Ini Penjelasan Sebenar Tentang ‘Bumiputera’ & Hak Keistimewaan Menurut Perlembagaan

Ini Penjelasan Sebenar Tentang ‘Bumiputera’ & Hak Keistimewaan Menurut Perlembagaan

Golongan Bumiputera merupakan masyarakat yang dapat menikmati hak istimewa seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 24/05/2024 - Disunting : 24/05/2024

Petition to

Ini Penjelasan Sebenar Tentang ‘Bumiputera’ & Hak Keistimewaan Menurut Perlembagaan

Pada 16 Mei 2024, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam telah melancarkan kempen #MahasiswaUiTMBantah memakai baju hitam sebagai tanda bantahan terhadap pembinaan cawangan baharu bagi menempatkan pelajar bukan bumiputera di universiti awam itu.

Mereka walau bagaimanapun telah melakukan permohonan maaf kerana kempen tersebut menimbulkan kekeliruan dan salah faham kepada masyarakat umum. 

Isu berkenaan bumiputera dan bukan bumiputera bukan merupakan perkara yang asing dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Namun sebenarnya, adakah terdapat pemahaman yang cukup terhadap istilah ‘bumiputera’ itu?

 

Bumiputera merangkumi orang Melayu dan orang Asli

Menurut Kamus Dewan, istilah bumiputera merujuk kepada anak tulen atau penduduk asal sesebuah negara seperti Melayu, orang Asli, orang Iban dan orang Kadazan.

Carian kami mendapati istilah bumiputera tidak tertera dalam Perlembagaan Persekutuan. Akan tetapi, Perkara 160 menjelaskan tafsiran bagi ‘orang asli’ iaitu orang asli Semenanjung Tanah Melayu, dan ‘orang Melayu’ sebagai individu beragama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu, dan:

  1. yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau
  2. ialah zuriat seseorang yang sedemikian. 

Kredit gambar: CEphoto/ Uwe Aranas

 

Tiada istilah ‘bumiputera’ dalam Perlembagaan Persekutuan

Menurut pakar perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari, istilah ‘bumiputera’ mula digunakan oleh parti UMNO sebagai golongan yang perlu dibantu di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Untuk makluman, DEB menyasarkan pemilikan saham sebanyak 30% bagi bumiputera, 40% bukan bumiputera, dan 30% pelabur dari luar. 

Aziz juga menerangkan bahawa tidak tertera sebarang perkara berkaitan ‘hak istimewa bumiputera’ dalam perlembagaan. Sebaliknya Perkara 153 yang sering dikaitkan dengan ‘hak istimewa bumiputera’ diwujudkan khas bagi orang Melayu, orang asli Sabah dan orang asli Sarawak.

Mendiang sejarawan negara, Prof Khoo Kay Kim, pula berkata istilah bumiputera dicipta pada tahun 1963 yang merujuk kepada golongan peribumi Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu. Sebelum istilah itu diwujudkan, orang Melayu hanya dikenali sebagai Melayu.

Dalam satu artikel oleh Prof Emeritus Shaharir Mohamad Zain, beliau menerangkan bahawa Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 (PTM) memberi takrifan kaum Melayu sebagai golongan yang beragama Islam dan mengamalkan budaya Melayu yang menetap di Tanah Melayu. Perkara ini menyebabkan mereka yang serumpun tetapi bukan Islam dan tidak tinggal di Tanah Melayu ditakrifkan sebagai bukan Melayu. Kerana itulah istilah bumiputera diwujudkan bagi merangkumi kaum Melayu seperti Orang Asli.

Orang Asli Temuan. (Kredit gambar: Mor Ajani)

 

Masuk Islam boleh jadi bumiputera?

Mungkin ada yang menganggap seorang bukan Melayu yang masuk Islam boleh memohon untuk menjadi bumiputera, namun tanggapan ini sebenarnya salah. Salah satunya adalah permintaan daripada golongan India Muslim sebelum ini agar mereka diiktiraf sebagai bumiputera. 

Namun Khoo tidak bersetuju dengan perkara ini dan menerangkan bahawa mereka sebaliknya boleh dikategorikan sebagai Melayu dengan syarat sering bercakap bahasa Melayu dan mengamalkan adat kaum itu. Ini adalah berdasarkan kepada takrif ‘Melayu’ yang tertera dalam perlembagaan.

“Jadi, sementara kerajaan tidak dapat memberikan status bumiputera kepada India Muslim, ia boleh berikan status Melayu jika mereka mahu,” kata Khoo.

 

Hak-hak ‘bumiputera’ menurut Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan

Perkara 153 menggariskan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong melindungi kedudukan istimewa kaum Melayu, anak negeri Sabah dan anak negeri Sarawak. Ia merangkumi perizaban kuota mengikut perkadaran tertentu ke atas beberapa perkara merangkumi jawatan dalam perkhidmatan awam, pendidikan dan permit/ lesen pertukangan atau perniagaan.

Dalam masa sama, Perkara 153 menegaskan bahawa kepentingan sah kaum-kaum lain akan turut dilindungi mengikut peruntukan tersebut.

Walaupun Orang Asli tidak disebut dalam perkara di atas, namun ia tidak bermakna mereka tidak diberi sebarang keistimewaan.

 

Hak istimewa Orang Asli dalam Perkara 8 Perlembagaan

Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy, kedudukan istimewa Orang Asli termaktub dalam perlembagaan di bawah Perkara 8(5)(c). Perkara ini bermaksud masyarakat ini mempunyai hak sama rata.

Perkara 8 menggariskan kesamarataan dalam negara, manakala sub (5)(c) menjelaskan bahawa ia tidak melarang “sebarang peruntukan bagi perlindungan, kesentosaan atau kemajuan orang Asli Semenanjung Tanah Melayu (termasuk perizaban tanah) atau perizaban bagi orang Asli suatu perkadaran yang munasabah daripada jawatan-jawatan yang sesuai dalam perkhidmatan awam”.

Malah, Moorthy berkata kerajaan persekutuan bertanggungjawab dalam melindungi kebajikan Orang Asli sebagaimana termaktub dalam Jadual Kesembilan, Senarai Persekutuan No 16 perlembagaan. Di samping itu, Akta Orang Asli 1954 diwujudkan bagi “mengadakan peruntukan bagi perlindungan kesejahteraan dan kemajuan orang asli di Semenanjung Malaysia”.

Penari Muzium Orang Asli. (Kredit gambar: Vin Crosbie)

 

‘Bumiputera’ tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan

Ternyata bahawa istilah ‘bumiputera’ tidak termaktub dalam perlembagaan, sebaliknya dipercayai diwujudkan atas sebab-sebab tertentu bagi merangkumi golongan masyarakat berkaitan seperti orang Melayu, orang Asli serta anak negeri Sabah dan Sarawak.

Malah menurut undang-undang, seorang Melayu haruslah beragama Islam. Perkara ini menyebabkan terdapat masyarakat bukan Islam di Semenanjung Malaysia dikenali dengan istilah Orang Asli walaupun sebenarnya serumpun dengan kaum Melayu.

Diingatkan sekali  lagi bahawa undang-undang merujuk kepada Orang Asli sebagai orang asli di Semenanjung Malaysia dan bukan bumiputera Sabah dan bumiputera Sarawak. Berdasarkan Dewan Negeri Selangor, terdapat tiga kaum utama Orang Asli iaitu Senoi, Melayu-Proto dan Negrito.

“Tentang Orang Asli, memang telah ditetapkan mereka akan dipanggil sebagai Orang Asal. Hak mereka tetap sama dengan Bumiputera, cuma Bumiputera itu digunakan untuk pribumi di Sabah dan Sarawak,” kata mendiang Khoo kepada SOSCILI.


Rujukan:

1. https://www.jpapencen.gov.my/cat289562/published/perkara160-Ma.Html
2. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/07/21/india-muslim-sebagai-bumiputera-najib-jahil-perlembagaan-kata-pakar/
3. https://math.usm.my/bulletin/pdf/v23n2/v23n2p10.pdf
4. https://www.jpapencen.gov.my/cat289562/published/perkara153-Ma.Html
5. https://www.sinarharian.com.my/article/8591/berita/nasional/masyarakat-orang-asli-ada-hak-sama-rata
6. https://www.jpapencen.gov.my/cat289562/published/perkara8-Ma.Html
7. https://www.jpapencen.gov.my/cat289562/published/jadkesembilan-Ma.Html
8. https://pintu.instun.gov.my/pdf/tanah/6_-_AKTA_LAIN/4-AKTA_ORANG_ASLI/1-AKTA/Akta_Orang_Asli.pdf
9. https://dewan.selangor.gov.my/question/orang-asal/
10. https://soscili.my/menghuraikan-status-bumiputera-secara-mudah/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 months ago