Apakah Maksud Keputusan ‘Dilepaskan Tanpa Dibebaskan’ Atau DNAA Oleh Mahkamah?

Apakah Maksud Keputusan ‘Dilepaskan Tanpa Dibebaskan’ Atau DNAA Oleh Mahkamah?

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menerima keputusan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) bagi 47 tuduhan.

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 06/09/2023 - Disunting : 06/09/2023

Petition to

Apakah Maksud Keputusan ‘Dilepaskan Tanpa Dibebaskan’ Atau DNAA Oleh Mahkamah?

Pada 4 September 2023, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi sebanyak RM31 juta.

Bagi mereka yang kurang berpengetahuan dalam bidang perundangan, mungkin tidak benar-benar memahami terma ‘dilepaskan tanpa dibebaskan’. Malah, mungkin sesetengah pihak menganggap keputusan DNAA tersebut bermakna Ahmad Zahid terlepas daripada segala tuduhan yang dikenakan ke atasnya. Hantaran kali ini akan menjelaskan makna DNAA.

 

Menghentikan dakwaan ke atas Orang Kena Tuduh

Berdasarkan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara diberikan kuasa untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding bagi satu pertuduhan yang tidak melibatkan prosiding di mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

Menurut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah, pihak pendakwaan boleh menarik balik tuduhannya pada mana-mana peringkat perbicaraan, yakni sebelum penghakiman diberikan. Pasa masa yang sama, pelepasan daripada pertuduhan tersebut tidak dianggap sebagai pembebasan sekiranya tidak diarahkan oleh Mahkamah.

Terdapat dua cara dakwaan boleh dihentikan oleh pihak pendakwa iaitu sama ada tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) atau dilepaskan dan dibebaskan (DNA). 

Penasihat Undang-Undang Universiti Teknologi Mara, Profesor Dr Haidar Dziyauddin berkata pihak yang gagal memahami makna sebenar DNAA akan menyalah tafsir keputusan itu sebagai DNA. 

BACA JUGA: Zahid Hamidi Dilepaskan Tanpa Dibebaskan, Penasihat Undang-undang UiTM Jelaskan Makna Sebenar DNAA

 

DNAA dan DNA

DNAA atau ‘discharge not amounting to acquittal’ bermaksud orang kena tuduh (OKT) dilepaskan kerana pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan perbicaraan. Perkara ini bermakna segala prosiding ke atas tertuduh akan terhenti. Dalam masa yang sama, jika OKT tidak dituduh semula, dia merupakan seorang individu bebas tanpa sebarang rekod jenayah yang berkaitan. 

Di Malaysia, DNAA boleh dimohon oleh Pendakwa Raya jika tidak mempunyai bukti yang kukuh atau penyiasatan tidak lengkap. Namun begitu, melalui DNAA, OKT boleh dituduh semula di bawah sabitan sama di mahkamah pada bila-bila masa sahaja. 

Menurut Profesor Haidar, keputusan DNAA membawa manfaat kepada Pendakwa Raya yang mana pihaknya boleh mengenakan tuduhan semula dengan bukti yang lebih kukuh. Perkara ini secara tidak langsung akan menyukarkan pihak defendan untuk mencabar pendakwaan yang dikenakan ke atas OKT.

Sebaliknya, ‘discharge and acquittal’ atau DNA bermaksud OKT dilepaskan dan dibebaskan secara sepenuhnya daripada sebarang pertuduhan berkaitan. OKT yang telah menerima keputusan DNA daripada mahkamah tidak boleh lagi dikenakan tuduhan yang sama ke atasnya.

Ketetapan ini adalah berdasarkan Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan yakni perlindungan daripada undang-undang jenayah kuat kuasa ke belakang dan perbicaraan berulang. Tertuduh yang dibebaskan atau disabitkan bagi suatu kesalahan tidak boleh dituduh dengan kesalahan sama, melainkan keputusan itu dibatalkan dan perbicaraan semula diperintahkan oleh mahkamah yang lebih tinggi berbanding mahkamah terdahulu.

Sebagai tambahan, kedua-dua keputusan DNAA dan DNA turut diguna pakai bagi perbicaraan kes syariah di Mahkamah Syariah.

 

DNAA tidak membebaskan tertuduh secara sepenuhnya

Seperti istilah ‘dilepaskan tanpa dibebaskan’, OKT yang menerima keputusan DNAA daripada mahkamah tidaklah bebas sepenuhnya. Malah, individu tersebut boleh dituduh semula di atas tuduhan yang sama dan pihak pendakwaan boleh mengemukakan bukti yang lebih kukuh. 

Keputusan mahkamah Ahmad Zahid bukanlah kali pertama DNAA diberikan terhadap individu berprofil tinggi dalam negara. Pada tahun 2020, Riza Aziz, anak tiri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diberikan DNAA atas pertuduhan mengubah wang haram yang dikaitkan dengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB)

Malah, Najib sendiri sebelum ini pernah diberikan DNAA oleh Mahkamah Tinggi atas tiga tuduhan tambahan pengubahan wang haram sejumlah RM47 juta. Namun begitu, dia didakwa semula pada keesokan harinya di Mahkamah Sesyen dan telah disabitkan bersalah.


Rujukan:

1. https://www.therakyatpost.com/trpbm/2023/09/05/zahid-hamidi-dilepaskan-bersih-minta-pendakwa-raya-semak-semula-bukti-dnaa/
2. http://www.jpapencen.gov.my/cat289562/published/perkara145-Ma.Html
3. https://www.sprm.gov.my/admin/files/sprm/assets/pdf/penguatkuasaan/kanun-prosedur-jenayah-bm.pdf
4. http://malaysia.justiceaudit.org/?page_id=28
5. https://www.therakyatpost.com/trpbm/2023/09/05/zahid-hamidi-dilepaskan-tanpa-dibebaskan-penasihat-undang-undang-uitm-jelaskan-makna-sebenar-dnaa/
6. http://www.jpapencen.gov.my/cat289562/published/perkara7-Ma.Html
7. https://jksnpp.penang.gov.my/index.php/soalan-lazim/58-apakah-boleh-seorang-pendakwa-memberhentikan-tindakannya-untuk-mendakwa-orang-kena-tuduh-okt-pada
8. https://www.therakyatpost.com/trpbm/2023/09/05/zahid-hamidi-dilepaskan-tanpa-dibebaskan-penasihat-undang-undang-uitm-jelaskan-makna-sebenar-dnaa/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 8 months ago