Boleh dikatakan hampir setiap keluarga pasti mempunyai simpanan ubat-ubatan umum seperti paracetamol dan cirit birit sebagai persediaan sekiranya ahli keluarga jatuh sakit. Namun kadangkala, sesetengah ubat secara tidak sengaja disimpan melepasi tarikh luput.
Persoalannya, adakah ubat yang telah luput masih boleh digunakan dan sama ada ia mempunyai keberkesanan yang sama?
Tarikh luput adalah anggaran waktu potensi ubat berkurang
Merujuk kepada Panduan Tarikh Luput dan Penyimpanan Ubat-Ubatan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tarikh luput ubat ialah masa yang dianggarkan apabila produk farmaseutikal tidak lagi berada dalam spesifikasi yang boleh diterima dari segi potensi dan kestabilan.
Dalam masa sama, keadaan ubat-ubatan juga bergantung kepada kaedah penyimpanan ubat yang ditetapkan. Ubat yang disimpan di tempat yang sejuk dan kering mungkin dapat bertahan lebih lama berbanding yang diletakkan di lokasi panas dan lembap.
Menurut Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Amerika Syarikat, ubat-ubatan yang telah melepasi tarikh luput boleh menjadi kurang efektif atau pun lebih berisiko disebabkan oleh perubahan pada komposisi kimia. Malah, sesetengah ubat berisiko mengalami pertumbuhan bakteria.
Selain itu, antibiotik yang melepasi tarikh luput kurang potensinya dan akan gagal merawat jangkitan, sebaliknya menyebabkan penyakit lebih serius dan kerintangan antibiotik.
Berdasarkan artikel oleh Harvard Health Publishing, kajian pada awal 1990an oleh servis ketenteraan Amerika Syarikat dengan pengawasan FDA mendapati kebanyakan daripada 100 jenis ubat-ubatan masih berada dalam keadaan yang elok walaupun setelah tiga tahun melepasi tarikh luput.
Pun begitu, memandangkan kajian itu telah dijalankan lebih 30 tahun lalu, ubat-ubatan yang lebih baharu mungkin masih belum diuji. Kajian itu juga merangkumi banyak ubat-ubatan yang jarang digunakan oleh orang awam seperti antibiotik untuk malaria dan antidot penawar bagi keracunan kimia.
Malah, beberapa jenis ubatan juga gagal dalam ujian kestabilan, termasuklah antibiotik dalam bentuk cecair, aspirin nitroglycerin dan insulin, kesemuanya mengalami kerosakan fizikal.
Terdapat ubat yang boleh diambil selepas tarikh luput
Menurut University Hospitals, sebahagian besar ubat yang dibeli di farmasi (over-the-counter) mengekalkan kestabilan dan potensi walaupun telah melepasi tarikh luput. Oleh itu, pengambilan ubat telah tamat tempoh masih boleh digunakan bagi kesakitan minor seperti sakit kepala dan alergi.
Sebaliknya, ubat-ubatan yang diambil berdasarkan saranan pakar perubatan seperti aspirin untuk kesihatan jantung, perlu digantikan secepat mungkin selepas melepasi tarikh luput.
Farmasi James Reissig berkata, sangat sedikit ubat-ubatan yang menjadi toksik selepas luput, sebaliknya ia hanya menjadi kurang efektif disebabkan oleh perubahan pada komposisi kimia. Namun dalam keadaan tertentu, pengambilan ubat yang telah melepasi tarikh luput boleh menyebabkan masalah kesihatan serius.
Ubat telah luput mungkin kurang berkesan dan tercemar
Laman web Healthline telah menerangkan lebih lanjut mengenai risiko yang wujud sekiranya mengambil ubat selepas tarikh luput.
Pertama, ubat tersebut mungkin menjadi kurang berkesan disebabkan oleh perubahan pada komposisi kimianya. Ini bermakna, pengambilan ubat yang telah luput akan menyebabkan pesakit tidak menerima dos yang betul, sekaligus menurunkan keberkesanannya lebih banyak.
Ubat-ubatan melepasi tarikh luput juga mungkin tercemar dan berisiko mengalami pertumbuhan bakteria, menyebabkan ia tidak boleh diambil. Risiko pencemaran meningkat jika ubat tidak disimpan mengikut kaedah yang disarankan. Antara contoh ubat termasuk dalam bentuk cecair seperti ubat batuk dan ubat titis mata.
Pengambilan ubat selepas tarikh luputnya juga mungkin mempunyai kesan sampingan yang tidak dijangka, memandangkan ia berisiko menjadi toksik dan berbahaya buat kesihatan. Malah, ia boleh menyebabkan jangkitan serius atau memburukkan simptom masalah kesihatan yang pesakit alami.
Gunakan ubat luput jika tiada ubat lain sama sekali
Bercakap kepada Cleveland Clinic, doktor perubatan Simon Hodes, menerangkan bahawa ubat yang telah melepasi tarikh luput adalah lebih baik berbanding tiada ubat langsung dalam sesetengah kes serius.
Contohnya seperti menggunakan EpiPen yang telah luput bagi merawat anaphylaxis. Namun, segera maklumkan perkara ini beserta dengan tarikh luputnya kepada doktor.
Katanya lagi, mengambil ubat yang telah melepasi tarikh luput untuk sakit kepala masih dibolehkan, tetapi tidaklah bagi insulin atau nitroglycerin.
“Hubungi pembekal ubat segera jika ubat telah melepasi tarikh luput dan anda mempunyai keadaan kesihatan yang serius seperti diabetes atau penyakit jantung. Insulin dan nitroglycerin adalah dua ubat yang cepat rosak apabila mencapai tarikh luput. Mengambil dos salah bagi jenis ubat-ubatan ini boleh menyebabkan kecemasan perubatan,” katanya.
Terdapat ubat yang tidak boleh digunakan langsung selepas tarikh luput
Seperti yang dinyatakan, terdapat ubat-ubatan tertentu yang tidak boleh digunakan sama sekali selepas tarikh luput. Menerusi hantaran di Facebook, Farmasi Bagan Serai berkata terdapat ubat yang mempunyai Indeks Terapeutik Kecil (NTI). Ini bermakna walau sedikit sahaja kandungan bahan aktifnya berkurangan, ia boleh menyebabkan kesan yang buruk dan serius kepada pesakit.
“Ubat-ubat jenis ini sentiasa dipantau oleh Ahli Farmasi untuk pastikan tarikh luputnya dipatuhi,” jelasnya.
Berikut merupakan contoh ubat dengan NTI yang perlu dipantau tarikh luput secara ketat dan tidak boleh sama sekali diambil setelah tarikh luput ialah:
- Insulin - cepat berkurang potensinya
- Pencegah kehamilan secara oral
- Ubat mata - mata sangat sensitif kepada baktera yang mungkin membiak dalam cecair ubat mata apabila pengawetnya terjejas selepas expired.
- Antibiotik - Aminoglycosides, Vancomycin
- Ubat sawan
- Dilantan, Phenobarbitol
- Warfarin
- Nitroglycerin
- Theophylline
- Digoxin
- Ubat Thyroid
- Ubat suntikan
Insulin yang digunakan dalam rawatan diabetes pula rosak dengan cepat selepas tarikh luput, dan akan gagal mencegah lonjakan gula darah dengan berkesan menyebabkan komplikasi serius.
Selain itu, ubat yang memerlukan dos tertentu bagi merawat penyakit atau keadaan yang spesifik tidak patut digunakan jika telah melepasi tarikh luput. Antaranya ialah:
- Antikoagulan & antiplatelet (pencair darah)
- Pen epinefrin
- Inhaler (terutamanya ‘rescue inhaler’)
Sesetengah ubat tamat tempoh lebih awal setelah ia dibuka buat pertama kali
Bercakap kepada Malaysia Bersuara, seorang doktor perubatan menjelaskan lebih lanjut mengenai ubat yang telah ‘tamat tempoh’. Selain daripada tarikh luput yang dinyatakan pada ubat, ia juga bergantung kepada masa suatu ubat dibuka atau digunakan buat pertama kali.
