Memahami Perbezaan Antara Sosialisme Dan Komunisme

Memahami Perbezaan Antara Sosialisme Dan Komunisme

Ramai yang keliru tentang perbezaan sosialisme dan komunisme

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 13/12/2022 - Disunting : 13/12/2022

Petition to

Memahami Perbezaan Antara Sosialisme Dan Komunisme

Ada pihak yang menyamakan parti-parti berasaskan fahaman sosialis seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dengan ideologi komunis, terutamanya dalam mencapai kepentingan politik. Walhal, kedua-dua sosialis dan komunis sebenarnya berbeza walaupun wujud berasaskan falsafah yang sama.

Kedua-dua fahaman sosialisme dan komunisme berlandaskan falsafah ekonomi yang menyokong pemilikan awam berbanding pemilikan persendirian, terutamanya dari segi penghasilan, pengedaran dan penukaran barangan dalam sesebuah masyarakat. Pendokong fahaman sosialis dan komunis melihat sistem kapitalis, iaitu keadaan di mana industri negara dipelopori oleh pemilik swasta, mengeksploitasi golongan pekerja (proletariat) serta melebarkan jurang antara golongan kaya dan miskin. Namun begitu, terdapat perbezaan-perbezaan yang ketara antara keduanya.

 

Sejarah sosialisme

Dalam membezakan antara sosialisme dan komunisme, penting untuk memahami sejarah kedua-dua fahaman tersebut. Sosialisme moden wujud sekitar hujung abad ke-18 selepas Revolusi Perindustrian yang membawa kekayaan kepada pemilik-pemilik kilang sementara golongan pekerja menjadi semakin miskin dan mengembangkan sistem kapitalis. Sosialisme bertujuan untuk menaikkan taraf golongan pekerja dan mewujudkan masyarakat yang setara (egalitarian society).

Sosialisme merangkumi spektrum fahaman politik yang lebih meluas berbanding komunisme, iaitu pengedaran harta kepada masyarakat secara adil dan pemilikan awam terhadap penghasilan produk. Namun begitu, ia tidak memupuskan pemilikan persendirian sama sekali. Program-program dan polisi-polisi bersifat sosialis boleh dijalankan bersama-sama kapitalisme dalam sebuah masyarakat. 

Kini, fahaman moden sosialisme yang sering dipraktikkan adalah demokrasi sosial. Ia bertujuan untuk mencapai reformasi sosial dan pengagihan harta melalui proses demokrasi. Sebuah negara dengan demokrasi sosial boleh wujud bersama-sama ekonomi kapitalis dan pasaran bebas. 

 

Sejarah komunisme

Komunisme moden merupakan salah satu cabang kepada sosialisme yang diperkenalkan oleh Karl Marx, seorang pakar teori sosialis. Turut dikenali sebagai sosialisme revolusioner, ia juga wujud sebagai tentangan ke atas para kapitalis sewaktu Revolusi Perindustrian. Slogan Marx yang terkenal dalam konteks komunisme adalah, “From each according to his ability, to each according to his need”, yang bermaksud setiap orang akan memberi mengikut kemampuannya dan akan diberi mengikut keperluannya.

Kredit gambar:
Maximilian Scheffler/ Unsplash

Marx memperjuangkan revolusi politik, iaitu untuk menggulingkan sistem kapitalis atau kerajaan sedia ada, tanpa melakukan perubahan atau reformasi demi mewujudkan sebuah sistem baru. Marx juga mewujudkan konsep “Dictatorship of the Proletariat”, pemerintahan diktaktor oleh golongan pekerja, yang menggalakkan proletariat supaya menafikan norma demokrasi sesebuah negara. Soviet Union telah berubah menjadi negara komunis setelah kejayaannya dalam sebuah revolusi pada tahun 1917. Vladimir Lenin, ketua negara pertama Soviet Union, kemudiannya mengetepikan kesemua bentuk demokrasi dan menghalang sebarang kebebasan individu, mewujudkan fahaman Leninisme. 

Di dalam sebuah masyarakat komunisme, harta dibahagikan sama rata antara rakyat dan setiap harta benda dimiliki oleh orang awam. Golongan proletariat mengawal pengeluaran bagi barangan dan tanaman. Matlamat utama komunisme adalah mencapai masyarakat tidak berkelas dan tanpa kewujudan sebuah kerajaan. Menurut Marx, kesemua sejarah adalah sejarah mengenai perjuangan kelas masyarakat, dan di bawah teorinya, proletariat akan mengatasi golongan kaya borjuis, seterusnya menghapuskan kelas masyarakat.


