Apabila tiba bulan Ramadan, sering terdapat perbincangan mengenai kesihatan wanita yang sedang mengandung atau menyusukan anaknya. Beberapa wanita turut berkongsi bahawa bayi mengeras atau mereka keguguran akibat memaksa diri mereka berpuasa pada bulan Ramadan. Adakah terdapat keringanan bagi wanita mengandung berkenaan puasa Ramadan?
“Ala sejam je lagi nak berbuka. Boleh kot tunggu”
“Dah tengah hari, rasa sayang plak nak berbuka posa”
“Mengandung sebelum ni elok je puasa penuh, takkan mengandung kali ini tak boleh kan?” pic.twitter.com/poBM2RCKjW
— Dr Izzat (@muhammadeizat) March 23, 2023
Perkara yang menyebabkan wanita mengandung atau menyusu anak tidak mampu berpuasa
Dr Muhammad Izzat, seorang pakar kesihatan wanita dan kehamilan, telah berkongsi di akaun Twitternya bahawa wanita mengandung digalakkan segera berbuka puasa dalam beberapa situasi. Antaranya adalah apabila mereka merasakan bayi kurang bergerak, berasa kontraksi yang sakit atau tidak sihat seperti demam dan dehidrasi.
Malah, menurut Dr Izzat, wanita yang mempunyai gestational diabetes mellitus (GDM), iaitu mengalami kencing manis hanya sewaktu kehamilan, tidak digalakkan untuk berpuasa. Mereka cuma boleh berpuasa selepas dinilai oleh doktor serta perlu makan sahur dan minum air mencukupi di luar waktu puasa.
Ibu yg ada GDM on insulin memang tak digalakkan berpuasa Ramadhan, ni dah cukup jelas.
On the other hand, Ibu yg ada GDM on diet control, lepas dinilai oleh doktor boleh berpuasa dengan syarat tak tinggal makan sahur dan memastikan air mencukupi diminum pada waktu malam.
— Dr Izzat (@muhammadeizat) March 28, 2023
Bagi wanita yang menyusukan anak pula, sudah tentu mereka akan kehilangan cecair dengan cepat. Perkara ini boleh menyebabkan mereka keletihan dan dehidrasi, serta kelaparan akibat kekurangan zat dalam badan.
Hukum wanita mengandung atau menyusu anak tidak berpuasa Ramadan
Terdapat lima syarat yang menjadikan seseorang itu wajib berpuasa pada bulan Ramadan iaitu Islam, baligh, berakal, sihat dan mampu untuk berpuasa, serta tidak bermusafir. Individu yang mencukupi kelima-lima syarat ini wajib berpuasa, termasuklah wanita yang sedang mengandung atau menyusukan anak.
Walaupun begitu, Islam adalah agama yang rahmah dan memberi rukhsah (keringanan) kepada wanita hamil atau menyusu anak dalam ibadah berpuasa. Menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, wanita mengandung dan menyusukan anak yang tidak mampu untuk berpuasa boleh membuka puasanya.
Ketetapan ini adalah berdasarkan sebuah dalil dalam hadis Anas bin Malik RA:
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ شَطْرَ الصَّلَاةِ، وَعَنِ الْمُسَافِرِ وَالْحَامِلِ وَالْمُرْضِعِ الصَّوْمَ، أَوِ الصِّيَامَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah meringankan daripada orang yang musafir dengan separuh solat dan meringankan daripada puasa bagi perempuan hamil dan menyusukan anaknya.”
Riwayat al-Tirmidzi (715), al-Nasaie (2775) dan Ibn Majah (1667)
Pada masa yang sama, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata wanita mengandung tidak dilarang untuk berpuasa kerana tiada dalil khusus yang berkenaan. Ia adalah sekadar keringanan yang diberikan kepada mereka.
Qada puasa dan bayar fidyah
Perlukah wanita mengandung yang meninggalkan puasa menggantikan (qada) puasa tersebut? Terdapat beberapa khilaf mengenai perkara ini, namun Mazhab Syafie dan Hanbali mewajibkan mereka untuk qada puasa mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT dalam ayat 184 Surah al-Baqarah:
فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
Maksudnya: “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam keadaan musafir (maka bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah dia berpuasa mengqadha (sebanyak hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.”
Di samping itu, wanita mengandung atau menyusu yang tidak berpuasa kerana risau terhadap kesihatan mereka dan bayi hanya perlu qada puasa. Namun begitu, bagi wanita yang cuma risau terhadap kesihatan janin atau bayi, wajib qada puasa dan membayar fidyah sebanyak satu cupak bagi satu hari puasa ditinggalkan.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 184:
وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِين
Maksudnya: “Dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya untuk berpuasa ( kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu member makan kepada orang miskin.”
Sebagai tambahan, beberapa sahabat seperti Ibn Abbas dan Ibn Umar berpendapat wanita yang tidak berpuasa kerana mengandung atau menyusu perlu membuat bayaran fidyah sahaja. Mazhab Maliki mewajibkan qada puasa dan bayaran fidyah ke atas wanita yang menyusukan anak, tetapi wanita mengandung hanya wajib qada puasa. Mazhab Hanafi pula meletakkan ketetapan wajib qada puasa bagi kedua-dua wanita mengandung dan menyusu, tetapi sunat jika mereka membayar fidyah.
Wanita mengandung atau menyusukan anak boleh tidak berpuasa pada bulan Ramadan
Secara umumnya, wanita yang sedang mengandung atau menyusukan anak wajib berpuasa pada bulan Ramadan. Namun begitu, mereka diberikan rukhsah jika situasi dan tahap kesihatan mereka tidak membolehkan mereka untuk berpuasa. Dr Zilal Saari dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, wanita seharusnya mengambil rukhsah yang diberikan oleh Islam sekiranya mereka memerlukannya.