Sebagai contoh, antibiotik dalam bentuk serbuk yang dibancuh menjadi cecair hanya boleh bertahan sekitar satu ke dua minggu, berbeza dengan tarikh luput yang ditetapkan. Contoh lain adalah:
- Ubat cecair - Satu hingga dua bulan selepas dibuka.
- Ubat titis hidung/ mata/ telinga - Satu bulan selepas dibuka.
- Ubat insulin - 1 bulan selepas digunakan (simpan dalam pen insulin pada suhu bilik).
Jangan buang ubat di dalam sinki atau jamban
Memandangkan terdapat risiko menggunakan ubat yang telah melepasi tarikh luput, ia perlulah dibuang dengan segera agar tidak diambil secara tidak sengaja.
Diingatkan bahawa ubat yang tidak lagi digunakan perlulah dilupuskan dengan betul dan bukanlah dibuang begitu sahaja. Selain daripada berisiko diambil dan digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab, pembuangan ubat dengan kaedah yang salah dapat mencemarkan alam sekitar.
Oleh itu, Jabatan Farmasi KKM memberi saranan agar ubat-ubatan tersebut dipulangkan atau dihantar ke hospital atau klinik kesihatan kerajaan yang berdekatan agar pelupusan dapat dilakukan menerusi kaedah yang betul.
Di Malaysia, pembuangan ubat di dalam saluran paip adalah tidak dibenarkan memandangkan loji kumbahan tidak berupaya merawat sisa kimia dalam air kumbahan, seterusya boleh menyebabkan pencemaran sistem pengairan. Ubat-ubatan yang mengandungi bahan kimia larut air pula boleh membahayakan hidupan akuatik.
Namun perkara ini berbeza mengikut negara. Sebagai contoh, AS membenarkan sesetengah ubat dibuang di dalam lubang jamban seperti yang tertera di dalam ‘flush list’ FDA.
Elakkan Pengambilan Ubat Yang Telah Lepas Tarikh Luput
Berdasarkan pendapat pakar, sesetengah ubat yang telah melepasi tarikh luput masih boleh digunakan bagi merawat kesakitan minor.Namun adalah lebih baik untuk mengelakkan perkara tersebut memandangkan terdapat risiko potensi ubat yang berkurangan atau ia menjadi tercemar. Malah, terdapat ubat-ubatan tertentu yang tidak boleh digunakan sama sekali setelah tamat tempoh keberkesanannya kerana boleh mendatangkan masalah kesihatan serius kepada pesakit.
Dalam pada itu, rakan doktor kami berpendapat bahawa terdapat ubat yang telah melepasi tarikh luput masih boleh digunakan, namun bukanlah yang telah lama luput. Beliau juga menekankan terdapat risiko yang wujud dan bahawa keberkesanan ubat itu juga bergantung kepada kaedah penyimpanannya.
Tambahnya lagi, pengambilan ubat dengan makanan yang telah tamat tempoh adalah berbeza. Makanan boleh dikenal pasti menerusi kerosakan pada produk tersebut seperti berkulat atau berbau busuk, sebaliknya kerosakan pada ubat-ubatan terutamanya yang bersifat kering sukar untuk ditentukan.
Baca Artikel Berkaitan: Adakah Berbahaya Jika Selalu Makan Paracetamol?
Baca Artikel Berkaitan: Adakah Orang Dewasa Perlu Makan Ubat Cacing?
Baca Artikel Berkaitan: Adakah Fluorida Di Dalam Ubat Gigi Penting Untuk Kesihatan Gigi?