Adakah Fluorida Di Dalam Ubat Gigi Penting Untuk Kesihatan Gigi?

Benar
Adakah Fluorida Di Dalam Ubat Gigi Penting Untuk Kesihatan Gigi?

Doktor gigi menyarankan supaya orang ramai menggunakan ubat gigi berfluorida

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 07/06/2023 - Disunting : 07/06/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Fluorida Di Dalam Ubat Gigi Penting Untuk Kesihatan Gigi?

Kaviti atau lubang pada gigi terbentuk disebabkan oleh asid yang dihasilkan oleh bakteria di dalam mulut. Bakteria ini menghasilkan asid apabila memakan sisa makanan yang mengandungi gula. Asid tersebut akan merosakkan mineral pada enamel gigi, iaitu lapisan luar gigi, dan menjadikan gigi terdedah kepada reput.

Kebanyakan ubat gigi yang boleh didapati di pasaran adalah ubat gigi yang mengandungi fluorida. Persoalannya, apakah kepentingan fluorida dalam penjagaan kesihatan gigi?

 

Fluorida dan sejarah penggunaannya

Fluorida adalah sejenis sumber mineral yang terkandung secara semula jadi di dalam air, tanah, tumbuh-tumbuhan, batu-batuan dan angin. Ia juga bahan yang membentuk tulang-belulang serta gigi. 

Sebenarnya, sejarah penggunaan fluorida bermula sejak tahun 1900-an lagi. Menurut The National Institute of Dental and Craniofacial Research, kajian ke atas fluorida bermula apabila penduduk di beberapa bandar mendapati gigi kekal anak-anak mempunyai tompok-tompok keperangan. Namun begitu, pada masa yang sama juga gigi mereka tidak cepat rosak. 

Kajian kemudiannya mendapati kadar fluorida yang tinggi di dalam sumber air yang menyebabkan kedua-dua keadaan tersebut. Menjelang tahun 1940-an, fluorida didapati boleh mengelakkan kaviti jika diambil dalam jumlah yang sepatutnya. Di Grand Rapids, Michigan, kadar kerosakan gigi kanak-kanak berkurang lebih 60% setelah fluorida ditambahkan ke dalam sumber air melalui proses pemfluoridaan air. 

 

Fungsi fluorida terhadap gigi

Pengambilan fluorida penting untuk meningkatkan kesihatan gigi. Ia membantu dalam menguatkan enamel gigi dan mengelakkan lubang terbentuk pada gigi. 

Enamel gigi mengalami kehilangan mineral setiap hari melalui proses demineralisasi akibat serangan asid yang dihasilkan oleh bakteria di dalam mulut. Jika gigi mengalami proses demineralisasi tanpa dirawat, lapisan enamel tidak akan pulih dan gigi akan mudah rosak. 

Pengambilan mineral seperti fluorida, kalsium dan fosfat daripada makanan dan minuman serta ubat gigi akan mendap semula ke dalam lapisan enamel melalui proses remineralisasi. 

 

Fluorida bukan sahaja membantu dalam proses remineralisasi dan mencegah karies gigi, tetapi juga membantu menghalang demineralisasi kalsium dan fosfat dalam enamel. Proses remineralisasi enamel gigi dapat dipertingkatkan dengan kehadiran fluorida topikal dan mineral lain dalam air liur. 

Di samping itu, kehadiran fluorida dalam mulut dapat mempercepatkan pembinaan semula struktur enamel, menjadikan enamel lebih tahan kepada asid, serta menghentikan ataupun merawat pereputan gigi. 

 

Ubat gigi berfluorida

Center for Disease Control (CDC), melalui tinjauan oleh lebih 25 orang pakar gigi, menyimpulkan bahawa setiap individu perlu terdedah kepada fluorida dalam jumlah yang sikit secara kerap. Pendedahan kepada fluorida boleh terjadi melalui sumber air dan penggunaan ubat gigi berfluorida. Individu disarankan untuk menggosok gigi menggunakan ubat gigi berfluorida dua kali sehari. 

American Dental Association telah menetapkan fluorida sebagai bahan yang selamat, berkesan dan penting dalam mencegah kerosakan gigi. Penggunaan fluorida akan menguatkan enamel, mengurangkan kaviti gigi dan menghasilkan mulut yang sihat. 

 

Ubat gigi bebas fluorida

Kini, terdapat juga ubat gigi bebas fluorida yang dipasarkan kepada pengguna. Ubat gigi ini penting bagi individu yang alergik terhadap fluorida atau bimbang terhadap sebarang masalah kesihatan yang dialaminya. 

Namun begitu, ubat gigi bebas fluorida kurang berkesan dalam mengelakkan kaviti dan kerosakan gigi. Individu yang menggunakan ubat gigi ini lebih terdedah kepada masalah gigi dalam jangka masa panjang. 

Selain itu, ia juga didapati kurang efektif dalam mencegah penyakit gusi kerana tiada fluorida yang dapat mengurangkan pembentukan plak dan radang. Ubat gigi berfluorida adalah penting untuk individu yang mempunyai risiko masalah periodontal atau gigi yang tinggi seperti kerana mempunyai sejarah keluarga.

 

Keburukan fluorida berlebihan

Walaupun fluorida penting untuk kesihatan gigi, pengambilannya secara berlebihan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti fluorosis gigi dan fluorosis tulang. 

Fluorosis gigi menyebabkan tompok-tompok pada gigi yang berwarna putih atau perang. Ia kebiasannya terjadi pada kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah iaitu sewaktu pembentukan gigi. 

Fluorosis tulang adalah kesan sampingan yang lebih teruk kerana ia terjadi kepada tulang berbanding gigi. Antara simptom awal fluorosis tulang adalah sakit sendi dan kekejangan. Fluorosis tulang yang tidak dirawat boleh mengakibatkan perubahan kepada struktur tulang dan menyebabkan pengapuran (calcification) ligamen. 

Satu kes yang dilaporkan di Amerika Syarikat mendapati seorang lelaki berusia 52 tahun mengalami fluorosis tulang kemungkinan kerana menelan ubat gigi. Namun begitu, kejadian tersebut adalah sangat jarang.

 

Fluorida di dalam ubat gigi penting untuk menjaga kekuatan gigi

Jelas bahawa ubat gigi yang mengandungi fluorida penting untuk kesihatan gigi. Ia dapat membantu dalam pencegahan gigi berlubang melalui proses remineralisasi dan menguatkan enamel daripada serangan asid. Malah, fluorida turut didapati dapat menghalang pembentukan plak gigi dan radang gusi.

Walau bagaimanapun, harus dipastikan flurodia diambil dalam jumlah yang dibenarkan. Di Amerika Syarikat setakat tahun 2015, jumlah maksimum fluorida yang boleh ditambah ke dalam sumber air adalah 0.7 bahagian setiap juta (parts per million). The American Dental Association (ADA) juga menyarankan supaya pengambilan fluorida oleh kanak-kanak dikawal. 


Rujukan:

1. https://www.mouthhealthy.org/all-topics-a-z/fluoride/
2. https://www.healthline.com/health/what-is-fluoride
3. https://www.colgate.com/en-us/oral-health/fluoride/why-use-a-fluoride-free-toothpaste#
4. http://www.myhealth.gov.my/penggunaan-fluorida-topikal
5. https://www.cdc.gov/mmwr/preview/mmwrhtml/rr5014a1.htm
6. https://www.cdc.gov/fluoridation/pdf/natures_way.pdf
7. https://www.miamiperio.com/blog/is-it-ok-to-use-non-fluoride-toothpaste
8. https://my.clevelandclinic.org/health/drugs/11195-fluoride

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 11 months ago