Perbezaan antara sosialisme dan komunisme

Berdasarkan takrifan dan sejarah kedua-dua fahaman ini, jelas bahawa terdapat perbezaan yang ketara antara keduanya. Pertama adalah tindakan komunis yang lebih radikal, iaitu dengan mengangkat golongan proletariat melalui sebuah revolusi politik berbanding reformasi ekonomi seperti sosialis. Ia seperti yang dilakukan di Soviet Union oleh Vladimir Lenin, China oleh Mao Zedong dan Cuba oleh Fidel Castro, ketika gelombang Marxism mula-mula tersebar.

Untuk mencapai sebuah negara komunisme, proletariat menentang masyarakat kelas tengah dan atasan melalui revolusi yang ganas. Sebaliknya, sosialisme adalah ideologi yang lebih fleksibel dan tidak sekeras komunisme. Ia memperjuangkan perubahan dan reformasi melalui proses-proses demokrasi yang termaktub di dalam rangka sosial dan politik sedia ada.

Walaupun kedua-dua fahaman memperjuangkan pemilikan awam ke atas pengeluaran, sosialisme masih boleh wujud bersama-sama dengan kapitalisme dalam sesetengah ekonomi. Penghasilan utama kekayaan negara dimiliki oleh masyarakat dan dikawal selia oleh sebuah kerajaan yang dilantik melalui proses demokrasi. Sebaliknya, pemilikan persendirian atau swasta tidak wujud sama sekali secara teorinya di bawah fahaman komunisme. Kesemua harta benda dimiliki oleh masyarakat dan setiap individu akan menerima berdasarkan keperluannya. Di bawah komunisme, negara ditadbir oleh proletariat yang mengawal setiap aspek penghasilan ekonomi dan menyediakan keperluan asas kepada rakyat. 

Di dalam sebuah masyarakat sosialisme, setiap individu akan diberi pampasan berdasarkan sumbangan mereka terhadap ekonomi. Individu turut menerima ganjaran bagi usaha dan inovasi mereka. Dalam komunisme walau bagaimanapun, setiap orang perlu memberi berdasarkan kemampuannya, yang kemudiannya akan diagih secara sama-rata kepada masyarakat.

 

Negara-negara komunis dan sosialis

Sebenarnya, tiada mana-mana negara yang berfungsi berdasarkan fahaman sosialisme mahupun komunisme semata-mata. Sebagai contoh, Norway, Sweden dan Denmark (juga Malaysia) mempunyai sektor ekonomi yang bersifat kapitalis, tetapi menjalankan polisi-polisi yang sejajar dengan demokrasi sosial. Program bersifat sosialis seperti pendidikan percuma dan penjagaan kesihatan sejagat turut dijalankan di banyak negara-negara Eropah dan Amerika Latin yang turut memiliki pemimpin-pemimpin sosialis. 

Hanya terdapat 5 negara di dunia yang berasaskan fahaman komunis iaitu China, North Korea, Laos, Vietnam dan Cuba. Kelima-lima negara ini dikenal pasti sebagai negara komunis kerana mempunyai kerajaan yang mengawal setiap aspek ekonomi dan politik negara. Namun begitu, harta benda persendirian, wang dan sistem kelas masyarakat tidak berjaya dihapuskan oleh mana-mana negara komunis ini. 

 

Sosialisme dan komunisme sama tapi berbeza

Sejarah kewujudan sosialisme moden dan komunisme boleh dijejak sejak Revolusi Perindustrian yang berlaku pada abad ke-18. Kedua-duanya bertujuan untuk memperjuangkan golongan pekerja yang seringkali ditindas oleh pemilik-pemilik industri yang kaya. Pengikut Marxist sering merujuk kepada sosialisme sebagai fasa yang perlu dilalui untuk mengubah sistem kapitalis menjadi komunis. Namun begitu, kedua-duanya mempunyai cara yang berbeza dalam melawan sistem kapitalis. Sosialisme masih bertindak atas dasar demokrasi, berbeza dengan komunisme yang lebih radikal dan menggunakan keganasan untuk mencapai matlamatnya. Sosialisme juga membenarkan nilai-nilai individualistik, tidak seperti komunisme yang mengekangnya seperti yang berlaku di Korea Utara.


Rujukan:

1. https://www.history.com/news/socialism-communism-differences
2. https://www.history.com/topics/industrial-revolution/socialism
3. https://www.economicsonline.co.uk/definitions/socialismvscommunism.html/
4. https://www.investopedia.com/ask/answers/100214/what-difference-between-communism-and-socialism.asp
5. https://academic.oup.com/book/28409/chapter-abstract/228831023
6. https://iskra.substack.com/p/does-malaysia-already-have-socialism
7. https://www.thoughtco.com/communist-countries-overview-1435178
8. https://www.dw.com/en/north-korea-cracks-down-on-capitalist-pop-culture/a-61682842

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago