Baru-baru ini, kecoh isu pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur untuk memberi laluan kepada pembinaan Masjid Madani. Walaupun berdepan pertikaian oleh pihak tertentu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merasmikan majlis pecah tanah masjid berkenaan pada 27 Mac.
Berdasarkan laporan, tanah di mana kuil berusia 131 tahun itu terletak telah dibeli oleh syarikat tekstil Jakel Trading Sdn Bhd sejak tahun 2014 lagi, dengan pembinaan masjid diluluskan pada tahun 2019.
Malah, sejak timbulnya isu ini, banyak pihak telah tampil menyenaraikan kuil-kuil yang didakwa dibina secara haram. Perkara ini menimbulkan tanda tanya mengapakah banyak ‘kuil haram’ dibina di seluruh Malaysia.
Sejarah pembinaan ‘kuil’ Hindu di Malaysia
Antara salah satu isu yang diketengahkan oleh sesetengah pihak adalah dakwaan pembinaan kuil yang bermula dengan mengikat kain pada batang pokok dengan tujuan untuk menyembah pokok tersebut.
Penolong Pesuruhjaya Pengakap Negeri di Persekutuan Pengakap Malaysia, Jayakanthan M. Lachmanan, berkata perkara ini hanya terjadi di empat negara sahaja yang pernah dijajah oleh British iaitu Maldives, Mauritius, Afrika Selatan dan Malaya apabila buruh dibawa masuk dari Selatan India untuk bekerja di ladang atau estet.
Mereka yang dari golongan kasta Vaishas, Sudras dan Harijans mula membina pondok-pondok kecil di bawah pokok besar yang tidak ditebang untuk dipuja. Ini dilakukan bagi mendapatkan ‘restu Tuhan demi memohon kebaikan dan melepaskan kesedihan dan kesusahan’.
“Perkara ini sebagai satu konsep kerohanian untuk mereka menjernihkan perasaan dan melegakan diri dalam segala musibah yang menimpa telah dibenarkan oleh pengusaha pertanian kawasan itu dan mula menjadi tempat sosio-agama dan berkembang sebagai satu pusat rujukan sebarang ilmu warisan,” jelasnya lagi.
Maka dengan itu, tempat-tempat tersebut telah dinamakan sebagai ‘Kuil’ yang dipinjam dari nama tempat ibadat agama Hindu. Untuk info, kuil sebenar merujuk kepada struktur yang lebih megah. Lachmanan berpendapat hanya terdapat kurang daripada lima rumah ibadah yang benar-benar merujuk kepada kuil yang memenuhi doktrin ‘agama Shastra’.
Sekadar perkongsian, Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di Jalan Masjid India dikatakan telah dibina pada 1894 yakni sebelum merdeka dan DBKL ditubuhkan sama sekali. Namun selepas kemerdekaan, DBKL menjadi pemilik tanah sebelum ia dijual kepada Jakel pada 2014.
Statistik rumah ibadat ‘haram’ dalam negara
Sebenarnya, isu rumah ibadat ‘haram’ bukanlah sesuatu perkara yang baharu. Sebelum ini, laporan oleh FMT pada 2021 menjelaskan terdapat 115 tempat ibadat di Kuala Lumpur yang dibina secara haram atas tanah kerajaan.
Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Edmund Santhara, lapan kes daripada jumlah itu telah diselesaikan apabila rumah ibadat terlibat diberikan tawaran pendudukan bertulis. Sebaliknya kes lain ditawarkan lokasi lain yang dirizabkan buat rumah ibadat bukan Islam.
Bagi menangani masalah tersebut, satu jawatankuasa eksekutif yang diketuai oleh Santhara telah ditubuhkan bertujuan membincangkan perkara itu bersama wakil badan agama terlibat serta mencari penyelesaian bagi pendudukan secara haram.
Santhara juga sewaktu itu menegaskan bahawa pembinaan rumah ibadat perlu mendapatkan kebenaran dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Selain itu, satu kajian yang dijalankan dari 2005 hingga 2012 dengan kerjasama Malaysia Hindu Sangam mendapati majoriti daripada 3,200 kuil yang dibina di Malaysia tidak berdaftar.
Penyelidik Elanjelian Venugopal berkata, konflik antara pihak berkuasa tempatan dan kuil Hindu yang tidak berdaftar boleh diselesaikan menerusi penubuhan lembaga endowmen Hindu di setiap negeri.
Seperti yang dinyatakan oleh Lachmanan di atas, Elanjelian berkata kuil yang tidak didaftar secara rasmi telah dibina berpuluh tahun lamanya oleh pekerja di ladang untuk kegunaan sendiri. Mereka ketika itu tidak mengetahui tentang keperluan mendaftar rumah ibadat.
Diingatkan juga, bukan sahaja kuil yang dibina secara haram, tetapi juga rumah ibadat lain termasuklah masjid. MalaysiaKini sebelum ini melaporkan Anwar berkata bahawa kes terbaharu ini bukanlah kuil pertama yang dipindah atau dirobohkan kerana dibina tanpa kebenaran.
Beliau memberi contoh masjid di Lahad Datu, Sabah dan di Sentul, Kuala Lumpur yang pernah dirobohkan kerana didirikan tanpa mengikut undang-undang.
Wujud juga kuil di kawasan pembinaan
Selain pembinaan kuil oleh buruh India di ladang atau estet pada dahulu kala, kini terdapat juga kuil-kuil yang baru dibina secara haram di kawasan pembinaan. Presiden Majlis Kuil Hindu dan Persatuan Hindu Malaysia (Mahima), N Sivakumar menjelaskan kuil-kuil kecil di kawasan pembinaan mungkin didirikan oleh pekerja buruh.
“Sebenarnya, kuil-kuil kecil ini dibina kerana sesetengah daripada mereka (pekerja) mungkin sedang menjalankan kerja pembinaan dan mereka hanya mahu meletakkan perlindungan daripada tuhan di situ. Kemudian, apabila pembinaan siap, mereka mungkin terlupa untuk memindahkannya,” katanya.
Tambahnya lagi, amalan tersebut tidaklah tertakluk kepada pekerja Hindu sahaja, tetapi turut dipraktikkan oleh mereka yang berbangsa Cina.
Syarat bina kuil menurut Garis Panduan Kuil Hindu Kebangsaan
Dalam meneliti isu pembinaan kuil secara haram, satu Garis Panduan Kuil Hindu Kebangsaan telah diterbitkan oleh Malaysia Hindu Sangam yang menegaskan bahawa rumah ibadat itu mesti dibina di atas tanah milik kuil sendiri atau Jawatankuasa Pengurusan Kuil (JPK). Sebaliknya, pembinaan kuil di atas tanah yang disewa, dipajak, tanah rizab dan tanah dihuni tanpa kebenaran pemilik seeloknya dielakkan.
Selain itu, garis panduan tersebut menetapkan agar mengelakkan daripada membina kuil di kawasan berikut:
- Hutan simpanan
- Tanah TNB, Indah Waters atau kawasan menara telekomunikasi
- Tanah pihak ketiga tanpa kebenaran
- Tempat pembuangan sampah, pembuangan sisa, dan tempat pembersihan kumbahan
- Kawasan yang tercemar
- Kawasan di mana kegiatan haram dilakukan
- Tempat pembakaran mayat atau kubur
- Berdekatan longkang
- Dalam perkarangan rumah
Rizab rumah ibadat bukan Islam
Dalam masa sama juga, orang ramai diingatkan bahawa kerajaan turut menggazetkan tanah bagi pembinaan rumah ibadat selain Islam.
Seperti di Selangor, dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012, dinyatakan bahawa kerajaan tidak akan memberi hak milik tanah kepada rumah ibadat bukan Islam sejak 2008. Namun pewartaan tanah (gazet) terhadap sesuatu tanah itu sebagai tanah rizab rumah ibadat selain Islam akan dilakukan.
Antara rumah ibadat bukan Islam yang dibina atas tanah rizab terbabit di sekitar Selangor ialah Kuil Sri Maha Mariamman di Shah Alam, Tokong Kau Ong Yah Lam Thian Kiong di Ampang dan Gereja Immanuel di Klang.