Ini Fakta Tentang Kad Perakuan Nikah Yang Anda Perlu Tahu

Ini Fakta Tentang Kad Perakuan Nikah Yang Anda Perlu Tahu

Kad Perakuan Nikah berfungsi sebagai bukti pernikahan yang sah mengikut undang-undang dalam bentuk yang lebih ringkas

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 16/05/2025 - Disunting : 16/05/2025

Petition to

Ini Fakta Tentang Kad Perakuan Nikah Yang Anda Perlu Tahu

Pernikahan atau perkahwinan merupakan satu matlamat yang dinanti-nantikan bagi rata-rata pasangan, apatah lagi bagi mereka yang beragama Islam demi menghalalkan sesebuah hubungan.

Di Malaysia, pasangan yang telah berkahwin wajib mendaftarkan pernikahan atau perkahwinan mereka agar menjadi sah di bawah undang-undang negara. Bagi pasangan Islam yang telah bernikah, mereka akan diberi Surat Perakuan Nikah yang berperanan sebagai bukti bahawa pernikahan mereka dijalankan mengikut undang-undang negara.

Selain surat perakuan tersebut, terdapat juga perakuan dalam bentuk kad yang digelar sebagai Kad Perakuan Nikah Pintar MyNCR. Pun begitu, mungkin timbul persoalan dalam kalangan masyarakat tentang kegunaan kad perakuan nikah tersebut yang dilihat sebagai dokumen gantian kepada sijil nikah.

 

Kad nikah perlu dipohon di negeri pernikahan didaftarkan

Setakat ini, kad perakuan nikah tidak diberi secara terus kepada pasangan yang baru melangsungkan pernikahan. Sebaliknya mereka harus mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kad tersebut.

Permohonan kad perakuan nikah hanya boleh dibuat kepada pejabat agama di negeri sama pasangan terbabit mendaftarkan pernikahan mereka. Sebagai contoh jika bernikah di Selangor, pasangan perlu mengemukakan permohonan kad nikah di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Namun, adakah wajib bagi setiap pasangan berkahwin untuk memohon kad perakuan nikah walaupun sudah mempunyai sijil?

Secara umumnya, kegunaan kad perakuan nikah adalah bagi memudahkan urusan pasangan agar tidak perlu lagi membawa sijil nikah dalam saiz A4. Seperti kad pengenalan, kad nikah mudah dibawa dan boleh disimpan di dalam dompet sahaja.

Orang ramai sedia maklum bahawa kad nikah penting bagi membuktikan pernikahan yang sah, apatah lagi jika pasangan suami isteri diserbu oleh penguatkuasa jabatan agama Islam kerana disyaki masih belum berkahwin. Akan tetapi, bukan itu sahaja kepentingannya.

 

Kad nikah mungkin perlu digunakan dalam situasi tertentu

Bercakap kepada Malaysia Bersuara, Pembantu Tadbir di JAIS, Syahirah menjelaskan kewajipan pasangan berkahwin mempunyai kad nikah bergantung pada pejabat daerah agama masing-masing.

Sebagai contoh, kad nikah tidak diwajibkan di Selangor, tetapi terdapat sesetengah daerah di Pahang yang mewajibkan pasangan berkahwin untuk memiliki dokumen berkenaan dan tidak cukup sekadar sijil kahwin.

Seperti yang semua sedia maklum, kad perakuan nikah penting agar suami isteri mendapat perlindungan undang-undang dalam keadaan tertentu. Namun menurut Syahirah, terdapat juga situasi lain yang masih memerlukan pasangan mengemukakan kad perakuan nikah kepada pihak berkuasa.

Antaranya terdapat sesetengah klinik yang meminta kad nikah berbanding surat perakuan bagi tujuan pendaftaran. Memetik satu insiden di Perlis ketika pasangan dicekup oleh penguatkuasa agama, mereka masih diminta untuk menunjukkan kad nikah walaupun telah mengemukakan sijil nikah dah sudah mempunyai anak. 

Katanya lagi yang merupakan ahli Persatuan Pegawai Perkhidmatan Hal Ehwal Islam Selangor (PEHIAS), terdapat juga dakwaan individu yang ingin membuat laporan polis bagi kes penderaan domestik diminta menyediakan kad nikah berbanding surat perakuan nikah.

 

Selangor masih belum wajibkan kad perakuan nikah

Walaupun setakat ini pasangan suami isteri di Selangor terutamanya masih belum diwajibkan memohon kad nikah, namun sebarang perubahan pada masa hadapan akan diwar-warkan di media sosial.

Selangor juga telah membuka permohonan kad nikah secara dalam talian bermula tahun 2024 di mana pasangan boleh memohon untuk kad buat pertama kali atau bagi kad yang telah hilang. Mereka juga boleh memohon untuk mendapatkan kad baharu bagi menggantikan kad nikah lama.

Menjawab soalan tentang kewajipan suami isteri masing-masing memohon kad perakuan nikah, Syahirah berkata Selangor masih memberikan mereka yang hanya mahu membuat satu kad. Namun tambahnya, tidak mustahil akan terdapat risiko dipersoalkan oleh pihak berkuasa jika terdapat isu berbangkit pada masa hadapan.

“Kita akan pujuk pasangan untuk buat sepasang kad perakuan nikah, tetapi akhirnya bergantung kepada mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Syahirah turut berkongsi harapan penduduk Selangor agar pejabat agama islam daerah (PAID) dibuka semula bagi tujuan permohonan kad nikah secara manual. Ini kerana walaupun permohonan online telah dibuka, kad yang telah siap perlu diambil di ibu pejabat JAIS di Shah Alam yang agak sukar bagi mereka yang tinggal berjauhan.

Sebelum ini, wakil bertanggungjawab di PAID akan mengutip permohonan penduduk setempat yang hanya dihantar kepada ibu pejabat setelah mencapai kuota. Kemudian, ibu pejabat akan menghantar kad nikah yang telah siap kepada PAID sebelum diserahkan kepada pasangan.

 

Cara mohon kad nikah & dokumen diperlukan

Menerusi carian kami, rata-rata negeri masih mengamalkan prosedur permohonan kad nikah secara manual iaitu menerusi penghantaran borang ke pejabat agama daerah. Terdapat juga beberapa negeri yang telah membuka permohonan secara dalam talian termasuk Selangor dan Sarawak

Bagi membuat permohonan kad perakuan nikah, berikut merupakan dokumen yang perlu disediakan, namun ia juga bergantung kepada majlis agama negeri masing-masing: 

  • Salinan kad pengenalan suami dan isteri
  • Surat Perakuan Nikah/ Sijil Nikah dan salinan
  • Foto suami berukuran pasport (ada negeri yang wajib bersongkok)
  • Foto isteri berukuran pasport yang wajib memakai tudung

Bagi permohonan secara manual, anda boleh mengikuti langkah-langkah di bawah:

  1. Bawa kesemua dokumen terbabit ke Pejabat Agama Daerah atau Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI). Jangan lupa untuk bawa Surat Perakuan Nikah yang asal. 
  2. Isi borang permohonan kad perakuan nikah yang disediakan di kaunter. 
  3. Di Wilayah Persekutuan, gambar pasport pasangan akan diambil di sana oleh pihak JAWI.
  4. Lakukan pembayaran. Kadar pembayaran tertakluk kepada negeri masing-masing.
  5. Hadir semula untuk ambil kad setelah siap. Terdapat tempat di mana kad akan siap pada hari yang sama.
@kamiada_Siapa yang belum buat kad nikah walaupun dah berbelas tahun kahwin? sila hadirkan diri 🤣

♬ Santai – Faizal Tahir

 

Berikut kami kongsikan cara melakukan permohonan kad perakuan nikah bagi setiap negeri:

  • Johor: Bawa dokumen-dokumen yang diperlukan dan hadir ke mana-mana Pejabat Kadi Daerah.
  • Kedah: Bawa dokumen-dokumen yang diperlukan dan hadir ke mana-mana Pejabat Agama Daerah.
  • Kelantan: Muat turun borang [DI SINI] dan hantar ke mana-mana Pejabat Agama Daerah.
  • Melaka: Bawa dokumen-dokumen yang diperlukan dan hadir ke mana-mana Pejabat Agama Daerah.
  • Negeri Sembilan: Bawa dokumen-dokumen yang diperlukan dan hadir ke mana-mana Pejabat Agama Daerah.
  • Pahang: Bawa dokumen-dokumen yang diperlukan dan hadir ke mana-mana Pejabat Agama Daerah.
  • Perak: Muat turun borang [DI SINI] dan hantar ke mana-mana Pejabat Agama Daerah.
  • Perlis: Muat turun borang [DI SINI] dan hantar ke mana-mana Pejabat Agama Daerah.
  • Pulau Pinang: Muat turun borang [DI SINI] dan hantar ke mana-mana Pejabat Agama Daerah.
  • Sabah: Bawa dokumen-dokumen yang diperlukan dan hadir ke bahagian Pentadbiran Syariah Tingkat 10, Blok A, Wisma MUIS.
  • Sarawak: Permohonan dalam talian [DI SINI
  • Selangor: Permohonan dalam talian [DI SINI]. Boleh juga mohon melalui kaunter One Stop Center JAIS di Shah Alam.Terengganu: Bawa dokumen-dokumen yang diperlukan dan hadir ke mana-mana Pejabat Agama Daerah.
  • Wilayah Persekutuan: Bawa dokumen-dokumen yang diperlukan dan hadir ke mana-mana Pejabat Agama Daerah.

 

Surat Perakuan Nikah banyak digunakan bagi urusan rasmi

Walaupun kad nikah masih belum digunakan secara menyeluruh pada masa kini, tetapi lain pula dengan surat perakuan nikah yang dipakai secara meluas dalam urusan rasmi termasuk:

  • Mendaftar kandungan bagi membuka buku pink
  • Mendaftar kelahiran anak
  • Mendaftar sekolah anak
  • Pertukaran status dalam dokumen kerajaan
  • Permohonan visa

Namun seperti yang dinyatakan oleh Syahirah, mungkin terdapat daerah dan lokasi tertentu yang memerlukan pasangan menunjukkan kad nikah mereka.

Sebagai info, bukan umat Islam sahaja yang wajib mendaftarkan pernikahan, malah bukan muslim berwarganegara Malaysia juga wajib mendaftarkan perkahwinan mereka.

Bagi pasangan yang sudah bercerai pula, kad dan surat perakuan nikah perlu diserahkan kepada pejabat kadi. Menurut Jabatan Agama Islam Negeri Johor, kad nikah akan dipotong di mana-mana penjuru sebagai tanda terbubarnya pernikahan sebelum diserahkan kembali.

Baca Artikel Berkaitan: Cara-cara Mendaftar Kelahiran Bayi Baru Lahir & Senarai Dokumen Yang Diperlukan


Rujukan:

Temubual bersama Penolong Tadbir JAIS, Syahirah

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 5 days ago