Keistimewaan 10 Hari Pertama Zulhijjah, Hukum Berpuasa Dalam Bulan Ini & Ibadah Sunat Ketika Kurban

Keistimewaan 10 Hari Pertama Zulhijjah, Hukum Berpuasa Dalam Bulan Ini & Ibadah Sunat Ketika Kurban

10 hari pertama Zulhijjah dianggap sebagai hari-hari yang paling baik dalam setahun

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 08/06/2024 - Disunting : 08/06/2024

Petition to

Keistimewaan 10 Hari Pertama Zulhijjah, Hukum Berpuasa Dalam Bulan Ini & Ibadah Sunat Ketika Kurban

Raya Aidiladha jatuh pada 10 Zulhijjah setiap tahun mengikut kalendar Islam. Pada hari yang mulia ini, sesetengah umat Islam yang berkemampuan akan terlibat dalam ibadah haji dan korban. 

Dalam pada itu, seorang amil zakat, Faisal Rahim, berkata terdapat ulama yang berpendapat bahawa 10 hari pertama Zulhijjah lebih afdal berbanding 10 malam terakhir Ramadan. 

 

Istimewanya 10 hari pertama Zulhijjah

Merujuk kepada laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat beberapa hadis yang menjelaskan keistimewaan 10 hari pertama Zulhijjah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Imam Bukhari, daripada Ibnu Abbas RA, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini (10 hari terawal Zulhijjah).”

Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?”

Baginda bersabda, “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang  lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.”

Riwayat al-Bukhari (969), Abu Daud (2438), Ibn Majah (1727), al-Tirmizi (757)

Hadis ini menerangkan bahawa Allah SWT lebih menyukai amalan-amalan lain yang dilakukan pada 10 hari pertama Zulhijjah berbanding berjihad. Namun dalam masa sama, Rasulullah SAW mengecualikan satu jenis jihad daripada perkara tersebut iaitu seseorang yang jihad dengan kudanya mati ditikam dan dia mati syahid (Riwayat Abu Daud). 

 

Bukan sahaja dari segi melakukan amalan soleh, 10 hari pertama Zulhijjah juga dianggap sebagai hari-hari yang paling baik dalam setahun seperti sabda Rasulullah SAW:

أَفْضَلُ أَيَّامِ الدُّنْيَا أَيَّامُ الْعَشْرِ

Maksudnya: “Sebaik-baik hari dalam dunia ini adalah 10 hari ini.”

Berdasarkan kepada hadis ini, al-Imam Ibn Taimiyyah menganggap bahawa 10 hari terawal Zulhijjah adalah lebih utama berbanding 10 hari terakhir Ramadan. Kata beliau, “Sepuluh hari awal Zulhijjah lebih afdal daripada sepuluh hari akhir Ramadhan, dan malam sepuluh akhir Ramadhan, lebih afdal daripada malam sepuluh awal Zulhijjah.

Umat Islam juga digalakkan agar memperbanyakkan zikir dalam tempoh ini. Berdasarkan riwayat dalam Musnad Al-Imam Ahmad daripada Ibnu Umar RA, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إلِيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ أَيَّامِ عَشْرِ ذِي الْحِجَّةِ أَوْ قَالَ : هَذِه الْأيَّامِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنَ التَّسْبِيح وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ وَالتَّهْلِيلِ

Maksudnya: “Tiada hari-hari yang lebih agung dan disukai oleh Allah untuk beramal soleh selain sepuluh hari ini. Maka, perbanyakkanlah tahlil, takbir, dan tahmid pada-Nya.

Riwayat Imam Ahmad (6154)

 

Puasa pada 10 hari pertama Zulhijjah dapat pahala berganda?

Dalam pada itu, timbul tanggapan bahawa seorang Muslim sunat berpuasa pada 10 hari pertama Zulhijjah. Malah, wujud juga riwayat tentang dapat gandaan pahala jika menunaikan puasa sunat pada hari-haria tersebut.

Namun begitu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerangkan bahawa ia adalah berdasarkan kepada beberapa hadis yang lemah.

Salah satunya adalah riwayat oleh seorang perawi yang lemah, Thuwair Bin Fakhitah, yang meriwayatkannya daripada mujahid dan Ibnu Umar.

ليس يوم أعظم عند الله من يوم الجمعة ليس العشر فإن العمل فيها يعدل عمل سنة

Maksudnya : “Tiada suatu hari yang paling agung di sisi Allah selain hari Jumaat bukannya 10 hari (Terawal Zulhijjah) kerana suatu amalan yang dikerjakan pada hari itu menyamai amalan selama setahun.”

 

Selain itu, Abu Amru al-Naisaburi meriwayatkan dalam kitab Al-Hikayat dengan sanadnya, daripada Humaid, “Aku mendengar ibnu Sirin dan Qatadah berkata, Puasa setiap hari daripada 10 hari Zulhijjah menyamai puasa setahun.”

Harun Bin Musa Al-Nahwi pula meriwayatkan dengan berkata, “Aku mendengar Al-Hassan menceritakan daripada Anas bin Malik, pernah disebutkan tentang 10 hari tersebut iaitu setiap harinya menyamai seribu hari, dan hari Arafah menyamai 10,000 hari.”

Akan tetapi Al-Hakim berkata, “Semua ini adalah sejumlah hadis yang tidak disebutkan sanadnya daripada Rasulullah SAW.”

 

Di samping itu, terdapat juga hadis-hadis yang menerangkan kelebihan berpuasa pada setiap 10 hari pertama Zulhijjah. Namun Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan ia tidak sahih daripada Rasulullah SAW melainkan kelebihan berpuasa pada 9 Zulhijjah yakni hari Arafah.

Daripada Abi Qatadah RA, Rasulullah SAW bersabda apabila ditanya tentang puasa pada hari Arafah:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَالْبَاقِيَةَ

Maksudnya: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang”. 

Riwayat Muslim (1977)

 

Adakah Rasulullah SAW berpuasa pada 10 hari pertama Zulhijjah?

Mungkin timbul persoalan jika Nabi Muhammad SAW berpuasa sunat pada 10 hari pertama Zulhijjah. Ulama berselisih pendapat berkenaan perkara ini. Diriwayatkan dalam kitab al-Musnad dan Sunan, daripada Hafsah RA:

كَانَ لَا يَدَعُ صِيَامَ عاشوراءَ والعَشر وثلاثة أيام من كُلِّ شَهْرٍ

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW tidak meninggalkan puasa pada hari Asyura, 10 hari (terawal Zulhijjah), dan tiga hari setiap bulan.”

Riwayat Imam Ahmad (6/287), al-Nasaie (4/220)

Namun al-Zaila’i di dalam Ansab al-Rayah berkata hadis ini daif. Sebaliknya, diriwayatkan daripada salah seorang isteri Nabi Muhammad SAW:

أَﻥّ اﻟﻨَّﺒِﻲ ﺻَﻠّﻰ اﻟﻠﻪُ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﻛَﺎﻥَ ﻻ ﻳَﺪَﻉٌ ﺻِﻴَﺎﻡَ ﺗﺴﻊِ ﺫِﻱ اﻟﺤِﺠّﺔِ

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW tidak meninggalkan puasa 9 Zulhijjah.”

Riwayat Abu Daud (2438)

 

Terdapat juga pandangan bahawa Rasulullah SAW tidak berpuasa dalam tempoh ini berdasarkan kepada hadis berikut:

مَا رَأَيْتٌ رَسُولَ اللهِ صَائمَا العَشْرِ قَطّ

Maksudnya: “Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa pada 10 hari (terawal Zulhijjah).”

Riwayat Muslim (1176), Abu Daud (2439), al-Tirmizi (756), Ibnu Khuzaimah (2103), Ibnu Majah (1729)

 

Dua hadis yang diriwayatkan isteri Baginda Hafsah RA dan Aisyah RA mewujudkan perselisihan pendapat para ulama. Menurut jawapan Imam Ahmad, Aisyah RA memaksudkan Rasulullah SAW tidak berpuasa 10 hari secara terus, manakala hadis diriwayatkan Hafsah RA di atas memaksudkan Baginda berpuasa pada banyak hari dalam tempoh tersebut. 

Hal ini bermakna Rasulullah SAW ada berpuasa pada sesetengah 10 hari pertama Zulhijjah. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa cara penggabungan tersebut sesuai dengan riwayat bahawa Baginda tidak berpuasa 10 hari (berturut-turut), berbanding tidak pernah berpuasa dalam tempoh itu.

 

Empat hari dilarang berpuasa dalam bulan Zulhijjah

Walaupun hadis sering menyebutkan 10 hari pertama Zulhijjah, namun harus diingatkan bahawa haram untuk berpuasa pada 10 Zulhijjah yakni Raya Aidilfitri. Selain itu, diharamkan juga berpuasa pada hari-hari Tasyrik 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Pada hari-hari Tasyrik, jemaah haji akan melakukan amalan melontar jamrah di Mina. Mereka yang tidak menunaikan haji juga digalakkan agar menjalankan ibadah korban dalam tempoh ini.

Puasa diharamkan kerana umat Islam dianjurkan untuk makan dan minum sebagai bentuk kesyukuran dan bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:

أَيَّامُ التَّشْرِيقِ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ

Maksudnya: “Hari tasyrik adalah hari untuk makan dan minum.”

Riwayat Muslim

 

Perkara sunat dan makruh ketika berkorban

Bulan Zulhijjah juga merupakan waktu di mana umat Islam menjalankan ibadah korban dengan menyembelih binatang korban bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Di samping itu, ia bertujuan bagi mengingatkan umat Islam ke atas ketaatan  terhadap perintah Allah SWT dan pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang bersedia mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS. 

Ia merupakan satu ibadah sunat muakkad dan sunat kifayah, dan makruh jika tidak dilakukan kecuali jika tidak berkemampuan. Bagi tujuan berkorban, individu terlibat haruslah memilih seekor binatang ternakan seperti unta, lembu dan korban yang boleh dikongsi bahagian, atau seekor kambing dan biri-biri.

Kredit gambar: Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

Bagi mereka yang menjalankan ibadah korban, berikut merupakan perkara disunatkan dilakukan:

  • Menambat ternakan korban menjelang Hari Nahar (aidiladha).
  • Memberi makanan kepada haiwan korban sebelum disembelih. 
  • Memastikan haiwan tersebut tidak makan makanan yang syubhah seperti makan rumput di kawasan yang bukan milik tuan haiwan korban. 
  • Meletakkan tanda serta menutup tubuh haiwan korban supaya dapat merasakan kepentingan korban. 
  • Memilih haiwan ternakan yang paling baik. 

Selain itu, disunatkan agar tidak bercukur dan tidak memotong kuku setelah tiba bulan Zulhijjah sehingga selesai berkorban. Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mempunyai haiwan korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.”

Riwayat Muslim

Mereka yang melakukan korban juga disunatkan agar menyembelih haiwan korban itu sendiri di samping melakukan perkara berikut:

  • Membaca Bismillah dan berselawat ke atas Nabi SAW.
  • Penyembelih dan haiwan mengadap ke arah qiblat. 
  • Menunggu haiwan yang disembelih itu sehingga sejuk dan semua anggotanya tidak bergerak lagi (benar-benar mati) sebelum dilapah. 

Dalam masa sama, penting juga untuk mengetahui perkara yang makruh dilakukan dalam menjalankan ibadah korban iaitu:

  • Melakukan korban ke atas haiwan yang carik telinga atau terpotong sedikit di belakang telinganya.
  • Memotong bulu haiwan yang hendak dikurbankan bagi tujuan kegunaan sendiri jika boleh memudaratkannya. 
  • Melakukan kurban ke atas haiwan yang pecah atau patah tanduknya, atau tiada bertanduk. 
  • Memerah susu haiwan yang hendak dijadikan kurban dan meminumnya kecuali disedekahkan susu tersebut.
  • Memotong kuku dan bercukur bagi orang yang berniat kurban. 
  • Melakukan sembelihan kurban pada waktu malam.

Kredit gambar: Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)


Rujukan:

1. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-li-al-haj/682-bayan-li-al-haj-siri-ke-32-keistimewaan-dan-fadhilat-10-awal-zulhijjah-marilah-kita-beramal
2. https://ecentral.my/amalan-kelebihan-bulan-zulhijjah/
3. https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/3614-irsyad-al-hadith-siri-ke-401-hadith-palsu-kelebihan-berpuasa-10-hari-awal-bulan-zulhijjah
4. https://ecentral.my/ibadah-korban/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 7 months ago