Kelahiran bayi adalah satu saat yang amat berharga bagi seseorang. Namun begitu, dalam menyambut kelahiran anak, ibu bapa diingatkan supaya tidak lupa untuk mendaftar kelahiran tersebut. Hantaran kali ini akan berkongsi cara-cara untuk ibu bapa mendaftar kelahiran bayi.
Selepas kelahiran bayi, pihak hospital akan memberikan Borang Pengesahan Kelahiran sebagai bukti bahawa bayi telah dilahirkan pada tempat dan waktu yang tertera. Ibu bapa juga akan menerima Borang Pendaftaran Kelahiran. Kedua-dua borang ini perlu sama-sama dibawa ke pejabat JPN bagi urusan pendaftaran kelahiran.
Dalam masa yang sama, ibu bapa turut diberi Panduan Mendaftar Kelahiran yang menjelaskan tentang pendaftaran kelahiran dengan lebih terperinci. Panduan tersebut mengandungi senarai semak dokumen asal dan salinan yang perlu dibawa sewaktu mendaftar kelahiran di JPN.
Pendaftaran kelahiran biasa
Di Malaysia, kelahiran bayi perlu didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam tempoh 60 hari selepas kelahiran. Sebenarnya, pendaftaran kelahiran bukan sahaja boleh dilakukan oleh ibu atau bapa kepada bayi berkenaan, tetapi juga oleh penjaga atau mana-mana individu yang mengetahui tentang kelahiran tersebut. Bagi pendaftaran kelahiran anak tidak sah taraf, kedua-dua ibu dan bapa perlu hadir ke pejabat JPN.
Menurut JPN, pemaklum kelahiran boleh ke mana-mana JPN berhampiran untuk memohon pendaftaran kelahiran dan perlu membawa dokumen-dokumen sokongan seperti berikut:
- Borang Daftar Kelahiran JPN.LM01 yang diterima daripada pihak hospital dan telah diisi dengan lengkap
- Borang Pengesahan Kelahiran daripada hospital atau
- Kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri ibu dan bapa atau pemaklum (asal dan salinan)
- Kad Pranatal (Buku Rawatan Mengandung/ Buku Pink) atau Kad Rawatan Semasa Ibu Mengandung (asal dan salinan) dan dibuat salinan bagi muka surat yang ditanda oleh pihak hospital
Sekiranya ibu tiada buku rawatan mengandung atau kad rawatan mengandung, dia perlu menyediakan surat akuan AM80 seperti contoh di sini. Bagi kes kelahiran di rumah pula, ibu bapa perlu mendapatkan Surat Pengesahan Doktor serta Laporan Polis.
Jika salah seorang ibu bapa telah meninggal dunia, dokumen asal dan salinan Sijil Kematian perlu dibawah. Bagi ibu bapa yang telah bercerai, Dokumen Perkahwinan atau Perceraian ibu bapa perlu dibawa serta dibuat salinan.
Anak yang dilahirkan oleh pasangan bukan Islam yang tidak berkahwin tidak akan didaftarkan maklumat bapanya secara automatik. Namun begitu, ibu boleh melakukan permohonan bersama dengan bapa kanak-kanak yang perlu menandatangani daftar kelahiran bersama-sama.
Pendaftaran kelahiran lewat
Jika ibu bapa gagal mendaftarkan anak dalam tempoh 60 hari kelahiran, mereka masih boleh melakukan sedemikian tetapi akan dianggap sebagai pendaftaran lewat. Bagi pendaftaran kelahiran lewat, lebih banyak dokumen sokongan yang diperlukan serta dikenakan bayaran fi RM50.
Jika kelahiran anak lewat didaftarkan, kedua-dua ibu dan bapa perlu melakukan permohonan di pejabat JPN. Jika hanya seorang ibu atau bapa yang dapat dikesan, dia perlu hadir bersama seorang penganjur berusia 10 tahun lebih tua berbanding anak dilahirkan yang mengetahui mengenai kelahiran tersebut.
Bagi kes kedua-dua ibu bapa tidak dapat dikesan, dua orang penganjur yang mengetahui mengenai kelahiran tersebut boleh melakukan pendaftaran. Seorang penganjur perlu berusia lebih 18 tahun, manakala seorang lagi perlu sekurang-kurangnya 10 tahun lebih tua daripada kanak-kanak yang dilahirkan.
Antara dokumen sokongan yang diperlukan adalah:
- Keputusan Carian JPN.LM14 (bagi kelahiran yang berlaku pada tahun 2002 dan ke bawah) (asal dan salinan).
- Borang Daftar Kelahiran JPN.LM01 yang telah diisi dengan lengkap
- Borang Pengesahan Kelahiran daripada hospital atau Surat Pengesahan Bidan / Doktor bagi kelahiran di rumah
- Laporan Polis jika kelahiran berlaku di rumah dan ibu bapa kandung kanak-kanak tidak dapat dikesan (asal).
Dokumen lain termasuk dokumen kanak-kanak, dokumen ibu dan bapa, adik beradik, penganjur, saksi dan tambahan. Bagi pendaftaran kelahiran lewat, pemaklum perlu membawa bersama beberapa gambar seperti gambar penuh terkini kanak-kanak bersaiz 4R, gambar pasport ibu dan bapa, serta gambar pasport adik-beradik jika ada.
Permohonan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat
Permohonan kelahiran juga boleh dilakukan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi kanak-kanak yang dijumpai terdedah. Pendaftaran kelahiran bagi kanak-kanak dijumpai terdedah perlu dilakukan oleh seorang Pegawai JKM dan seorang individu yang diberi hak penjagaan menurut Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991.
Bagi permohonan pendaftaran sebegini, dokumen tambahan yang diperlukan adalah laporan polis jika ibu kandung tidak dapat dikesan, Hak Penjagaan Sementara dari JKM dan Perintah Mahkamah Juvana bagi kes-kes berkaitan.
Pendaftaran kelahiran anak di Sabah dan Sarawak
Pendaftaran kelahiran anak sedikit berbeza di Sabah dan Sarawak berbanding Semenanjung Malaysia. Di kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak, pendaftaran kelahiran biasa perlu dilakukan dalam tempoh 14 hari selepas kelahiran bayi.
Bagi tempoh 15 hingga 42 hari kelahiran, ia digelar sebagai pendaftaran kelahiran lambat dan dikenakan bayaran RM5. Jika pendaftaran kelahiran dibuat melebihi 42 hari daripada tarikh lahir bayi, ia digelar sebagai pendaftaran lewat kelahiran dan dikenakan cas proses RM10.
Pendaftaran lewat kelahiran juga membabitkan dokumen sokongan yang lebih banyak dan rumit seperti gambar penuh kanak-kanak, Surat Akuan Kelahiran oleh Ketua Kampung, Ketua Kaum, Ahli Parlimen atau ADUN, dan Surat Saksi.
Nama yang dibenarkan pihak JPN
Ketika mendaftar kelahiran anak, pemaklum perlu mengisikan nama penuh anak yang ingin didaftarkan di dalam borang. Nama anak perlu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak JPN. Terdapat 16 kumpulan nama yang dikategorikan sebagai ‘nama pelik’ di bawah garis panduan pemilihan nama JPN. Malah, terkini pihak JPN menetapkan supaya nama yang didaftarkan tidak melebihi 80 aksara.
Berdasarkan kepada Seksyen 16, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, Pendaftar perlu merujuk nama yang dilihat tidak menyenangkan atau tidak diingini kepada Pendaftar Besar yang akan memberikan kata putus ke atas permohonan pendaftaran itu.
Secara umumnya, Pendaftar JPN tidak akan mengesahkan permohonan nama yang tidak bersesuaian seperti nama yang mempunyai maksud tidak elok, nama haiwan, kejadian alam dan nama berasaskan angka. Selain itu, nama yang dilarang sama sekali digunakan adalah nama singkatan perkataan (seperti Mohd), rujukan kepada profesion tertentu (seperti Dr., Ir.), gelaran dianugerahkan kerajaan (seperti Tan Sri) dan nama jawatan (seperti Mufti).
Sesetengah keluarga mempunyai gelaran khas atau gelaran keturunan seperti Tengku, Tun, Syed, Sharifah, Wan, Megat dan sebagainya. Bagi pendaftaran kelahiran anak yang mempunyai nama-nama keturunan ini, pemohon kena mendapatkan kebenaran dari pihak yang berkenaan terlebih dahulu. Dalam sesetengah kes, pemohon mungkin diminta untuk membuktikan susur galur keturunan sebelum diizinkan menggunakan nama tersebut bagi anaknya.
BACA JUGA: Jenis-jenis Nama
Ibu bapa perlu pastikan kelahiran anak dilakukan dalam tempoh yang ditetapkan
Menurut Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu, Mohamad Nasir Kareem, kanak-kanak yang tidak didaftar kelahirannya akan menghadapi masalah apabila telah membesar dan ingin didaftarkan bagi persekolahan. Ketiadaan dokumen kelahiran menyebabkan anak-anak sukar melakukan pelbagai aktiviti, bukan sahaja bagi persekolahan, tetapi juga urusan lain seperti perbankan, mendapatkan lesen memandu dan permohonan pekerjaan.
Malah, kematian seorang individu yang tidak mempunyai sijil kelahiran juga akan menyukarkan pihak JPN untuk mengeluarkan sijil kematian. Menurut Mohamad Nasir, seorang individu berusia 60-an telah membuat permohonan daftar kelahiran. Walaupun pelbagai kesulitan timbul, namun pihaknya memastikan permohonan itu berjaya.