sosiologi perlembagaan dan agama, menggariskan ciri-ciri umum negara sekular sebagai negara yang tiada agama rasmi, tidak menggunakan dana negara untuk pembangunan berkenaan agama dan mempunyai undang-undang yang tidak membabitkan badan penasihat agama

Kredit gambar: Pixabay/ Pexels

Menurut Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, agama Islam merupakan agama Persekutuan dan agama-agama lain turut boleh diamalkan di dalam negara secara aman. Perkara ini jelas menunjukkan perlembagaan negara merangkumi perkara berkenaan agama, sekaligus mengurangkan status Malaysia sebagai sebuah negara sekular. Malahan, tiada sebarang perkara atau bahagian di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Malaysia sebagai negara sekular, seperti yang terdapat di dalam perundangan negara Turki dan India.

Isu agama turut tertakluk di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut tentang kebebasan agama. Di Malaysia, setiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agama, tetapi Perkara 11(4) melarang penyebaran agama selain Islam terhadap orang beragama Islam. Tambahan lagi, merujuk kepada Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan, dana negara seperti yang dikutip melalui cukai boleh digunakan untuk tujuan agama. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan institusi mufti merupakan antara institusi Islam yang disara menggunakan dana negara. Jelas bahawa Malaysia meletakkan Islam sebagai agama yang dilindungi dan mempunyai hak keistimewaan berbanding agama lain. Sekali lagi terbukti bahawa perlembagaan Malaysia tidak bebas daripada hal-hal berkaitan agama, menjadikan Malaysia bukan negara sekular. 

Kredit gambar: Meimei Ismail/ Unsplash

Dari segi Kehakiman pula, sistem Mahkamah Malaysia boleh dibahagikan kepada dua iaitu Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah yang khas untuk perkara atau jenayah berkaitan Islam. Hakim Datuk Nordin Hassan pernah berkata bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai sebarang bidang kuasa berkaitan hukum syarak Undang-undang Syariah yang berada di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah. Perkara ini bermakna hal-ehwal berkenaan agama Islam hanya boleh dibicarakan di dalam Mahkamah Syariah.

 

Malaysia sebagai negara Islam

Sebuah negara Islam haruslah berasaskan undang-undang Syariah yang merangkumi pentadbiran negara dalam politik, perundangan, pendidikan dan gaya hidup. Nazri mengkategorikan takrifan negara Islam kepada dua iaitu negara Islam yang mempunyai ciri-ciri maksimum dan ciri-ciri minimum. Malaysia sememangnya memenuhi ciri-ciri minimum negara Islam seperti negara didiami oleh majoriti orang Islam dan pentadbiran negara dikuasai oleh umat Islam. 

Salah satu ciri-ciri maksimum negara Islam yang dipersetujui oleh ulama adalah penggunaan undang-undang Islam berdasarkan al-Quran dan sunah secara menyeluruh di dalam sesebuah negara. Walaupun Malaysia mempunyai Mahkamah Syariah, Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa semua rakyat negara adalah sama rata di sisi undang-undang dan layak mendapatkan keselamatan undang-undang yang sama.  Oleh itu, undang-undang jenayah dan prosedur kes sivil adalah digunapakai bagi kesemua jenayah lain selain jenayah berkaitan agama. Ini jelas bahawa undang-undang Islam tidak digunakan secara maksimum di Malaysia.

Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam. Kredit gambar: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor

Pada tahun 2017, Naib Presiden PAS, Dato’ Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata bahawa Malaysia bukan sebuah negara Islam dan merupakan negara sekular. Kenyataan ini dibuat oleh beliau apabila Mahkamah Rayuan membicarakan dan membenarkan anak tidak saf taraf untuk dibinkan kepada nama bapa. Sebuah kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia telah menetapkan Malaysia sebagai negara Islam yang menepati ciri-ciri minimum yang digariskan menurut ciri-ciri al-dawlah al-Islamiyyah. Kajian lain turut merumuskan bahawa Malaysia sekurang­-kurangnya adalah sebuah Dar al-Islam, tetapi bukanlah sebuah negara Islam Dawlah Islamiah yang sempurna.

 

Malaysia bukan negara sekular

Walaupun banyak pihak mengatakan Malaysia sebagai sebuah negara sekular, perkara-perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan telah menafikan dakwaan ini. Malaysia jelas bukan merupakan sebuah negara sekular, tetapi untuk mengatakan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang sempurna juga adalah tidak cukup kuat. Shad berkata Malaysia merupakan sebuah negara dengan perundangan yang bersifat plural dan hibrid. Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dan perlu mengiktiraf hak-hak golongan bukan Islam, tetapi pada masa yang sama, Perlembagaan Persekutuan juga telah memberikan hak yang tinggi dan istimewa kepada agama Islam. 

 


Rujukan:

1. https://www.sinarharian.com.my/article/141068/BERITA/Nasional/Malaysia-bukan-negara-sekular-mahupun-negara-Islam
2. https://www.parlimen.gov.my/pengenalan.html?uweb=p&view=235
3. https://www.malaysiakini.com/letters/428255
4. https://legal.usm.my/v3/phocadownload/laws/Perlembagaan_Persekutuan.pdf
5. https://www.bharian.com.my/kolumnis/2018/06/438842/isu-negara-islam-sekular-kembali-dibahaskan
6. https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2020/01/648103/malaysia-bukan-negara-sekular
7. https://www.malaysiakini.com/columns/462587
8. https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/08/600746/mahkamah-tolak-permohonan-sis-cabar-keputusan-jawatankuasa-fatwa-selangor
11. https://buletinonlines.net/v7/index.php/bukti-jelas-malaysia-negara-sekular/
13. http://journalarticle.ukm.my/5858/1/JD005961%2520Teks%25205.pdf
14. https://ejournal.ukm.my/islamiyyat/article/view/26071

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago