Adakah Etnik Melayu Di Singapura Menikmati Sebarang Keistimewaan?

Benar
Adakah Etnik Melayu Di Singapura Menikmati Sebarang Keistimewaan?

Sesetengah individu sering memainkan isu Melayu di Singapura demi kepentingan politik

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 16/08/2023 - Disunting : 16/08/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Etnik Melayu Di Singapura Menikmati Sebarang Keistimewaan?

Sejak dahulu lagi sesetengah kumpulan politik di Malaysia sering menggunakan alasan Melayu di tanah air akan menjadi seperti Melayu di Singapura. Seolah-olah golongan Melayu di sana mengalami diskriminasi dan ditekan oleh bangsa lain. Namun begitu, adakah perkara ini benar?

Menurut data Singapore Department of Statistics bagi tahun 2020, kaum Cina merupakan golongan majoriti di Singapura merangkumi hampir tiga per empat daripada populasi Singapura. Jumlah ini diikuti dengan bangsa Melayu (13.5%), India (9%) dan lain-lain (3.2%). Hal ini bermakna bangsa Melayu merupakan golongan minoriti terbesar di Singapura.

Institute of Policy Studies (IPS) telah menjalankan satu tinjauan berkenaan hubungan antara kaum pada tahun 2021. Tinjauan mendapati 67.9% responden Melayu bersetuju bahawa etnik majoriti mempunyai keuntungan dan 66.9% setuju bahawa individu dari kaum majoriti secara umumnya mempunyai lebih banyak sumber dan peluang berbanding kaum lain. Selain itu, satu pertiga responden Melayu setuju bahawa pelbagai aspek kehidupan adalah lebih mudah dijalani oleh kaum majoriti.

 

Perlembagaan Singapura, Melayu dan Islam

Di dalam Perlembagaan Singapura, perkara berkenaan kedudukan istimewa etnik Melayu termaktub di Bahagian 13 Peruntukan Am. Kerajaan Singapura perlu memastikan kedudukan istimewa orang Melayu selaku masyarakat asal di pulau itu sejak penubuhan Temasek. 

Kerajaan bertanggungjawab dalam melindungi, mendokong dan mempromosi kepentingan politik, pendidikan, agama, ekonomi, sosial dan budaya orang Melayu serta bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga merupakan salah satu daripada empat bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan Singapura. Bahkan lagu kebangsaan Singapura, ‘Majulah Singapura’, hanya boleh dinyanyikan dalam bahasa Melayu.

Malah, perlembagaan itu turut menetapkan bahawa badan perundangan perlu menyediakan peruntukan untuk mengawal selia hal ehwal agama Islam dan mewujudkan satu Majlis yang bertindak untuk menasihati Presiden berkenaan agama Islam.

Seperti di Malaysia, Singapura juga mempunyai Mahkamah Syariah yang berdasarkan kepada undang-undang agama Islam. Ia bertujuan untuk mewujudkan sistem yang mengikut prinsip dan praktis agama Islam bagi umatnya. Kini, undang-undang Islam hanya mentadbir berkenaan perkahwinan, perceraian dan pewarisan harta bagi orang Islam.

Contohnya, dalam keputusan kehakiman Hawah v. Daud, mahkamah enggan menggunakan undang-undang British yang menetapkan bahawa hak milik dan harta wanita akan dipindahkan kepada suaminya apabila berkahwin. Menurut undang-undang Islam, wanita yang berkahwin masih boleh memiliki harta. Oleh itu, wanita yang dahulunya sering mengalami perceraian mendapat lebih perlindungan di bawah undang-undang ini.

 

Sosio-ekonomi etnik Melayu di Singapura 

Walaupun orang Melayu diberi keistimewaan di dalam perlembagaan, dari segi pendidikan, kaum Melayu menjadi golongan terkecil dengan pendidikan peringkat universiti dan ketinggalan agak jauh di belakang. Namun begitu, dalam tempoh 10 tahun sejak 2010, peratus kaum Melayu dalam pendidikan tinggi meningkat hampir dua kali ganda.

Dalam masa yang sama, pelajar etnik Melayu diberi bantuan dalam pendidikan untuk merapatkan jurang pendidikan dengan etnik lain. Salah satu inisiatif adalah skema Tertiary Tuition Fee Subsidy (TTFS). Diperkenalkan pada tahun 1991, ia merupakan subsidi pendidikan yuran pengajian di institusi pengajian tinggi bagi pelajar Melayu. Pelajar dipilih berdasarkan status ekonomi keluarga. 

Sebelum kewujudan TTFS, yuran pengajian tinggi bagi pelajar Melayu dikecualikan secara automatik. Malay Members of Parliament (MMPs) pada tahun 1989 kemudiannya mencadangkan supaya ia diubah dengan kriteria lain dan ia disokong oleh Perdana Menteri ketika itu, Goh Chok Tong. Namun begitu, TTFS hanya membiayai yuran pengajian dan tidak termasuk bayaran lain seperti yuran peperiksaan dan yuran pelbagai.

Di samping itu, etnik Melayu juga mempunyai purata pendapatan isi rumah terendah di Singapura berbanding lain-lain etnik. Bagi tahun 2020, purata pendapatan mengikut etnik tertinggi adalah etnik India (RM29,034), Cina (RM27,230), dan Melayu (RM19,483). Hal ini bermakna purata pendapatan etnik Melayu kurang berbanding purata pendapatan keseluruhan di Singapura iaitu RM26,451.

Apabila dibandingkan dengan pendapatan isi rumah bagi tahun 2010, peningkatan paling tinggi dinikmati oleh etnik India iaitu sebanyak 42%, diikuti kaum Cina (40%) dan Melayu (32%). Peningkatan pendapatan isi rumah dari tahun 2010 hingga 2020 bagi kaum Melayu lebih sedikit berbanding peningkatan keseluruhan 38%.

Menurut Pang Eng Fong, penulis The Economic Status of Malay Muslims in Singapore, Melayu di era kolonial kurang diberi peluang untuk mempelajari bahasa Inggeris oleh pihak pentadbiran British. Perkara ini menyebabkan golongan Melayu tidak fasih berbahasa Inggeris menyebabkan pilihan pekerjaan mereka terbatas. Jurang dalam pendidikan menyebabkan etnik Melayu ketinggalan jauh dalam pekerjaan seterusnya memberi kesan kepada tahap ekonomi mereka. Oleh itu, bantuan pendidikan bagi etnik ini penting bagi memberikan peluang yang sama rata antara semua kaum.

 

Etnik Melayu Di Singapura Diberi Bantuan Walaupun Merupakan Golongan Minoriti Di Republik Itu

Walaupun Melayu merupakan etnik minoriti di Singapura, republik itu meletakkan usaha dalam meningkatkan status sosial dan ekonomi mereka, terutamanya dalam memberikan bantuan pendidikan. Agama Islam juga tidak diketepikan dan diizinkan untuk menjalankan sistem perundangannya sendiri bagi hal ehwal agama.

Malah, presiden republik itu kini merupakan seorang wanita Melayu. Halimah Yaacob menjadi Presiden Melayu pertama sejak jawatan itu ditentukan melalui pemilihan pada tahun 1991. Dia juga merupakan Presiden pertama dilantik selepas perubahan besar dilakukan terhadap perlembagaan Singapura pada 2016.


Rujukan:

1. https://www.singstat.gov.sg/-/media/files/publications/cop2020/sr1/findings.pdf
2. https://www.ricemedia.co/does-the-special-position-of-malays-in-the-constitution-mean-anything-today/
3. https://sso.agc.gov.sg/Act/CONS1963?ProvIds=P113-
4. https://www.mendaki.org.sg/assistance_landing/tertiary-tuition-fee-subsidy-ttfs/
5. https://ink.library.smu.edu.sg/cgi/viewcontent.cgi?article=1437&context=lkcsb_research
6. https://www.malaysiakini.com/news/395254

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 9 months ago