Hukum Membayar Fidyah Kerana Tinggal Puasa Ramadan

Hukum Membayar Fidyah Kerana Tinggal Puasa Ramadan

Fidyah adalah bayaran yang perlu dilakukan oleh individu yang meninggalkan puasa atas situasi tertentu

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 21/03/2023 - Disunting : 21/03/2023

Petition to

Hukum Membayar Fidyah Kerana Tinggal Puasa Ramadan

Fidyah

Individu yang meninggalkan puasa Ramadan atas sebab tertentu atau melewatkan ganti puasa Ramadan perlu membayar fidyah, iaitu suatu bentuk ibadah niyabah (gantian) untuk menebus diri kerana kekurangan dalam amal ibadah. Fidyah wajib dibayar sekiranya telah meninggalkan puasa Ramadan dan individu yang membuat bayaran fidyah akan mendapat pahala.

 

Allah SWT telah berfirman di dalam surah al-Baqarah ayat 184 yang bermaksud:

“Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.” 

 

Pensyariatan fidyah bukan sahaja bertindak sebagai suatu bentuk gantian terhadap ketidaksempurnaan dalam beramal ibadah, tetapi juga sebagai rukhsah (keringanan) dan jalan keluar bagi mereka yang tidak berkemampuan untuk melakukan ibadah puasa. Melalui fidyah, individu yang tidak mampu berpuasa secara badaniyyah (fizikal) boleh menggantikannya dalam bentuk ibadah maliyyah (harta). 

Bayaran fidyah wajib dilakukan mengikut pengiraan dan bilangan hari tidak berpuasa, iaitu satu cupak beras bagi satu hari tidak berpuasa. Di Malaysia, harga cupak berbeza mengikut negeri dan wilayah. Bayaran fidyah yang diterima oleh pusat zakat kemudiannya akan diagihkan kepada golongan fakir miskin. Pada masa yang sama, walaupun fidyah telah bayar, puasa yang ditinggalkan masih wajib diganti.

 

Individu yang perlu membayar fidyah

Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), individu yang meninggalkan puasa boleh dibahagikan kepada tiga keadaan, iaitu sama ada perlu qada (ganti) puasa sahaja, bayar fidyah sahaja atau kedua-duanya sekali. 

Secara umumnya, individu yang meninggalkan puasa tidak perlu qada puasa dan hanya perlu bayar fidyah sekiranya dia tidak mampu lagi untuk berpuasa. Wanita yang tidak puasa kerana mengandung atau kedatangan haid dan tidak sempat mengganti puasa sehingga Ramadan seterusnya perlu membayar fidyah dan masih wajib qada puasa. 

Situasi-situasi lain berkaitan meninggalkan puasa dan keperluan qada atau bayar fidyah boleh dilihat dalam gambar di bawah.

Pelbagai situasi tinggal puasa yang timbul. Sumber: JAKIM

 

Hutang puasa orang yang telah meninggal

Di samping itu, hutang puasa yang ditinggalkan oleh seseorang yang telah meninggal dunia juga masih perlu dilangsaikan. Menurut riwayat al-Bukhari (1952), Rasulullah SAW telah bersabda, “siapa yang mati dan padanya terdapat puasa yang belum digantikan, maka berpuasa bagi pihak (si mati) walinya.”

Riwayat tersebut menjelaskan bahawa wali perlu menggantikan puasa pada pihak si mati. Selain itu, wali juga boleh mengupah orang lain untuk berpuasa bagi pihak si mati dengan izin. Namun begitu, sekiranya tiada sesiapa yang boleh menggantikan puasa untuk si mati, pembayaran fidyah boleh dilakukan. 

Sebelum dibahagikan kepada waris-waris, sebahagian daripada harta pusaka perlu digunakan untuk membayar fidyah mengikut bilangan hari puasa yang ditinggalkan. Jika si mati tiada sebarang harta pusaka, orang lain boleh membayar fidyah bagi pihaknya. 

 

Hukum jika tidak mampu membayar fidyah

Bagaimana jika ada individu yang wajib membayar fidyah tetapi tidak mampu untuk melakukan sedemikian? Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah, berkata individu yang tidak mampu untuk berpuasa kerana sakit dan tidak mampu juga untuk membayar fidyah tidak lagi wajib membayar fidyah

Perkara ini adalah kerana individu berkenaan tergolong dalam kalangan orang susah (mu’sir) yang mempunyai harta cukup-cukup untuk dirinya sahaja. Ustazah Sharifah Fadylawaty juga berkata sunat jika ada pihak lain yang tolong membayarkan fidyah bagi individu yang tidak mampu setelah mendapat keizinannya. 

Berdasarkan pandangan Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, kewajipan membayar fidyah yang telah gugur bermaksud individu tersebut tidak perlu lagi membayarnya apabila dia telah kaya kelak. 

Ustaz Azhar Idrus berkata individu yang wajib qada puasa dan bayar fidyah, tetapi jika tidak mempunyai wang untuk membayar fidyah, tidak wajib membayarnya dan cuma perlu qada puasa. Namun begitu, menurutnya, individu tersebut perlu membayar fidyah yang berhutang apabila telah mempunyai wang. 

 

Fidyah wajib dibayar

Individu yang meninggalkan puasa atas sebab tertentu atau tidak menggantikan puasa sebelum tiba Ramadan seterusnya diwajibkan untuk membayar fidyah dan qada puasa. Walau bagaimanapun, jika individu terbabit tidak mampu untuk melakukan kedua-duanya sekali, diwajibkan untuk melakukan hanya salah satu daripadanya. 


Rujukan:

1. https://www.mais.gov.my/fidyah/
2. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/edisi-ramadhan/831-irsyad-al-fatwa-khas-ramadhan-84-hukum-menggantikan-puasa-bagi-yang-telah-meninggal-dunia
3. https://efaraid.mais.gov.my/fidyah/
4. https://sinarislamplus.sinarharian.com.my/hukum/ibadah/jika-tak-mampu-ganti-puasa-dan-bayar-fidyah-apa-patut-dibuat/
5. https://www.therakyatpost.com/trpbm/petua/2022/03/17/dah-ganti-puasa-kalau-belum-kena-bayar-fidyah-apa-itu-fidyah-cara-kiraannya/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago