Berapa Lamakah THC Dapat Dikesan Dalam Badan Selepas Menggunakan Marijuana?

Berapa Lamakah THC Dapat Dikesan Dalam Badan Selepas Menggunakan Marijuana?

Penggunaan marijuana dikatakan dapat dikesan sehingga berbulan lamanya selepas kali terakhir digunakan

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 17/09/2024 - Disunting : 17/09/2024

Petition to

Berapa Lamakah THC Dapat Dikesan Dalam Badan Selepas Menggunakan Marijuana?

Pada 11 September 2024, seorang individu telah ditahan oleh pihak polis atas dakwaan memiliki lebih 300g dadah jenis marijuana. Namun begitu, ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atasnya didapati negatif. 

Perkara ini sekaligus menimbulkan tanda tanya jika individu terbabit tidak pernah menggunakan dadah tersebut walaupun ditemui bersama dengannya. 

Dalam masa sama, timbul dakwaan bahawa pengambilan marijuana boleh dikenal pasti menerusi ujian pengesanan sehingga berbulan lamanya. Mari kita teliti perkara ini dengan lebih lanjut.

 

Marijuana mengandungi komponen THC yang menyebabkan ‘high’

Sebelum itu, penting untuk memahami bagaimanakah penggunaan marijuana boleh dikesan menerusi ujian pengesanan. Salah satu komponen atau kanabinoid yang banyak terdapat dalam marijuana adalah bahan kimia delta-9-tetrahydrocannabinol (THC). 

Komponen ini bertindak ke atas reseptor sel otak yang kebiasaannya bertindak balas terhadap bahan kimia semulajadi yang seakan-akan THC. Menurut National Institute on Drug Abuse (NIDA), kimia semulajadi ini sebenarnya penting dalam perkembangan dan fungsi otak.

THC yang terkandung dalam marijuana walau bagaimanapun akan menyebabkan bahagian otak yang mengandungi paling banyak reseptor tersebut menjadi terlebih aktif. Keadaan ini akan menyebabkan rasa ‘khayal’ serta kesan lain seperti:

  • Perubahan deria rasa (contohnya melihat warna lebih terang)
  • Perubahan pada persepsi masa
  • Perubahan mood
  • Pergerakan badan yang terjejas
  • Kesukaran berfikir dan menyelesaikan masalah
  • Memori terjejas
  • Halusinasi (dalam dos tinggi)
  • Khayalan/ delusi (dalam dos tinggi)
  • Psikosis (risiko paling tinggi apabila menggunakan marijuana dengan potensi tinggi)

 

Komponen THC terikat pada lemak dalam badan

Seperti banyak bahan kimia lain, THC juga akan diserap ke dalam pelbagai tisu dan organ dalam badan termasuk jantung dan otak. 

Memandangkan THC merupakan bahan kimia yang larut dalam lipid (lemak), ia akan terikat kepada lemak sekaligus meningkatkan masa yang diperlukan bagi dinyahkan sepenuhnya dari dalam badan. Sekitar 65% bahan kimia ini dikeluarkan menerusi najis, 20% melalui air kencing, manakala selebihnya disimpan di dalam badan.

Lama kelamaan, THC daripada dalam tisu badan dilepaskan kembali ke dalam saluran darah, kemudiannya diubah menjadi metabolit 11-hydroxy-THC dan carboxy-THC menerusi kaedah metabolasi oleh hati.

Menurut American Addiction Centers, THC terbentuk pada tisu lemak lebih pantas berbanding ia disingkirkan dalam pengguna marijuana kronik. Ini bermakna ia masih boleh dikesan sehingga beberapa minggu setelah kali terakhir diambil.

Penyelidik kanabis di Colorado School of Public Health in the Department of Environmental & Occupational Health, Michael Kosnett berkata ini terjadi kerana pengguna kanabis harian mengekalkan tahap THC dalam darah walaupun selepas kesan psikoaktif hilang akibat THC yang terkumpul dalam tisu lemak.

Selain itu, memandangkan ia terikat pada molekul lemak dalam badan, ia mungkin lebih lambat dikeluarkan dari sistem badan individu yang mempunyai lebih banyak lemak.

 

Empat ujian pengesanan untuk mengesan kehadiran THC dalam badan

Kehadiran THC dalam badan boleh dikesan menerusi empat kaedah ujian pengesanan iaitu melalui air kencing, air liur, darah dan juga folikel rambut. Setiap kaedah mempunyai tahap pengesanan yang berbeza.

Ujian pengesanan bagi kanabis akan mengukur tahap THC dan hasil sampingannya atau metabolit yang tinggal lebih lama di dalam sistem badan setelah kesan psikoaktifnya hilang.

 

Ujian air kencing

Ujian air kencing adalah kaedah yang paling kerap digunakan bagi mengesan bahan kimia THC. Menurut satu review yang diterbitkan dalam Mayo Clinic Proceedings, pengesanan kanabis menerusi air kencing berubah mengikut kekerapan penggunaannya, iaitu:

  • 3 hari jika diguna hanya sekali, seperti sebatang ‘joint’
  • 5 hingga 7 hari bagi penggunaan sederhana iaitu empat kali seminggu
  • 10 hingga 15 hari dalam pengguna harian atau kronik
  • Lebih daripada 30 hari dalam pengguna yang mengambilnya beberapa kali sehari

 

Ujian darah

Kebiasaannya, ujian darah mengesan penggunaan marijuana yang baru terjadi atau telah diambil dalam masa 2 hingga 12 jam lalu. Namun ia dapat mengesan lebih lama dalam kes penggunaan kronik dan pernah dikesan sehingga 30 hari selepas penggunaannya. 

 

Ujian air liur

Metabolit THC dapat ditemui di dalam air liur apabila seseorang telah menghisap atau memakan produk mengandungi kanabis. Di samping itu, THC juga boleh memasuki air liur seseorang yang terdedah pada asap marijuana.

Ujian air liur mempunyai jangka waktu pengesanan yang pendek dan mungkin dapat mengesan penggunaan kanabis pada hari sama. 

Namun begitu, satu review pada tahun 2020 mendapati kewujudan THC dalam air liur pengguna kerap selama 72 jam setelah diambil. Malah, THC boleh dikesan di dalam air liur lebih lama berbanding darah dalam penggunaan berat.

Terdapat juga beberapa bukti yang mencadangkan THC boleh dikesan 30 jam setelah pengambilan rokok THC, dan sehingga 44 jam bagi dos oral (brownies, Sativex, Marinol) menerusi ujian air liur.

 

Ujian folikel rambut

Apabila seseorang mengambil marijuana, kanabinoid di dalamnya akan tiba di folikel rambut menerusi saluran darah halus serta sebun dan peluh yang mengelilingi batang rambut. 

Ujian folikel rambut adalah pengesanan yang paling sensitif dan boleh mengesan THC sehingga 90 hari atau tiga bulan selepas digunakan. 

Terdapat juga keadaan di mana positif palsu terhasil memandangkan ia menguji minyak dari kulit yang dipindah pada rambut, namun ia amatlah jarang berlaku. Secara teorinya, seseorang individu yang mempunyai sentuhan dengan pengguna THC boleh didapati positif menerusi ujian ini.

Dalam masa sama, komponen THC pada peluh dapat dikesan antara 7 hingga 14 hari selepas digunakan.

 

Marijuana dalam bentuk makanan lebih lambat menjadi THC

Bagi marijuana yang diambil secara oral dalam bentuk makanan seperti brownies dan biskut, komponen THC akan tiba pada organ dan salur darah lebih perlahan berbanding apabila disedut (hisap).

WebMD menjelaskan bahawa hati mengambil masa yang lebih lama untuk mengubah marijuana diambil secara oral menjadi metabolit yang dilepaskan menerusi air kencing dan najis. 

Tempoh pengesanan THC yang dimakan adalah seperti berikut:

  • Air kencing: 3 hingga 30 hari
  • Darah: 1 hingga 2 hari
  • Air liur: 1 hingga 3 hari
  • Folikel rambut: Sehingga 90 hari

Namun begitu, marijuana dalam bentuk makanan kebiasaannya tidak akan kekal di dalam sistem badan jika bahan itu diambil sekali-sekala.

Selain daripada kaedah ujian pengesanan yang digunakan, terdapat banyak faktor lain yang boleh mengubah tempoh pengesanan THC dalam badan. Ini termasuk:

  • Kandungan THC dalam marijuana
  • Cara pengambilan, yang mana THC lebih cepat masuk ke salur darah jika disedut berbanding di makan
  • Dos dan kekerapan penggunaan
  • Kadar metabolisme dan laluan perkumuhan individu
  • Kepekaan dan kekhususan ujian pengesanan
  • Jantina, tahap hidrasi, indeks jisim tubuh (BMI), kesihatan keseluruhan dan genetik individu
  • Berapa banyak lemak dalam badan

 

Pengesanan kanabis di Malaysia

Rakyat Malaysia sebelum ini diingatkan agar melakukan ujian kendiri bagi mengesan THC dalam badan selepas pulang dari Thailand susulan penggunaan ganja yang dihalalkan di sana.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, ketika itu mengingatkan bahawa THC boleh berada dalam badan seseorang lebih seminggu, malah sehingga sebulan. Tambahnya, pengesanan ini juga bergantung pada badan individu.

Di Malaysia, ‘Initial Screening’ atau ujian saringan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ialah 50 ng/ml untuk dadah jenis ganja.

“Jika dikesan mengandungi nilai ‘cut-off’ tersebut maka siasatan akan dijalankan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pengesahan pakar hanya dikeluarkan oleh pihak patologi di hospital,” kata Surina.


Rujukan:

1. https://nida.nih.gov/publications/drugfacts/cannabis-marijuana
2. https://americanaddictioncenters.org/marijuana-rehab/how-long-system-body
3. https://www.medicalnewstoday.com/articles/324315
4. https://news.cuanschutz.edu/news-stories/new-research-gains-ground-in-detecting-recent-cannabis-use
5. https://www.mayoclinicproceedings.org/article/S0025-6196(16)30825-4/fulltext
6. https://www.webmd.com/mental-health/addiction/what-to-know-about-how-long-marijuana-stays-in-your-system
7. https://www.sinarharian.com.my/article/223340/berita/semasa/ganja-buat-ujian-kendiri-sebelum-pulang-ke-malaysia

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 3 days ago