Adakah Berbahaya Jika Selalu Makan Paracetamol?

Benar
Adakah Berbahaya Jika Selalu Makan Paracetamol?

Panadol atau paracetamol sering diambil untuk melegakan kesakitan

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 13/01/2023 - Disunting : 13/01/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Berbahaya Jika Selalu Makan Paracetamol?

Dr Malar Santhi Santherasegapan, seorang pegawai perubatan, membuat ciapan di Twitter berkenaan pengambilan paracetamol, atau lebih dikenali sebagai Panadol (salah satu jenama paracetamol). Menurutnya, paracetamol yang diambil tidak akan kekal di dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada organ dalaman. Sebaliknya, ia akan disingkir daripada tubuh pada hari yang sama.

Walaupun begitu, Dr Malar berkata pengambilan paracetamol secara kerap dan berterusan berpotensi merosakkan organ dalaman seperti hati dan buah pinggang. Mari kita semak jika perkara ini benar

 

Paracetamol

Paracetamol adalah sejenis ubat tahan sakit atau painkiller yang digunakan untuk menghilangkan rasa sakit. Ia selalu diambil ketika demam, untuk menghilangkan sakit kepala, selesema, sakit gigi dan sakit ketika haid. Paracetamol datang dalam pelbagai bentuk seperti tablet, sirup, serbuk dan supositori. Walaupun paracetamol selamat jika diambil dalam dos yang ditetapkan, ia masih boleh menyebabkan kesan sampingan seperti mengantuk, sembelit dan ruam bagi sesetengah individu. 

Seorang dewasa boleh mengambil 2 biji paracetamol 500mg pada satu-satu masa dan mengambil dos baru setelah sekurang-kurangnya 4 jam. Menurut National Health Service (NHS) United Kingdom, pengambilan paracetamol bagi orang dewasa ditetapkan pada maksimum 8 biji sehari, iaitu bersamaan dengan 4g. 

 

Pencernaan paracetamol

Seperti yang dinyatakan oleh Dr Malar, paracetamol tidak akan kekal dan berkumpul di dalam badan. Paracetamol yang diambil akan disingkir daripada badan dalam tempoh 24 jam. Poster oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah menyatakan bahawa 98% daripada dos paracetamol yang diambil akan disingkirkan dari badan dalam tempoh 24 jam.

Kredit: Facebook KKM

 

Mengambil paracetamol secara kerap dan berlebihan

Paracetamol tidak boleh diambil melebihi dos maksimum yang ditetapkan kerana ia boleh menyebabkan gejala dos berlebihan seperti sakit perut, muntah, kekejangan, malah koma. Di samping itu, pengambilan paracetamol dalam jangka panjang turut boleh menyebabkan kesan sampingan seperti sesak nafas, anemia dan keletihan. Bahkan ia juga boleh menyebabkan risiko kegagalan hati dan buah pinggang dalam tempoh hanya dua ke empat hari.

Profesor Michael Doherty dari Nottingham University telah menjalankan sebuah kajian ke atas 900 orang pesakit berumur 40 tahun ke atas yang mengambil paracetamol, ibuprofen atau kedua-duanya bagi sakit lutut kronik. Kajian tersebut mendapati 1 daripada 5 pesakit yang mengambil paracetamol atau ibuprofen mengalami pendarahan dalaman dan kehilangan sebanyak satu unit (pain) darah.

Dr John Dickson, seorang pegawai kesihatan dari North Yorkshire, berkata paracetamol boleh menjadi ubat yang sangat berbahaya. Seperti pengambilan Non-Steroidal Anti Inflammatory Drugs (NSAIDS), pengambilan paracetamol secara berlebihan boleh menyebabkan masalah buah pinggang, hati dan pendarahan saluran pencernaan.

Menurut Profesor Andrew Moore dari Oxford University, walaupun dos maksimum paracetamol yang dibenarkan dalam sehari adalah sebanyak 4g, tetapi hanya terlebih 1g boleh menyebabkan masalah hati. Pengambilan paracetamol secara berlebihan boleh terjadi tanpa sengaja jika seseorang individu mengambil paracetamol bersama ubat-ubatan lain yang turut mengandungi paracetamol. 

 

Paracetamol boleh menjadi berbahaya jika diambil dengan kerap dan melebihi dos

Paracetamol tidak berbahaya jika diambil dalam kadar yang berpatutan tetapi boleh menyebabkan masalah kesihatan lain jika diambil dalam jumlah yang banyak. Malah, dos paracetamol yang berlebihan boleh menyebabkan masalah kesihatan kronik seperti masalah buah pinggang dan hati. Oleh itu, penting untuk mengikut dos yang ditetapkan oleh doktor perubatan untuk mengelak daripada mengambil paracetamol secara berlebihan. Di Amerika Syarikat, Food and Drug Administration (FDA) telah mengurangkan dos maksimum di dalam sebuah tablet paracetamol kepada 325mg untuk mengurangkan risiko dos yang berlebihan. 


Rujukan:

1. https://www.mstar.com.my/xpose/famili/2021/10/09/paracetamol-melegakan-sakit-tapi-bahaya-jika-disalah-guna
2. https://www.nhs.uk/medicines/paracetamol-for-adults/how-and-when-to-take-paracetamol-for-adults
3. Kementerian Kesihatan Malaysia
4. https://www.theguardian.com/lifeandstyle/2015/may/25/does-paracetamol-do-you-more-harm-than-good

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago