Deposit Calon Pilihan Raya

Deposit Calon Pilihan Raya

Calon perlu membayar deposit untuk bertanding dalam pilihan raya

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 11/11/2022 - Disunting : 11/11/2022

Petition to

Deposit Calon Pilihan Raya

Umum sedia maklum bahawa calon yang ingin bertanding dalam Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Negeri perlu membayar sejumlah deposit. Deposit dikenakan kepada calon untuk mengelakkan adanya individu yang tidak serius untuk bertanding dalam pilihan raya. Berdasarkan maklumat di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), calon Parlimen perlu membayar deposit sebanyak RM10,000 manakala calon Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu membayar deposit RM5,000

Jika calon tidak membuat pembayaran wang deposit, kertas penamaan calon tersebut adalah tidak lengkap dan Pegawai Pengurus boleh menolak kertas penamaannya. Tambahan lagi, jika seorang calon ingin bertanding bagi kedua-dua kerusi Parlimen dan DUN, dia perlu membayar deposit bagi kedua-duanya sekali. Pembayaran deposit boleh dilakukan di Pejabat Pilihan Raya, Pejabat Pegawai Pengurus atau Pusat Penamaan Calon. 

 

Deposit bahan kempen

Di samping itu, calon turut perlu membayar deposit bagi bahan kempen sebanyak RM5,000 dan RM3,000 bagi calon Parlimen dan DUN masing-masing. Berdasarkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 24B(4) seseorang calon hanya boleh mempamerkan, memberikan dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya di tempat bertanding hanya setelah membayar deposit bahan kempen kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri.

Calon yang tidak membayar deposit bahan kempen tidak dibenarkan untuk memasang atau mempamer sebarang bahan kempen pilihan raya. Jika calon tetap mempamerkan bahan kempen, dia boleh disabit kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan boleh dihukum penjara selama tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

 

Tuntutan deposit

Deposit-deposit yang dibayar oleh calon boleh dituntut semula selepas tamat pilihan raya. Namun, ia tertakluk kepada syarat tertentu. Deposit pilihan raya boleh dituntut selepas pengisytiharan Keputusan Pilihan Raya oleh Pegawai Pengurus. Namun begitu, calon hanya boleh menuntut deposit tersebut jika berjaya mendapat sebanyak ⅛ atau 12.5% daripada jumlah undi yang diterima oleh kesemua calon yang bertanding di suatu kawasan.

Bagi deposit bahan kempen pula, ia hanya boleh dituntut selepas calon membersihkan kesemua bahan kempen dan disahkan oleh pihak berkuasa tempatan yang berkenaan. Setelah tempoh kempen dan pilihan raya tamat, bahan-bahan kempen perlu dibersihkan dalam masa empat belas hari dari hari mengundi. 

Sekiranya calon tidak membersihkan bahan kempen dalam masa yang ditetapkan, deposit bahan kempen akan dilucuthakkan dan dibayar kepada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan. Deposit tersebut akan digunakan untuk menanggung kos pembersihan bahan kempen. Dalam keadaan kos pembersihan melebihi deposit bahan kempen, calon perlu membayar perbezaannya kepada Kerajaan Persekutuan. 

 

Situasi deposit pilihan raya di Malaysia

Deposit bagi calon pilihan raya di Malaysia adalah antara tertinggi di dunia. Menurut bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, negara Komanwel lain meletakkan deposit yang lebih rendah seperti Australia yang hanya menetapkan AUD2,000 deposit dan Kanada yang tidak menetapkan sebarang deposit

Ramai calon bebas yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum kali ini. Menurut Tan Sri Syed Hamid Albar, seorang veteran politik, pengundi secara umumnya akan mengundi Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional. Hal ini kemungkinan besar akan menyebabkan ramai calon bebas hilang deposit pilihan raya mereka kerana gagal mendapatkan jumlah undi minimum.


Rujukan:

1. https://sarawakvoice.com/2018/04/29/rm50-ribu-minimum-perlu-ada-pada-setiap-calon-pilihan-raya-parlimen/
2. https://www.spr.gov.my/ms/pilihan-raya/soalan-lazim/penjalanan-pilihan-raya
3. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/penamaan-calon-ini-checklist-untuk-bakal-yb-pru15-389277
4. https://www.spr.gov.my/sites/default/files/perundangan/akta-5-cetakan-semula-2016.pdf
5. https://www.sinarharian.com.my/article/230358/berita/politik/deposit-calon-pru-malaysia-antara-tertinggi-di-dunia
6. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/11/1021506/pru15-mampukah-calon-menang-majoriti-besar-lebih-20000-undi

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago