Jenis-jenis Nama

Jenis-jenis Nama

Terdapat pelbagai jenis nama yang berbeza berdasarkan penggunaan nama pertama dan nama belakang

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 11/09/2023 - Disunting : 11/09/2023

Petition to

Jenis-jenis Nama

Setiap orang diberi nama sebagai kata nama khas untuk orang lain mengenalinya dan selalunya digunakan sebagai gelarannya. Nama boleh dibahagi kepada beberapa jenis seperti nama pertama, nama keluarga dan nama ibu atau ayah. Hantaran kali ini akan menjelaskan beberapa jenis nama yang sering kita temui dalam pembacaan serta sebutan yang betul untuk sebutan kali kedua dalam bahan pembacaan.

Dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia, terdapat budaya yang berbeza dalam pemberian nama bagi setiap bangsa. Secara umumnya, bangsa Melayu dan India menggunakan nama patronimik, manakala kaum Cina mempunyai nama keluarga. 

 

Nama patronimik

Nama Melayu mempunyai nama pertama, kata nama patronimik dan nama bapa, mengikut urutan tersebut. Kata nama patronimik merujuk kepada ‘bin’ atau ‘binti’ (dan lain-lain ejaan) berdasarkan jantina seseorang, manakala nama bapa adalah nama pertama bapanya.

Kata nama patronimik orang Melayu diambil daripada sistem nama masyarakat Arab dengan bin bermaksud ‘anak lelaki kepada’, manakala binti bermakna ‘anak perempuan kepada’. ‘Bin’ dan ‘binti’ juga digunakan oleh sesetengah masyarakat Bumiputera tidak kira agama dan turut ditukarkan dengan ‘anak’, ‘anak lelaki’ atau ‘anak perempuan’. 

Selain itu, penggunaan nama seperti Muhammad, Ahmad dan Nor yang sudah menjadi kebiasaan menyebabkan penambahan nama kedua yang digunakan sebagai nama utama.

Masyarakat India juga menggunakan sistem nama patronimik dan menggunakan istilah ‘a/l’ atau ‘a/p’ yang masing-masingnya merujuk kepada ‘anak lelaki’ dan ‘anak perempuan’. Ia juga boleh ditukar ganti dengan ‘son of’ (s/o) dan ‘daughter of’ (d/o). Sesetengah individu meletakkan huruf pertama nama bapa pada hadapan nama pertamanya.

 

Nama keluarga

Nama keluarga juga dikenali sebagai ‘surname’ merujuk kepada nama keturunan yang digunakan sejak turun-temurun. Sejarah penggunaannya dapat dijejak kembali ke zaman Penaklukan England oleh Norman pada tahun 1066. 

Selepas penjajahan tersebut, kebanyakan nama asal masyarakat setempat (Saxon dan Celtic awal) telah hilang dan digantikan dengan nama Perancis seperti William, Robert dan Henry yang lebih popular. Ketika itu, nama keluarga pertama kali digunakan bagi membezakan antara individu kerana penggunaan nama yang serupa. Ia kemudiannya digunakan dari satu generasi ke satu generasi lain. 

Sesetengah nama keluarga atau ‘surname’ diberi berdasarkan pekerjaan, tempat tinggal atau tempat asal seseorang. Contohnya ‘Smith’ yang bermaksud tukang besi, ‘Carpenter’ iaitu tukang kayu serta Hill dan Woods yang merujuk kepada tempat tinggal. Di samping itu, wanita yang berkahwin pula akan menukar nama keluarganya mengikut nama keluarga suaminya.

 

Bagi penggunaan nama keluarga dalam kalangan bangsa Cina pula dipercayai berlaku atas perintah Maharaja Kuning China. Sejak itu hingga ke Dinasti Song, nama keluarga utama telah disenaraikan dalam puisi kuno ‘Baijiaxing’. 

Nama keluarga Cina terletak pada hadapan nama penuhnya dan mengikut nama keluarga belah bapa. Selain daripada nama keluarga, terdapat juga nama generasi sebagai nama kedua yang diberikan bagi anak-anak dalam generasi yang sama. 

Bagi masyarakat Cina yang mempraktikkan agama Kristian atau menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama, mereka juga mempunyai nama Inggeris. Nama ini mungkin dinyatakan ataupun tidak di dalam kad pengenalan mereka. Kebiasaannya, nama Inggeris diletakkan di hadapan nama penuh sebelum nama keluarga.

Sebagai tambahan, berbeza dengan masyarakat di Eropah, rata-rata wanita Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa di Malaysia tidak mengambil nama keluarga atau nama bapa suaminya setelah berkahwin.

 

Nama keagamaan

Berbeza dengan masyarakat budaya lain yang mengambil nama akhir sempena nama bapa atau keluarga, rata-rata individu beragama Sikh mempunyai nama keagamaan yang digunakan. Para Guru Sikh yang ingin menghapuskan sistem kasta India menggalakkan pengikut mereka supaya menggunakan ‘nama keluarga’ yang umum supaya dapat menghilangkan perbezaan antara mereka. 

Individu Sikh lelaki diminta supaya menggunakan nama ‘Singh’ yang bermaksud singa, manakala wanita menggunakan ‘Kaur’ iaitu puteri. Tambahan pula, penggunaan nama ‘Kaur’ mengangkat nilai dan identiti individualistik wanita tanpa mengikat mereka dengan kaum lelaki. Hal ini kerana terdapat juga wanita yang menggantikan nama bapa dengan nama suami setelah berkahwin.

 

Nama keturunan

Di Malaysia, terutamanya masyarakat Melayu, mempunyai nama khas yang digelar sebagai nama keturunan. Nama ini diberi kepada anak kelahiran golongan tertentu seperti golongan diraja. Ia tidak boleh digunakan secara sesuka hati oleh mereka yang bukan dilahirkan dalam golongan tersebut.

Malah, untuk menggunakan nama ini, ibu bapa perlu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan bukti salasilah keturunan. Antara nama berikut adalah Tengku yang digunakan oleh golongan diraja, Syed atau Sharifah bagi mereka yang berketurunan Nabi Muhammad SAW, dan Megat yang berasal dari keturunan Megat Terawis iaitu Bendahara pertama Perak.

Nama keturunan seringkali mengikut nama yang diwarisi daripada salasilah bapa. Namun begitu, bagi sesetengah nama seperti ‘Puteri’ boleh diberi kepada anak menurut nama keturunan ibu iaitu ‘Sharifah’. Nama keturunan ini menjadi sebahagian daripada nama pertama individu.

Terdapat pelbagai jenis nama yang membentuk nama penuh seseorang. Dalam masyarakat berbilang kaum, penting untuk memahami serba sedikit mengenai bagaimana nama seseorang terbentuk berdasarkan setiap budaya. 


Rujukan:

1. https://culturalatlas.sbs.com.au/malaysian-culture/malaysian-culture-naming
2. http://irep.iium.edu.my/6119/3/bin_binti_x.pdf
3. https://www.britannica.com/event/Norman-Conquest
4. https://www.english-heritage.org.uk/visit/inspire-me/blog/blog-posts/norman-saxon-surname/
5. https://www.familysearch.org/en/blog/chinese-last-names
6. https://www.wearesikhs.org/6_why_do_so_many_sikhs_have_the_last_name_singh_or_kaur
7. https://asklegal.my/p/nama-anak-JPN-pendaftaran-pelik-dilarang-garis-panduan

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 8 months ago