Siapakah Yang Layak Menjadi Perdana Menteri?

Siapakah Yang Layak Menjadi Perdana Menteri?

Tiada mana-mana blok parti politik memenangi kerusi majoriti untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 22/11/2022 - Disunting : 22/11/2022

Petition to

Siapakah Yang Layak Menjadi Perdana Menteri?

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15, blok Pakatan Harapan (PH) telah memenangi jumlah kerusi Parlimen tertinggi sebanyak 82, diikuti rapat oleh blok Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi. Selain itu, Barisan Nasional hanya memenangi 30 kerusi, Gabungan Parti Sarawak 22 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah 6 kerusi, Warisan 3 kerusi, serta empat kerusi lain dimiliki oleh calon bebas (2), Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM). Hal ini bermakna, tiada sebarang blok utama parti politik berjaya mencapai jumlah kerusi bagi membentuk kerajaan majoriti, menjadikan Parlimen tergantung buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia. Sehubungan dengan itu, banyak perbincangan diadakan mengenai pelantikan Perdana Menteri dalam situasi sebegini.

Sumber: Suruhanjaya Pilihan Raya

 

Syarat-syarat menjadi Perdana Menteri

Perdana Menteri hanya boleh dilantik daripada kalangan ahli Dewan Rakyat dan kebiasaannya merupakan pemimpin blok dengan jumlah kerusi terbesar. Menurut Perkara 43(2)(a) di dalam Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong akan melantik seorang Perdana Menteri yang mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat untuk mempengerusikan Jemaah Menteri

Dari segi latar belakang Perdana Menteri pula, Prof Dr Abdul Aziz Bari, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan kini Ahli Dewan Undangan Negeri Tebing Tinggi, pernah berkata tiada sebarang syarat dalam perlembagaan negara bahawa seorang Perdana Menteri perlulah seorang berbangsa Melayu atau beragama Islam. Prof Datuk Shad Saleem Faruqi dari Universiti Malaya setuju dengan kenyataan Abdul Aziz, namun berkata negara mempunyai konvensyen atau praktik kebiasaan yang meletakkan orang Melayu sebagai Perdana Menteri berdasarkan realiti politik negara. 

Hal ini turut dipersetujui oleh Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang berkata Perdana Menteri perlu dalam kalangan Melayu Islam kerana negara didiami majoriti penduduk berbangsa Melayu. Malahan, memandangkan jumlah Ahli Parlimen Melayu lebih ramai berbanding bukan Melayu, perkara itu tidak akan berlaku kerana tidak akan mendapat sokongan majoriti. Anthony Loke Siew Fook selaku Setiausaha Agung DAP berkata DAP setuju bahawa Perdana Menteri perlulah berbangsa Melayu, tetapi mahukan seorang calon yang benar-benar layak

 

Sokongan Ahli Parlimen terhadap calon Perdana Menteri

Selepas peletakan jawatan oleh Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato’ Sri Ismail Sabri telah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 apabila berjaya mengemukakan surat akuan daripada 114 orang ahli Dewan Rakyat yang mencalonkannya. Pelantikannya dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. 

Menurut Peguam Haniff Khatri Abdulla, Yang di-Pertuan Agong boleh membuat pilihan untuk menjemput ketua-ketua pakatan parti politik utama dan memberi peluang untuk mereka mendapatkan dan membuktikan sokongan majoriti. Namun begitu, jika tiada sokongan majoriti diterima mana-mana calon Perdana Menteri, seorang Perdana Menteri masih boleh dilantik untuk membentuk kerajaan minoriti berdasarkan jumlah sokongan tertinggi diterima. 

Selepas PRU ke-15 baru-baru ini, PN dikatakan telah mengemukakan surat akuan berkanun dengan melebihi 112 Ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10. Pada masa yang sama, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada Ahli Parlimen BN yang telah menandatangani aku janji bahawa keahlian akan dilepaskan sekiranya melanggar arahan parti, seterusnya membubarkan kerusi Parlimen yang dimenangi. 

Kredit gambar: Barisan Nasional/ Facebook

Menolak dakwaan ini, Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 hanya melarang Ahli Parlimen daripada bertukar parti, tetapi tidak menghalang mereka daripada memberikan sokongan secara individu kepadanya sebagai Perdana Menteri. Sokongan yang dilakukan secara individu terhadap calon Perdana Menteri dari parti lain tidak bermakna mereka keluar daripada parti sendiri. Tidak disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa sokongan majoriti terhadap calon Perdana Menteri perlu dari kalangan Ahli Parlimen parti yang sama, tetapi Ahli Parlimen secara keseluruhannya.

 

Lantikan Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong

Meneliti pandangan oleh Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk melantik Perdana Menteri yang dirasakan mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Lantikan tersebut boleh dibuat tanpa meminta Ahli Dewan Rakyat mengemukakan calon Perdana Menteri. Di samping itu, Yang di-Pertuan Agong turut boleh meminta supaya kerajaan perpaduan ditubuhkan supaya pembentukan kerajaan tidak tertangguh, sekaligus membenarkan Parlimen untuk bersidang mengikut jadual.

Seorang pakar Perlembagaan, Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata rundingan sebuah kerajaan campuran boleh diadakan selepas seorang Perdana Menteri dilantik melalui pembentukan kerajaan minoriti. Pelantikan Perdana Menteri di Malaysia tidak terikat dengan sebarang konvensyen negara luar, sebaliknya merupakan prerogatif (hak eksklusif) Yang di-Pertuan Agong selagi tiada yang membataskan tatacaranya secara nyata melalui peruntukan bertulis Perlembagaan Persekutuan. Perdana Menteri pilihannya perlu cuba mendapatkan kepercayaan majoriti selepas dilantik.

 

Perdana Menteri ke-10 masih belum dilantik

Setakat tengahari 22 November 2022, seorang Perdana Menteri belum dilantik dan menyebabkan pembentukan Parlimen tertangguh. Oleh yang demikian, Ismail Sabri masih memegang fungsi sebagai Perdana Menteri sementara atau caretaker, dan kabinetnya berfungsi sebagai kerajaan sementara sehingga kerajaan baru dibentuk. Haniff berkata Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Perdana Menteri sementara baru dalam kalangan Ahli Parlimen Kanan yang bukan calon Perdana Menteri jika proses rundingan berterusan selama satu minggu. Jika keadaan ini berterusan dan kerajaan minoriti juga tidak dapat dibentuk, Yang di-Pertuan Agong mempunyai hak untuk menitahkan supaya PRU dijalankan sekali lagi. 

 


Rujukan:

1. http://www.jpapencen.gov.my/CAT289562/Published/perkara43-Ma.Html
2. https://www.malaysiakini.com/news/124955
3. https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2012/06/06/pm-malaysia-mesti-orang-melayu--tokoh-sejarah-negara
4. https://www.astroawani.com/berita-politik/pru15-dap-akui-hakikat-malaysia-perlu-diketuai-orang-melayu-sebagai-pm-loke-391957
5. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/853744/ismail-sabri-dilantik-perdana-menteri-ke-9
6. https://www.malaysiakini.com/news/644651
7. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/11/1029277/pru15-pn-kemuka-sd-lebih-112-ahli-parlimen-sokong-muhyiddin-jadi-pm
8. https://www.buletintv3.my/politik/tak-langgar-akta-ahli-parlimen-bebas-sokong-saya-jadi-pm-muhyiddin/
9. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/852395/dua-kaedah-pelantikan-perdana-menteri
10. https://www.utusan.com.my/nasional/2022/11/tidak-berlaku-parlimen-tergantung/
11. https://www.sinarharian.com.my/article/232637/berita/nasional/ismail-sabri-masih-berfungsi-sebagai-perdana-menteri-sementara

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago