Apakah Itu Acah Hijau Atau ‘Greenwashing’?

Apakah Itu Acah Hijau Atau ‘Greenwashing’?

Beberapa individu menyifatkan kewujudan sebuah ladang solar baharu di dalam negara sebagai acah hijau

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 26/04/2024 - Disunting : 26/04/2024

Petition to

Apakah Itu Acah Hijau Atau ‘Greenwashing’?

Satu perkongsian yang dilakukan di akaun X berkenaan ladang tenaga solar telah menimbulkan banyak persoalan dalam kalangan pengguna media sosial itu. Malah, ada yang menggelarkan perkara tersebut sebagai acah hijau. Oleh itu, artikel kali ini akan meneliti tentang acah hijau dan kesannya.

Baca Artikel Berkaitan: Projek Ladang Solar Di Parit Buntar, Perak Cetus Perdebatan Netizen

 

Acah hijau satu bentuk manipulasi

Acah hijau atau ‘greenwashing’ merupakan suatu penipuan atau pemanipulasian maklumat oleh suatu organisasi yang mendakwa produk atau servisnya adalah mesra alam sekitar. Ia sering dilakukan dalam memasarkan sesuatu produk atau servis.

Berdasarkan satu artikel yang diterbitkan oleh Springer, acah hijau boleh berlaku pada peringkat korporat atau produk/ servis. Ia boleh menjadi pemanipulasian maklumat mengenai praktis alam sekitar sesebuah syarikat atau kebaikan sesuatu produk/ servis terhadap alam sekitar.

Ia juga boleh dikategorikan kepada dua. ‘Dakwaan acah hijau’ (claim greenwashing) menyenaraikan kebaikan ekologi sesuatu produk/ servis untuk mewujudkan dakwaan alam sekitar yang tidak betul. ‘Pelaksanaan acah hijau’ (executional greenwashing) pula merujuk kepada elemen yang berkaitan dengan alam sekitar pada produk/ servis seperti penggunaan warna, suara atau gambar landskap yang menimbulkan persepsi palsu terhadap ‘kehijauan’ syarikat.

Penggunaan gambar atau logo gunung pada botol sesetengah jenama air minuman merupakan satu contoh acah hijau. (Kredit gambar: Kalen Emsley/ Unsplash)

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), acah hijau merupakan halangan yang besar dalam menguruskan masalah perubahan iklim. Ini adalah kerana perkara tersebut memperdaya orang ramai bahawa sesebuah syarikat berusaha untuk melindungi alam sekitar walaupun sebenarnya tidak. Ia seterusnya mewujudkan solusi palsu terhadap krisis iklim yang mengganggu-gugat usaha sebenar dalam menangani masalah ini.

PBB menyenaraikan beberapa taktik yang dikenal pasti sebagai acah hijau:

  • Membuat dakwaan syarikat dalam usaha untuk menyingkirkan pencemaran disebabkan oehnya tanpa mewujudkan sebarang pelan yang berkredibiliti.
  • Tidak menyatakan dengan jelas tentang operasi syarikat atau bahan yang digunakan dalam penghasilan.
  • Menggunakan label yang mengelirukan seperti “green” dan “eco-friendly”. Label tersebut tidak mempunyai sebarang definisi piawai dan boleh disalah erti dengan mudah.
  • Menyifatkan penambahbaikan kecil dilakukan oleh syarikat akan mendatangkan impak positif yang tinggi terhadap alam sekitar. Ini termasuk juga mempromosi produk yang hanya memenuhi piawaian standard sebagai sangat bagus. 
  • Hanya memberi fokus terhadap satu bahagian alam sekitar sementara mengetepikan impak-impak terhadap bahagin lain.
  • Mendakwa syarikat tidak menggunakan praktis yang diharamkan atau di bawah piawai, walhal tidak berkaitan dengan produk dihasilkan.
  • Mengatakan sesuatu produk itu lestari (sustainable) sedangkan aktiviti penghasilannya tidak selari dengan usaha penjagaan alam sekitar. Sebagai contoh, pakaian diperbuat daripada bahan dikitar semula tetapi dihasilkan di kilang yang mencemarkan udara dan air. 

 

Guna acah hijau untuk tarik lebih ramai pengguna

Mengapa acah hijau ini dilakukan oleh syarikat-syarikat? Ia adalah demi menunjukkan imej tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang baik, terutamanya dalam usaha menjaga alam sekitar agar menarik lebih ramai pengguna. 

Tinjauan menunjukkan 91% pengguna dunia berharap agar perniagaan terlibat dalam menangani masalah sosial dan alam sekitar. Malah, 90% pengguna akan memboikot syarikat yang didapati melakukan praktis perniagaan yang tidak bertanggungjawab. Global Sustainability Study 2021 pula mendapati pengguna lebih gemar memilik produk ‘hijau’, dengan lebih satu pertiga masyarakat dunia sanggup membayar lebih untuk kelestarian. 

Barangan boleh diguna semula dianggap sebagai acah hijau jika hanya digunakan beberapa kali sebelum dibuang. Bagi penyedut besi, ia harus digunakan sekurang-kurangnya 150 kali. (Kredit gambar: Mollie Sivaram/ Unsplash)

Satu kajian mendapati acah hijau biasa dilakukan di lebih 40 negara yang merupakan ekonomi utama dunia. Penyelidik Profesor Jing Wu dari University of Hong Kong (CUHK) Business School, berkata tidak cukup jika syarikat setakat memaparkan imej ‘hijau’ untuk menunjukkan usahanya dalam CSR

Kajian itu juga menunjukkan bahawa syarikat hanya memilih untuk mengumumkan pembekal ‘hijau’ agar disukai pengguna. Sebaliknya, hubungan syarikat dengan pembekal yang ‘jahat’ disembunyikan. Pendedahan secara strategik ini sering dilakukan oleh syarikat dengan markah Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang teruk, mempunyai kerisauan terhadap imej jenama dan pemilikan institusi lebih tinggi.

