Hak Istimewa Bumiputera Satu Bentuk Polisi Aparteid?

Hak Istimewa Bumiputera Satu Bentuk Polisi Aparteid?

Terdapat pihak yang menyifatkan hak keistimewaan di Malaysia sebagai satu bentuk aparteid

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 03/12/2024 - Disunting : 03/12/2024

Petition to

Hak Istimewa Bumiputera Satu Bentuk Polisi Aparteid?

Dalam Sesi Parlimen pada 28 November 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerangkan Malaysia masih belum menandatangani Konvensyen Genosid yang disebabkan oleh kekangan berkenaan Statut Rom dan Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD).

Katanya, ini kerana beberapa peruntukan di dalam kedua-dua dokumen tersebut tidak boleh diterima oleh sebahagian masyarakat Malaysia, terutamanya dalam dasar mempertahankan hak Bumiputera, soal agama serta isu berkaitan LGBT.

“Jawatankuasa Pilihan boleh bersama bincang antara parti bagaimana isu ini boleh dimajukan dengan melihat semula Status Rom dan meneruskannya jika terdapat kesepakatan,” jelasnya.

Namun begitu, terdapat pihak yang menyifatkan apa yang dikatakan Anwar berkenaan hak Bumiputera (polisi berdasarkan kaum) membuktikan bahawa negara menyokong diskriminasi kaum dan seolah-olah mempunyai undang-undang aparteid.

Malah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebelum ini pernah digelar sebagai ‘Akademi Aparteid’ kerana tidak dibuka untuk kaum selain golongan Bumiputera.

 

Undang-undang apartheid dipraktikkan di Afrika Selatan

Untuk merungkai isu ini, lebih baik sekiranya memahami dahulu sejarah dan asal-usul undang-undang aparteid. 

Aparteid pada asalnya merujuk kepada pengasingan kaum di Afrika Selatan. Profesor Syed Farid al-Attas menjelaskan bahawa pengasingan kaum di negara itu telah bermula lebih awal iaitu sejak penjajahan Belanda pada akhir abad ke-17. Namun perkara tersebut menjadi rasmi pada 1948 sebagai projek sosial kerajaan Parti Kebangsaan sehingga 1994.

Di bawah undang-undang aparteid, penduduk dibahagikan kepada empat kumpulan kaum iaitu hitam, India, berwarna (selain kulit putih) dan putih. Dengan pelaksanaannya, rakyat Afrika Selatan dilarang daripada menjalinkan hubungan antara berlainan kaum. Malah, lokasi di tempat-tempat tertentu, termasuk pantai dan tandas awam, diasingkan antara mereka yang berwarna dan putih. 

Jutaan rakyat berkulit hitam dikeluarkan secara paksa daripada rumah mereka. Sebaliknya mereka terhad dan terkurung di tempat asal suku kaum mengikut etnik, manakala orang putih memenuhi kawasan bandar. Lebih teruk lagi, rakyat berkulit hitam tidak dibenarkan untuk mengundi atau terlibat dalam hal politik, tetapi hanya menjadi buruh bagi golongan kulit putih.

Walaupun undang-undang aparteid di Afrika Selatan kini telah dimansuhkan, namun perkauman telah jauh berakar dalam kalangan masyarakatnya. Merujuk kepada satu artikel dalam United Nations, negara itu masih dalam usaha menghapuskan rasisme dan legasi aparteid.

 

Beberapa negara dikatakan jalankan polisi aparteid

Pada masa kini, walaupun dengan penerapan hak sama rata dalam kalangan masyarakat dunia, terdapat beberapa negara yang turut dipercayai mengamalkan polisi aparteid.

Sebagai contoh, Amnesty International menggelarkan situasi yang berlaku terhadap rakyat Palestin sebagai satu bentuk aparteid oleh rejim Israel.

Sejak rejim Israel ditubuhkan sebagai satu ‘negara’, banyak penduduk Palestin yang terpaksa berpindah dari rumah mereka untuk memberi ruang kepada peneroka (settlers). Diskriminasi, penyingkiran, penindasan pembangkang, serta pembunuhan dan kecederaan terhadap rakyat Palestin merupakan sebahagian daripada sistem yang dibentuk oleh Israel. 

“Sejak Israel menduduki Baitulmaqdis Timur dan seluruh Tebing Barat pada 1967, rakyat Palestin di Sheikh Jarrah terus-menerus menjadi sasaran pihak berkuasa Israel, yang menggunakan undang-undang diskriminasi untuk secara sistematik merampas tanah dan rumah penduduk asal demi kepentingan Yahudi Israel,” katanya.

Amnesty International menerangkan bahawa perkara ini adalah bersamaan dengan aparteid. Ia bukan sahaja melanggar undang-undang antarabangsa, tetapi juga melanggar hak manusia yang dilindungi dan merupakan jenayah terhadap kemanusiaan di bawah undang-undang jenayah antarabangsa.

“Aparteid paling mudah difahami sebagai sebuah sistem perlakuan diskriminasi yang berpanjangan dan kejam oleh satu kumpulan bangsa ke atas yang lain, dengan niat untuk mengawal kumpulan kedua,” jelasnya.

 

Amnesty International turut menegaskan bahawa apa yang terjadi di Myanmar, iaitu diskriminasi dan pengasingan kaum yang dilakukan ke atas etnik Rohingya, adalah satu bentuk aparteid.

Menurutnya, ia secara undang-undangnya merupakan aparteid kerana keganasan yang sangat teruk dan meluas terhadap etnik Rohingya menjadi serangan sistematik dan meluas terhadap penduduk awam yang jelas dikaitkan dengan etnik atau identiti kaum mereka.

Malah, etnik Rohingya juga diasingkan berbanding kaum lain di tempat tertentu seperti di wad hospital berasingan yang digelar ‘wad Muslim’ dan dilarang daripada menyertai sekolah kerajaan.

 

Selain itu, situasi yang berlaku ke atas etnik Uighur di wilayah Xinjiang, China juga dikatakan sebagai satu bentuk aparteid. Etnik minoriti ini terpaksa berpindah atau dikeluarkan dari tempat asal dan ditempatkan di kem tahanan yang menyamar sebagai ‘kem latihan vokasional’. 

Malah, kerajaan telah menghantar penjawat awam berbangsa Han untuk duduk di rumah golongan etnik minoriti ini kononnya bagi ‘memupuk perasaan kebangsaan’ dan belajar bersama-sama. Walha mereka sebenarnya bertindak sebagai mata-mata. 

Apabila dibandingkan antara situasi di ketiga-tiga negara ini, aparteid dapat dikaitkan bukan sahaja dengan diskriminasi kaum, tetapi juga sehingga ke tahap pembersihan etnik. Ia merangkumi serangan yang bersifat sistematik dan meluas terhadap sesuatu etnik dengan pelbagai cara termasuk rampasan tanah, pengasingan dan penempatan semula di kem tahanan. Dalam masa sama ada pihak yang menyifatkan aparteid yang dilakukan oleh Israel, lebih teruk berbanding undang-undang aparteid di Afrika Selatan dahulu.

 

Hak istimewa Bumiputera undang-undang aparteid?

Dalam konteks Malaysia, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menggariskan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong melindungi kedudukan istimewa kaum Melayu, anak negeri Sabah dan anak negeri Sarawak (seringkali digelar golongan Bumiputera). Ia merangkumi perizaban kuota mengikut perkadaran tertentu ke atas beberapa perkara merangkumi jawatan dalam perkhidmatan awam, pendidikan dan permit/ lesen pertukangan atau perniagaan.

Peruntukan inilah yang sering menjadi titik hujah sesetengah pihak untuk mendakwa Malaysia menjalankan polisi aparteid. Walaupun hak istimewa diberikan kepada golongan tertentu, namun Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan sama rata.  Malah Perkara 153 (hak keistimewaan) sendiri ada menegaskan bahawa kepentingan sah kaum-kaum lain turut akan dilindungi mengikut peruntukan tersebut.

Baca Artikel Berkaitan: Ini Penjelasan Sebenar Tentang ‘Bumiputera’ & Hak Keistimewaan Menurut Perlembagaan

Pemberian hak istimewa kepada kaum Melayu dan Bumiputera kebiasaannya dikatakan dapat meletakkan golongan ini kepada tahap yang lebih tinggi, terutamanya dari sesi sosio-ekonomi. Namun begitu, walaupun menerima hak keistimewaan ini, diserta pula dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), ia tidak bermakna mereka adalah lebih bagus dari segi sosio-ekonomi berbanding kaum lain.

Berdasarkan satu jadual yang dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi bagi tahun 1970 hingga 2022, pendapatan isi rumah kasar bulanan purata bagi Bumiputera adalah lebih rendah berbanding kaum Cina dan India. Malah bagi sesetengah tahun data direkodkan, ia turut lebih rendah berbanding lain-lain kaum.

 

Namun begitu, aktivis hak asasi manusia, Jerald Joseph berkata timbul persoalan jika wujud aparteid di Malaysia apabila seolah-olah terdapat dua bentuk kerakyatan. Tambahnya, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum sepatutnya boleh mengetuai syarikat berkaitan kerajaan, panglima angkatan tentera, atau ketua polis negara.

Dia berkata sedemikian setelah isu penasihat DAP, Lim Kit Siang, yang dikecam pihak tertentu selepas mengatakan bukan hanya orang Melayu boleh dilantik sebagai perdana menteri. Beberapa tokoh sebelum ini pernah menyatakan tidak tertera dalam perlembagaan bahawa perdana menteri mestilah seorang Melayu, namun ia merupakan konvensyen atau praktik kebiasaan di Malaysia.

Baca Artikel Berkaitan: Siapakah Yang Layak Menjadi Perdana Menteri?

 

Pakar anggap boleh wujud aparteid dalam bentuk agama di Malaysia

Syed Faris dalam artikelnya pada tahun 2017, berkata bahawa Malaysia sewaktu di bawah jajahan British telah mengalami aparteid. Contohnya apabila Kelab Selangor menjadi pertubuhan bagi orang kulit putih sahaja sehingga penduduk tempatan tidak diizinkan masuk.

Namun kini, beliau berkata masyarakat harus berwaspada terhadap kemungkinan wujudnya pemikiran ‘mini-apartheid’ di Malaysia dalam bentuk agama. Ini adalah apabila timbulnya cadangan dan cubaan yang ingin memisahkan antara Muslim dan mereka yang bukan Islam, sekaligus berbaur aparteid.

Sebagai contoh, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada 2015 pernah mempertimbangkan agar penggunaan troli di pasar raya diasingkan bagi barangan halal dan tidak halal. Malah dahulu pernah tular sebuah premis kedai dobi layan diri yang hanya boleh digunakan oleh pelanggan Islam.

 

Aparteid boleh merujuk kepada dasar diskriminasi secara umum

Di samping itu, Professor Dr Mohd Tajuddin Bin Mohd Rasdi dari UCSI University pula menerangkan bahawa penggunaan perkataan aparteid perlu diambil mengikut konteks. Jelasnya, perkataan itu turut merujuk kepada dasar diskriminasi secara lebih umum dan tidak berkaitan yang diamalkan di Afrika Selatan, seperti yang dilaporkan dalam berita di United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Dalam isu UiTM yang terhad hanya bagi golongan Bumiputera, Tajuddin berpendapat berlakunya diskriminasi memandangkan bukan Bumiputera tidak layak mendapatkan faedah pendidikan dari institusi tersebut. Ini juga persoalan yang sering ditimbulkan sesetengah pihak, memandangkan universiti itu menerima dana kerajaan yang sebahagian besarnya merupakan pembayaran cukai oleh rakyat tanpa mengira kaum mahupun etnik.

Baca Artikel Berkaitan: Apakah Itu Perkauman?

Baca Artikel Berkaitan: Adakah Etnik Melayu Di Singapura Menikmati Sebarang Keistimewaan?

 


Rujukan:

1. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/05/1093394/andrew-sia-dakwa-uitm-akademi-apartheid-pemuda-umno-seluruh-negara-akan
2. https://www.malaysiakini.com/columns/398753
3. https://au.int/en/auhrm-project-focus-area-apartheid
4. https://www.un.org/africarenewal/magazine/april-2024/30-years-south-africa-still-dismantling-racism-and-apartheid%E2%80%99s-legacy
5. https://www.amnesty.org/en/latest/campaigns/2022/02/israels-system-of-apartheid/
6. https://www.amnesty.org.uk/myanmar-apartheid-against-rohingya
7. https://www.standupforeurope.org/the_unspoken_apartheid_how_the_chinese_government_is_conducting_an_ethnic_cleansing_of_the_uighurs
8. https://www.amnesty.org/en/latest/news/2020/06/witness-to-discrimination-confessions-of-a-han-chinese-from-xinjiang/
9. https://www.aa.com.tr/en/middle-east/israeli-apartheid-far-more-brutal-than-anything-we-saw-in-south-africa-says-former-politician/3102328
10. https://www.ekonomi.gov.my/sites/default/files/2023-12/Jadual3-Pendapatan-Isi-Rumah-Kasar-Bulanan-Purata-Mengikut-Kumpulan-Etnik-Ketua-Isi-Rumah-%20Strata-dan-Negeri-Malaysia-1970-2022.pdf
11. https://www.malaysiakini.com/news/689924
12. https://www.malaysiakini.com/columns/398753
13. https://www.malaysiakini.com/news/706502

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 3 weeks ago