Adakah Seorang Musafir Boleh Meninggalkan Puasa Pada Bulan Ramadan?

Benar
Adakah Seorang Musafir Boleh Meninggalkan Puasa Pada Bulan Ramadan?

Terdapat syarat-syarat tertentu bagi individu musafir untuk mendapat rukhsah berpuasa pada bulan Ramadan

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 31/03/2023 - Disunting : 31/03/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Seorang Musafir Boleh Meninggalkan Puasa Pada Bulan Ramadan?

Individu bermusafir adalah mereka yang melakukan perjalanan sejauh lebih 2 marhalah, iaitu bersamaan dengan 81 km menurut Mufti Perak dan antara 85km hingga 89km menurut Mufti Wilayah Persekutuan. Musafir diberikan keringanan dalam berpuasa dan boleh memilih untuk tidak berpuasa. Umum sedia maklum bahawa orang yang bermusafir diberikan keringanan dalam ibadah berpuasa. Namun begitu, adakah terdapat syarat-syarat yang membolehkan seorang musafir untuk tidak berpuasa? 

 

Syarat tidak berpuasa bagi individu bermusafir

Allah SWT telah memberikan rukhsah (keringanan) terhadap individu bermusafir melalui firmannya yang berikut:

مَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْر

Maksudnya: “..dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka dan ganti) pada hari-hari yang lain. Allah mahu kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak mahu kamu menanggung kesukaran” (Surah al-Baqarah: 185)

 

Mufti Perlis Datuk Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza) berkata individu bermusafir diberi keringanan dalam berpuasa tidak kira keadaannya. Oleh itu, walaupun dia sering bermusafir seperti pemandu kapal terbang, dia masih mendapat kelonggaran dalam berpuasa.

Keringanan ini juga diberikan kepada individu bermusafir sama ada dia merasa penat ataupun tidak. Kata Dr Maza, hal ini adalah kerana ‘illah, iaitu paksi kelonggaran ini adalah permusafiran, bukan keadaan diri individu bermusafir. 


Walaupun begitu, musafir yang dilakukan tersebut haruslah atas tujuan perkara mubah (tiada dosa jika ditinggalkan) dan bukan bertujuan maksiat atau membantu maksiat. Malah, menurut Ustaz Azhar Idrus, individu bermusafir harus memulakan perjalanannya sebelum waktu Subuh untuk membolehkannya mendapat rukhsah tidak berpuasa. 

Hal ini adalah berdasarkan Majlis Fatwa Jordan yang menyatakan bahawa majoriti ulama fekah mazhab Syafie, Hanafi dan Maliki mensyaratkan individu bermusafir keluar dari rumah sebelum terbit fajar. Namun begitu, jika memulakan perjalanan selepas itu dan tidak mampu untuk berpuasa, tidak salah baginya untuk mengambil rukhsah tersebut. 

Tambahan lagi, Ustaz Azhar Idrus berkata, walaupun seseorang itu sedang bermusafir tidak bermakna dia boleh tidak berpuasa daripada siang hari. Sebaliknya, dia hanya boleh makan apabila dalam perjalanan dan selepas telah keluar daripada mukim tempat tinggalnya, seperti mana syarat untuk mengqasarkan solat. 

 

Lebih afdal puasa atau berbuka

Walaupun individu bermusafir dibolehkan oleh syarak untuk berbuka puasa, terdapat persoalan jika seorang musafir lebih afdal berpuasa ataupun tidak. 

Menurut mazhab Syafie, Hanafi dan Maliki, lebih afdal untuk orang musafir berpuasa sekiranya dia tidak penat sewaktu dalam perjalanannya. Sebaliknya, lebih baik berbuka puasa jika individu tersebut penat dan tidak larat berpuasa. 

Allah S.W.T telah berfirman di dalam Surah al-Baqarah, ayat 184:

وَأَن تَصُومُوا خَيْرٌ لَّكُم إِن كُنتُمْ تَعْلَمُون

Maksudnya: “Dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui”

Imam al-Nawawi berkata lebih afdal berpuasa sekiranya larat dan tidak membawa mudarat kerana individu dapat terlepas daripada husul bara’ah al-zimmah, iaitu tanggungan kerana meninggalkan berpuasa yang perlu digantikan.


Di samping itu, mazhab Hanbali pula berpendapat lebih
afdal berbuka puasa sekiranya sedang bermusafir. Pendapat ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W seperti di dalam Riwayat al-Bukari (1844) dan Muslim (1115):

ليس من البرّ الصّيام في السّفر

Maksudnya: “Tiada kebaikan berpuasa ketika musafir”

Menurut Imam Ahmad, mengambil rukhsah yang diberikan oleh agama adalah lebih afdal. Oleh itu, lebih afdal jika berbuka puasa sewaktu sedang musafir, seperti mana mengambil rukhsah mengqasarkan solat.

Pada masa yang sama, individu musafir yang tetap ingin meneruskan puasanya juga tidak salah.

هِيَ رُخْصَةٌ مِنْ اللَّهِ، فَمَنْ أَخَذَ بِهَا فَحَسَنٌ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَصُومَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Bahawasanya ia (berbuka) adalah rukhsah yang telah diberikan oleh Allah S.W.T, maka barangsiapa yang berbuka maka ia adalah baik, dan barang siapa yang ingin berpuasa maka tidak ada dosa baginya.”

Riwayat Muslim (1121)


Umar Abdul Aziz dan Ibn Munzir pula berpendapat
afdalnya suatu puasa terletak pada individu tersebut. Jika individu bermusafir merasakan lebih mudah berpuasa, lebih afdal baginya berpuasa. Sebaliknya, jika individu bermusafir berasa lebih mudah berbuka puasa, ia adalah perkara yang lebih afdal baginya. Namun begitu, jika individu tersebut merasakan kesusahan untuk qada puasa pada kemudian hari, lebih afdal baginya untuk meneruskan puasanya.

Pandangan di atas adalah berdasarkan surah al-Baqarah ayat 185,

 يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ، وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesusahan”

 

Individu sedang bermusafir boleh membuka puasanya

Ternyata bahawa individu yang bermusafir atas tujuan yang tidak maksiat diberi rukhsah untuk membuka puasanya. Namun begitu, mereka harus mula musafir sebelum Subuh dan berpuasa dahulu sehingga keluar daripada mukim tempat tinggal. Pada masa yang sama, individu musafir yang mampu berpuasa lebih afdal meneruskan puasanya. Bagi individu musafir yang membuka puasanya pula, lebih afdal jika makan secara tersembunyi


Rujukan:

1. https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1364-al-kafi-255-maksud-musafir-mukim-dan-bermastautin-serta-berapa-hari-boleh-jamak-qasar
2. https://www.facebook.com/DrMAZA/posts/hukum-hakam-berbuka-puasa-semasa-musafirassalamualaikum-dr-yang-dihormati-saya-t/10156497799812990/
3. https://www.facebook.com/145765212200624/posts/syarat-musafir-bolih-berbukasoalan-kalau-kita-hendak-bermusafir-dalam-bulan-puas/3059357084174741/
4. Youtube Ustaz Azhar Idrus Official [https://www.youtube.com/watch?v=gcPvLbeEkxA]
5. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/edisi-ramadhan/4447-irsyad-al-fatwa-khas-ramadhan-siri-ke-159-mana-lebih-utama-bagi-orang-bermusafir-berpuasa-atau-berbuka
6. https://malaysiabersuara.com/artikel/semak-fakta/adakah-individu-yang-tidak-boleh-berpuasa-dilarang-makan-di-khalayak-ramai-menurut-islam/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago