Adakah Fidyah Perlu Dibayar Selepas Ganti Semua Puasa?

Salah
Adakah Fidyah Perlu Dibayar Selepas Ganti Semua Puasa?

Individu yang meninggalkan puasa atas situasi tertentu perlu membuat bayaran fidyah

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 04/04/2023 - Disunting : 04/04/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Fidyah Perlu Dibayar Selepas Ganti Semua Puasa?

Individu yang meninggalkan puasa Ramadan atas sebab tertentu atau melewatkan ganti puasa Ramadan perlu membayar fidyah, iaitu suatu bentuk ibadah niyabah (gantian) untuk menebus diri kerana kekurangan dalam amal ibadah. Hukum lebih lanjut mengenai pembayaran fidyah dan situasi yang memerlukan seseorang membayar fidyah boleh dilihat DI SINI.

Persoalannya, sekiranya seseorang perlu membayar fidyah dan ganti puasa, adakah fidyah perlu dibayar dahulu atau hanya setelah semua puasanya yang tertangguh selesai digantikan.

 

Bayar fidyah dan ganti puasa

Secara ringkasnya, pembayaran fidyah perlu dilakukan sekiranya seseorang tidak sempat mengganti puasa yang ditinggalkan pada Ramadan lepas. Bayaran fidyah adalah sebanyak satu cupak beras bagi setiap satu hari puasa yang ditinggalkan.

Di kebanyakan negeri di Malaysia, bayaran fidyah berganda mengikut jumlah tahun puasa tidak diganti. Contohnya, jika tinggal puasa pada tahun 2021 dan masih belum qada puasa dan bayar fidyah, kiraan fidyah bagi tahun 2023 adalah seperti berikut:

Bilangan hari tidak puasa bagi tahun 2021 x Kadar fidyah x 2 tahun (kerana telah masuk Ramadan kedua setelah puasa ditinggalkan)

Oleh yang demikian, lebih elok jika puasa yang ditinggalkan diganti serta-merta supaya jumlah bayaran fidyah tidak terlalu tinggi. Harus diingat, walaupun fidyah telah dibayar, puasa yang ditinggalkan dahulu wajib diganti oleh individu tanpa sebarang keuzuran untuk berpuasa. Menurut Dr Arieff Salleh Rosman, Pengarah Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFirst) di Universiti Teknologi Malaysia, hukum mengganti puasa masih wajib kerana ia adalah hutang kepada Allah SWT yang perlu segera dilaksanakan. 

 

Waktu bayaran fidyah

Mengikut jumhur ulama, fidyah puasa perlu dibayar sebaik sahaja ibadah puasa yang berkenaan tidak sempat disempurnakan. Perkara ini bermaksud fidyah perlu dibayar pada bulan Ramadan berikutnya, sekiranya puasa dari Ramadan lepas tidak sempat diganti. Namun begitu, ia tidak bermakna fidyah hanya boleh dibayar pada bulan Ramadan, tetapi digalakkan supaya cepat dilaksanakan supaya tidak bertangguh dan berhutang dengan Allah SWT. 

Ustaz Azhar Idrus berkata bayaran fidyah dan ganti puasa seharusnya dilakukan secara serentak. Akan tetapi, fidyah juga boleh dibayar lebih awal jika individu tersebut masih belum sempat menggantikan puasa yang tertangguh.

Di samping itu, bagi individu yang tidak lagi mampu berpuasa akibat uzur dan cuma diwajibkan membayar fidyah, fidyah boleh dibayar bermula 1 Ramadan dan dibayar dari sehari ke sehari. Walau bagaimanapun, jumlah fidyah boleh juga dikumpulkan dan dibayar di hujung puasa sebelum masuk bulan Syawal. 

Ustaz Muhaizad Mohamed pernah menjawab persoalan mengenai terlupa bayar fidyah pada bulan Ramadan. Katanya, fidyah boleh dibayar kemudian jika belum bayar dan pada bila-bila masa apabila timbul kewajipan membayar fidyah.

Malah, jika seseorang itu telah ganti puasa tetapi belum sempat bayar fidyah, fidyah tersebut tidak lagi berganda. Contohnya, jika seseorang meninggalkan satu hari puasa pada tahun 2020 dan tidak sempat puasa sehingga Ramadan 2021, dia akan berhutang satu hari qada puasa dan secupak bayaran fidyah. Sekiranya dia telah ganti puasa sebelum Ramadan 2022 tanpa membayar fidyah, fidyahnya akan kekal secupak walaupun telah masuk Ramadan 2023.

Terdapat juga pandangan lain seperti oleh Mufti Perlis Datuk Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza) yang berkata supaya puasa yang ditinggalkan diganti terlebih dahulu. Pada masa yang sama, jika seseorang mempunyai kelebihan dari segi kewangan, dia boleh membuat bayaran fidyah serta-merta.

 

Fidyah perlu dibayar sebaik sahaja timbulnya kewajipannya

Kebanyakan ulama berpendapat bahawa fidyah puasa perlu segera dibayar apabila ia menjadi wajib ke atas seseorang, seperti jika tidak sempat menggantikan puasa sebelum masuk Ramadan seterusnya. Namun begitu, jika seseorang itu tidak mampu, wajib dia segera ganti puasa dahulu dan boleh bayar fidyahnya apabila telah mampu.

Fidyah dan qada puasa adalah hutang individu dengan Allah SWT yang perlu segera dilangsaikan. Qada puasa yang tertangguh juga lebih elok dipercepatkan supaya jumlah fidyah tidak berganda.


Rujukan:

1. https://www.therakyatpost.com/trpbm/petua/2022/03/17/dah-ganti-puasa-kalau-belum-kena-bayar-fidyah-apa-itu-fidyah-cara-kiraannya/
2. https://majoriti.com.my/mukmin/2022/03/24/tak-sempat-ganti-puasa-empat-situasi-ini-umat-islam-perlu-qada-atau-bayar-fidyah
3. https://www.malaysiakini.com/news/264906
4. https://ecentral.my/cara-bayar-fidyah/
5. Youtube Ustaz Azhar Idrus Official
6. Youtube Ustza Muhaizad Official
7. Youtube My Ustaz

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago