Sapura Energy Bhd pada 11 Mac 2025 mengumumkan penerimaan pelaburan sebanyak RM1.1 bilion daripada Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH) iaitu satu syarikat tujuan khas di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan. Pelaburan tersebut bertujuan untuk digunakan secara eksklusif bagi membayar hutang kepada 2,000 vendor di bawah Sapura Energy.
Perkara ini telah menimbulkan kritikan daripada sesetengah pihak yang menyifatkan ia sebagai satu bentuk jamin keluar atau ‘bailout’ sama seperti yang dilakukan oleh kerajaan-kerajaan terdahulu.
Maksud bailout
Menurut Investopedia, bailout adalah tindakan syarikat, individu atau kerajaan yang memberi wang atau lain-lain sumber (juga dikenali sebagai suntikan modal) kepada syarikat yang berdepan kegagalan bertujuan membantu mengelakkan kejatuhan perniagaan seperti bankrupsi dan kegagalan membayar hutang.
Antara bentuk bailout termasuklah pinjaman, pembelian bon, stok atau suntikan kewangan. ‘Recused party’ mungkin perlu membayar balik pemberian wang itu mengikut syarat-syarat ditetapkan.
Kebiasaannya, bailout hanya diberi kepada syarikat atau industri jika kegagalannya boleh membawa impak buruk yang teruk kepada keseluruhan ekonomi dan bukannya sektor pasaran tertentu.
Satu contoh oleh Investopedia adalah apabila sebuah syarikat dengan jumlah tenaga kerja besar diberi bailout kerana ekonomi tidak dapat menampung lonjakan besar dalam pengangguran jika syarikat tersebut gagal. Dalam sesetengah situasi, syarikat lain mungkin akan memperoleh syarikat yang berdepan kegagalan yang dikenali sebagai ‘bailout takeover’.
Berikut merupakan beberapa sebab mengapa bailout diberikan kepada sesetengah syarikat:
- Kehilangan pekerjaan dan peningkatan pengangguran.
- Ketidakstabilan ekonomi akibat kejatuhan syarikat besar yang boleh menyebabkan kesan domino.
- Kehilangan keyakinan dalam kalangan pelabur.
- Komplikasi undang-undang.
Contoh bailout yang pernah dilakukan oleh kerajaan
Dalam mengkritik langkah kerajaan itu, pihak terbabit membandingkan tindakan tersebut dengan bailout yang pernah diberi oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika memegang jawatan itu buat kali pertama.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, antara usaha kerajaan ketika itu adalah untuk menjamin keluar (bailout) Syarikat Besi Waja, Bank Bumiputera dan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang memakan wang berbilion ringgit.
“Istilah bailout ini cukup tidak berkenan di hati rakyat pembayar cukai atau rakyat berpendapatan rendah yang tak bayar cukai. Mereka melihat kerajaan waktu itu membazir wang negara kerana cuba menyelamatkan beberapa syarikat besar melalui cara yang dipanggil bailout,” katanya.
Di dalam pada itu menyamakan suntikan pelaburan kepada Sapura Energy juga sebagai bailout.
Selain itu, antara bailout lain yang diberikan oleh kerajaan juga termasuk:
1MDB
Sebanyak RM6.97 bilion telah dibayar oleh Kementerian Kewangan bagi pihak 1MDB dari April 2017 hingga May 2019.
Lembaga Tabung Haji
Kerajaan terpaksa memperoleh stok dan aset Lembaga Tabung Haji berjumlah RM19.9 juta setakat hujung tahun 2018.
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)
Sebanyak RM6.23 bilion bailout telah diberikan oleh kerajaan pada 2019 namun gagal memberi impak yang dijangka.
MAS
Menerima suntikan kerajaan sebanyak RM17.4 juta dari 2001 dan 2014 namun masih gagal membawa keuntungan.
Kajian mendapati bailout berkesan selepas AFC
Walaupun bailout merupakan satu langkah yang penuh kontroversi, satu kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Ekonomi Malaysia mendapati ia berkesan dalam menangani kesan kekangan kewangan selepas Krisis Kewangan Asia (AFC) 1997-1998. Hasil kajian membuktikan bahawa dasar jaminan keluar (bailout) yang dilakukan oleh kerajaan ketika itu berjaya mengurangkan tekanan kekangan kewangan.
Namun tiada kajian lain mengenai keberkesanan bailout yang dapat ditemukan. Sebaliknya, dilaporkan bahawa beberapa syarikat tetapi mengalami kerugian atau gagal membawa keuntungan walaupun setelah menerima suntikan kerajaan.
Anwar Ibrahim kritik cadangan kerajaan pada 2022 untuk bailout Sapura Energy Bhd
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi ketua pembangkang pada 2022 telah mengkritik cadangan kerajaan untuk memberi bailout kepada Sapura Energy Bhd ketika itu. Katanya, perbincangan mengenai pakej penyelamatan hanya boleh dilakukan selepas audit forensik dijalankan bagi menentukan jika sebarang salah urus berlaku. Sebagai info, Sapura telah menerima banyak pelaburan daripada Permodalan Nasional Berhad.
Namun pada kali ini, beliau menegaskan bahawa langkah terbabit bukanlah suatu bentuk ‘bailout’. Katanya, suntikan modal kepada Sapura Energy bukanlah pemberian dana tetapi pinjaman yang dikawal ketat dan diluluskan selepas audit forensik dan penstrukturan syarikat serta pelantikan pengurusan baharu.
“Lebih penting, suntikan modal ini tidak langsung mengalir kepada pemegang saham atau pengurusan Sapura Energy, tetapi khusus untuk melunaskan hutang syarikat kepada 2,000 vendor minyak dan gas tempatan yang sekitar 80 peratus adalah syarikat PKS Bumiputera,” jelasnya.
View this post on Instagram
Di samping itu, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Farhan Zulkefly, berkata suntikan kali ini berbeza dengan talian hayat RM4 bilion yang diberi kepada Sapura Energy pada 2018. Sapura Energy juga ketika itu mengalami kerugian manakala pihak pengurusan tertinggi masih menerima bayaran RM80 juta pada tahun itu.
Suntikan kerajaan ketika itu diberi tanpa sebarang syarat yang berbeza dengan kali ini bahawa ia bertujuan untuk membayar hutang kepada vendor. Menurut Farhan, perkara inilah yang dikritik oleh Anwar kerana suntikan tersebut sebenarnya bertujuan untuk ‘menyelamatkan Sapura’.
Malaysia Kini perlu jujur dalam membandingkan bail-out kali ini dengan bail-out yang Anwar kritik sebelum ini.
Ini perbezaan bail-out 2025 berbanding bail-out 2018. pic.twitter.com/LrMBD5jM7M
— Farhan Zulkefly (@farhanzulkefly) March 12, 2025
Harga stok Sapura Energy meningkat selepas terima suntikan
The Edge sebelum ini melaporkan harga stok Sapura Energy telah mencecah tahap tertinggi sejak tiga bulan lalu selepas menerima suntikan RM1.1 bilion itu, dengan harga 4.5 sen pada 12 Mac.
Carian terkini mendapati harga stok telah mencecah 5 sen bermula 13 Mac dengan pemerolehan pasaran sebanyak RM803.95 juta setakat petang 14 Mac.