Namun begitu, syarikat yang melakukan pendedahan strategik ini menerima pulangan saham masa hadapan dan perolehan aset yang lebih tinggi. Perkara ini menunjukkan bahawa pelabur dan pengguna mungkin tidak benar-benar memahami implikasi praktis perniagaan sedemikian. Malah, acah hijau semakin menjadi-jadi apabila kesedaran awam terhadap perubahan iklim meningkat.

Menerusi kajian sama, syarikat juga didapati sering memalsukan imej CSR positif menerusi acah hijau dalam keadaan cuaca panas. Tambah Prof Wu, apabila orang ramai memberi perhatian terhadap isu alam sekitar yang disebabkan oleh bencana semula jadi, syarikat akan lebih gemar menunjukkan imej yang acah hijau.

Di samping itu, acah hijau sering kali dilakukan oleh syarikat kecil dengan bahagian pasaran dan markah CSR yang lebih rendah, untuk menunjukkan imej CSR positif. Acah hijau juga banyak dilakukan oleh syarikat yang bimbang tentang imej dan reputasi mereka. 

 

Acah hijau boleh beri kesan buruk pada jenama dan syarikat

Seperti yang dinyatakan di atas, orang awam mungkin masih belum cakna tentang acah hijau yang dipraktikkan oleh syarikat. Tambahan pula, acah hijau meningkatkan kebingungan dalam kalangan pengguna, seterusnya menghalang mereka daripada melakukan pembelian berdasarkan maklumat sebenar. 

Di Sweden, kajian mendapati keinginan pengguna untuk kelihatan ‘hijau’ dilihat lebih tinggi berbanding kesanggupan untuk memeriksa dakwaan yang dilakukan syarikat. Penggunaan iklan acah hijau oleh syarikat berjaya meningkatkan niat pembelian pengguna.

Kredit gambar: Karolina Grabowska/ Pexels

Walau bagaimanapun, kesan negatif acah hijau bukan hanya tertakluk pada pengguna. Jenama dan syarikat turut menerima impak daripada praktis ini. Antara perkara yang terkesan dengan acah hijau adalah kredibiliti jenama, ekuiti jenama ‘hijau’, imej jenama ‘hijau’ serta kesetiaan dan kesukaan terhadap jenama ‘hijau’. Semakin banyak acah hijau yang dilakukan, semakin merosot jenama ‘hijau’ sesebuah syarikat.

Bagi syarikat pula, penggunaan acah hijau yang tinggi akan mengurangkan niat pelaburan. Ini kerana pelabur kurang memilih untuk melabur ke atas syarikat yang mempraktikkan acah hijau, berbanding yang melakukan salah laku korporat (selain komunikasi yang mengelirukan). 

Kajian juga mendapati acah hijau yang dilakukan oleh satu jenama boleh memberi kesan negatif terhadap jenama lain dalam industri yang sama. Ini kerana niat pembelian pengguna akan terkesan disebabkan mereka membuat penilaian yang sama pada syarikat lain. Malah, syarikat yang benar-benar menghasilkan produk ‘hijau’ akan turut terkesan.

 

Kerajaan sedang kaji garis panduan pelupusan sisa solar

Berbalik kepada kerisauan orang ramai berkenaan kewujudan ladang solar di dalam negara, salah satu isu yang dibangkitkan adalah berkenaan pengurusan sisa solar. Jangka hayat panel solar adalah sekitar 25 hingga 30 tahun, namun cuaca Malaysia yang panas dijangka akan memendekkan tempoh ini.

Menurut Bernama, bagi mencapai matlamat 58% penggunaan tenaga solar menjelang 2050, kira-kira 164 juta panel solar diperlukan. 

Solar panel yang besar akan mengambil banyak ruang di tempat pembuangan yang tidak mencukupi di Malaysia. Malah, panel solar yang lama boleh mengeluarkan bahan kimia toksik dan karsinogen, serta berpotensi menjadi radioaktif. Ini mewujudkan keperluan untuk mewujudkan garis panduan bagi mengurus sisa solar, yang kini sedang diusahakan oleh kerajaan.


Rujukan:

1. https://link.springer.com/article/10.1007/s11301-023-00337-5
2. https://www.un.org/en/climatechange/science/climate-issues/greenwashing
3. https://mba.cuhk.edu.hk/how-to-spot-and-avoid-greenwashing-in-supply-chains/
4. https://www.businesswire.com/news/home/20211014005090/en/Recent-Study-Reveals-More-Than-a-Third-of-Global-Consumers-Are-Willing-to-Pay-More-for-Sustainability-as-Demand-Grows-for-Environmentally-Friendly-Alternatives
5. https://papers.ssrn.com/sol3/papers.cfm?abstract_id=3700310
6. https://core.ac.uk/download/pdf/43558099.pdf
7. https://www.sinardaily.my/article/216699/focus/national/from-sun-to-scrap-the-impact-of-solar-waste
8. https://thesun.my/local_news/when-solar-panels-retire-navigating-the-waste-wave-NH12266182

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 8 months ago