Pada 29 Julai 2026, kabinet kerajaan telah mengklasifikasikan semula (declassify) dan mendedahkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Sehubungan itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan supaya siasatan terhadap laporan RCI mengenai TH dijalankan secara menyeluruh demi memastikan setiap pihak yang didapati bersalah dikenakan tindakan serta mengelakkan isu sama berulang pada masa depan.
Baca Artikel Berkaitan: Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang RCI Tabung Haji
Antara isu yang dibangkitkan di dalam laporan tersebut termasuk pelaburan bermasalah oleh Tabung Haji (TH) yang dilakukan terhadap 14 buah syarikat, termasuk Putrajaya Perdana Bhd (PPB).
Malah Kementerian Kewangan mendedahkan bahawa PPB merupakan antara punca utama kegagalan pelaburan TH membabitkan rosot nilai RM193.5 juta.
Pelaburan ini berlaku apabila TH membeli pegangan 30% ekuiti PPB daripada Cendana Destini Sdn. Bhd. dengan bayaran RM193.5 juta pada November 2014, walaupun PPB telahpun dikeluarkan dari senarai Bursa Malaysia sejak 2010.
Pada 2012, pegangan 30% ekuiti PPB adalah bersamaan RM78 juta, namun nilai pembelian oleh TH pada dua tahun kemudian melonjak hampir tiga kali ganda.
Pembelian ketika itu dibuat berdasarkan kepada dua janji iaitu syarikat disenarai semula dalam tempoh setahun dan TH akan menerima keuntungan RM86 juta pada 2015, yang kedua-duanya gagal dicapai.
Kini, pegangan saham TH dalam syarikat itu hanya bernilai RM48.2 juta sahaja.
Apa yang lebih mengejutkan lagi, apabila maklumat baharu mendedahkan bahawa terdapat kaitan antara pelaburan yang dibuat oleh TH terhadap PPB dengan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perkara itu dimaklumkan dalam sesi Dewan Rakyat pada 11 Ogos, bahawa pelaburan TH terhadap PPB telah mengheret lembaga itu ke dalam urusan melibatkan 1MDB dengan kerugian sebanyak RM145.3 juta dicatatkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata TH ketika itu telah melabur ke dalam PPB dan melantik pengerusinya menjadi pengerusi syarikat tersebut sebelum terlibat dengan urusan terkait 1MDB.
“Individu sama adalah Pengerusi TH dan Pengerusi Putrajaya Perdana, malah syarikat itu kemudian terbabit dalam urus niaga dengan 1MDB,” jelasnya.
Dalam masa sama, terdapat satu lagi pelaburan lain oleh TH yang membabitkan 1MDB iaitu pembelian tanah di kawasan Tun Razak Exchange (TRX) daripada syarikat pelaburan kerajaan itu sewaktu kemuncak kontroversinya.
Zulkifli berkata timbul persoalan tentang konflik kepentingan memandangkan Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) TH ketika itu juga merupakan ahli lembaga 1MDB.
“Timbul satu persoalan besar apabila CEO TH juga merupakan anggota Lembaga Pengarah 1MDB. Adakah pelaburan yang dibuat ketika itu bagi kepentingan TH atau untuk menyelesaikan masalah pihak lain?” soalnya dalam Mesyuarat Khas Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, turut menggesa Putrajaya agar mendedahkan jumlah dana TH yang digunakan bagi menampung hutang berkaitan 1MDB sejak tahun 2014.
“Apakah laporan penilaian pelaburan yang digunakan oleh pihak pengurusan Tabung Haji serta adakah terdapat desakan politik untuk duit ini digunakan tanpa mematuhi syarat dan kriteria pelaburan?” soal beliau.
Sebagai info, PPB merupakan sebuah kumpulan pegangan pelaburan dan pembinaan yang dikaitkan dengan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Memetik laporan MalaysiaKini, SRC International dilaporkan menyalurkan sekitar RM140 juta kepada anak-anak syarikat PPB, dengan RM27 juta daripadanya berakhir dalam akaun bank milik perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.
Bukan itu sahaja, syarikat PPB turut dikaitkan dengan jurubank buronan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata perkara ini adalah berdasarkan kepada dua rekod, iaitu prosiding mahkamah dalam kes SRC International dan satu penilaian penentuan fakta terhad yang dijalankan pada tahun 2023.
“Menurut keterangan bersumpah Datuk Rosman Abdullah, seorang pengarah di Putrajaya Perdana, SRC International telah membelanjakan RM170 juta kepada anak syarikat milik Putrajaya Perdana antara Julai dan Ogos 2014.
“Menurut keterangannya yang dicatatkan di mahkamah, sehingga jualan syarikat oleh Utama Banking Group diselesaikan, yang berlaku pada 13 April 2015, Putrajaya Perdana berada di bawah kawalan Jho Low menerusi Utama Banking Group Bhd (UBG), tetapi dia sendiri tidak mempunyai kata putus dalam pengurusan syarikat ketika itu.
“Oleh itu, saya ingin menjelaskan bahawa mahkamah tidak membuat sebarang penemuan mengenai perkara ini dan ia kekal sebagai keterangan bersumpah dalam rekod,” ujar Amir Hamzah.
Ini bermakna ketika pembelian ekuiti dibuat, PPB sedang berada di bawah kawalan Jho Low termasuk sewaktu persetujuan oleh panel pelaburan pada 24 Julai 2014, persetujuan oleh lembaga dan menteri pada 25 dan 27 Ogos, serta ketika perjanjian pembelian ekuiti syarikat ditandatangani pada 3 Disember tahun sama.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mendakwa Jho Low sendiri yang telah mendapatkan jumlah pelaburan dari TH berjumlah ratusan juta ke dalam syarikat yang dikawal olehnya ketika itu.
Namun dalam masa sama, beliau berpendapat forensik auditing yang dilakukan akan mendedahkan individu lain yang menerima keuntungan daripada perkara tersebut.
“Kalau untung tak apa tetapi melalui laporan RCI ini ia menunjukkan bahawa kerugian yang dialami oleh umat Islam itu mencecah lebih RM150 juta.
“Saya rasa kalau forensik auditing dilakukan Tuan Yang di-Pertua kita akan tahu siapa yang menerima untung selain Jho Low dan kita perlu heret individu atau sekumpulan tersebut ke muka pengadilan,” katanya.
Isu ini tidak terhenti di situ sahaja, apabila Ahli Parlimen Port Dickson Aminuddin Harun membangkitkan persoalan mengenai 1MDB yang menaja 5,711 individu untuk menunaikan haji antara 2011 dan 2017 dengan kos kira-kira RM57 juta.
Katanya, peserta yang mendapat tajaan itu dipilih dalam kalangan pemimpin masyarakat yang mempunyai pengaruh di kawasan setempat seperti imam, ketua kampung dan ahli jawatankuasa, namun dibuat tanpa mengikut konsep istito’ah (kemampuan menunaikan haji).
“Persoalannya, adakah program ini semata-mata kebajikan atau turut memberikan manfaat politik kepada parti tertentu?
“Sumber dana program tersebut juga wajar dijelaskan dengan telus: adakah ia sebenarnya guna duit pendeposit sendiri, atau mempunyai kaitan dengan dana 1MDB yang diselewengkan?” soal Aminuddin.
Isu berkenaan kaitan antara dana TH dan 1MDB telahpun dibahaskan oleh bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli di parlimen sejak Mac 2016.
Beliau bagaimanapun telah menjadi mangsa fitnah seolah-olah ingin menghasut orang Islam agar menjatuhkan lembaga itu sehingga ditangkap, didakwa dan hampir dipenjarakan.
“Saya bawa perkara ini ke parlimen seawal Mac 2016, diikuti dengan 34 pendedahan lain di antara 2016 ke 2018 mengenai salah laku, pelaburan yang lesap dan keterlibatan Tabung Haji dalam skandal 1MDB sepanjang pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dahulu,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
𝗞𝗘𝗡𝗬𝗔𝗧𝗔𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗗𝗜𝗔
𝟯𝟭 𝗝𝘂𝗹𝗮𝗶 𝟮𝟬𝟮𝟲𝗥𝗖𝗜 𝗧𝗔𝗕𝗨𝗡𝗚 𝗛𝗔𝗝𝗜:
𝟭𝟬 𝗧𝗔𝗛𝗨𝗡 𝗕𝗘𝗥𝗟𝗔𝗟𝗨, 𝟱 𝗣𝗘𝗥𝗗𝗔𝗡𝗔 𝗠𝗘𝗡𝗧𝗘𝗥𝗜 𝗗𝗔𝗡 𝗧𝗔𝗕𝗨𝗡𝗚 𝗛𝗔𝗝𝗜 𝗠𝗔𝗦𝗜𝗛 𝗕𝗘𝗥𝗗𝗘𝗣𝗔𝗡 𝗥𝗜𝗦𝗜𝗞𝗢Pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)… pic.twitter.com/K8mp1Z47TW
— Rafizi Ramli (@rafiziramli) July 31, 2026