Membandingkan Kumpulan Umur Pengundi Berdaftar Dan Ahli Parlimen PRU15

Membandingkan Kumpulan Umur Pengundi Berdaftar Dan Ahli Parlimen PRU15

Seramai 21 juta pengundi telah didaftarkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 dengan 1.3 juta pengundi berumur 18 hingga 20 tahun

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 24/07/2023 - Disunting : 24/07/2023

Petition to

Membandingkan Kumpulan Umur Pengundi Berdaftar Dan Ahli Parlimen PRU15

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), terdapat banyak pihak yang mendakwa bahawa perubahan tampuk pemerintahan disebabkan oleh majoriti golongan muda yang mengundi. Perkara ini sering kali dikaitkan dengan pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun.

Walaupun dijangkakan ketika itu bahawa seramai lebih 1.3 juta pengundi berusia antara 18 hingga 21 tahun akan mengundi pada PRU15, namun jumlah ini hanya sekitar 17% daripada 7.8 juta pengundi baru yang berdaftar. Tambahan pula menurut Malaysia Now, majoriti pengundi yang baru didaftar adalah berumur antara 21 hingga 50 tahun yang telah didaftarkan secara automatik.

 

Umur Pengundi Berdaftar Bagi PRU15

Berdasarkan data yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), majoriti pengundi berdaftar bagi PRU15 adalah mereka yang berusia 30-39 tahun, diikuti 20-29 tahun dan 40-49 tahun. Hanya 6.55% pengundi berdaftar yang berumur antara 18 hingga 20 tahun. Secara umumnya, terdapat lebih kurang 68% pengundi berdaftar berusia bawah 50 tahun. Selebihnya, 32% berusia lebih 50 tahun dengan hanya 7% berusia lebih 70 tahun.

 

Umur Calon dan Ahli Parlimen PRU15

Berdasarkan laporan oleh Institute for Research & Development of Policy (IRDP), satu pertiga daripada Ahli Parlimen PRU14 berumur lebih 60 tahun. Selain itu, seramai 62% Ahli Parlimen berumur 50 tahun ke atas. Hal ini bermakna, hanya sekitar 38% Ahli Parlimen yang dilantik dalam PRU14 berumur kurang daripada 50 tahun.

Pada PRU15 pula, 82.6% daripada 1,386 orang calon yang bertanding bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) berusia lebih 40 tahun, manakala selebihnya (17.4%) berusia kurang 40 tahun. Jumlah ini amat berbeza dengan jumlah pengundi berdaftar PRU15 yang mana lebih separuh daripada mereka berumur kurang 40 tahun.

Sumber: Suruhanjaya Pilihan Raya

Menurut SPR, majoriti calon yang bertanding pada PRU15 berumur 50 hingga 59 tahun, diikuti lebih 60 tahun, 40 hingga 49 tahun, dan 30 hingga 39 tahun. Hanya 36 (2.6%) calon yang berusia antara 21 hingga 29 tahun. 

Ini menjadikan 591 (42%) calon berumur kurang 50 tahun, manakala sebaliknya 795 (57%) berusia 50 tahun ke atas.

Ketika itu, tren umur Ahli Parlimen yang dilantik sedikit berubah dengan peningkatan jumlah mereka yang berumur kurang 50 tahun. Apabila dibandingkan dengan PRU14, jumlah Ahli Parlimen kurang 50 tahun meningkat dari 72 (32.4%) ke 84 (37.8%) bagi PRU15.

Sumber: The Star

Bagi yang berumur lebih 50 tahun, terdapat pengurangan sebanyak 9% daripada 150 (67.6%) ke 137 (62.2%). Sebagai tambahan, hanya 11 (4.95%) Ahli Parlimen PRU15 berumur kurang 35 tahun dengan 2 (0.9%) kurang 30 tahun. Kini, median umur Ahli Parlimen adalah 52.4 tahun.

 

Umur pengundi berdaftar tidak mencerminkan umur Ahli Parlimen yang dilantik

Apabila dibandingkan antara umur pengundi berdaftar dan umur Ahli Parlimen, boleh dikatakan bahawa terdapat perwakilan yang tidak sekata. Walaupun 68% pengundi berdaftar berumur 50 tahun ke bawah, kurang separuh (42%) daripada jumlah calon PRU15 yang ditandingkan berumur bawah 50 tahun. Malah, hanya seramai 84 (37.8%) Ahli Parlimen berumur kurang 50 tahun yang dilantik.

Sebaliknya, walaupun hanya terdapat 32% pengundi berdaftar berusia lebih 50 tahun, 57% ahli politik yang dicalonkan bagi PRU15 berusia 50 tahun ke atas. Kumpulan usia ini membentuk 62.2% daripada jumlah Ahli Parlimen ketika ini.

BACA JUGA: Jumlah Pengundi Dalam Daftar Pemilih Pilihan Raya Bagi Pilihan Raya Umum ke-15


Rujukan:

1. https://malaysiabersuara.com/artikel/jumlah-pengundi-dalam-daftar-pemilih-pilihan-raya-bagi-pilihan-raya-umum-ke-15/
2. https://www.malaysianow.com/my/news/2022/10/04/bukan-golongan-muda-bentuk-majoriti-besar-6-9-juta-pengundi-baru-pada-pru15
3. http://sprinfo.spr.gov.my/spr/MAKLUMAT%20ASAS/STATISTIK%20PRU%20KE_15%20UMUR%20BY_DUN.pdf
4. https://irdp.my/wp-content/uploads/2020/12/Analisis-Perbahasan-Parlimen-2018-2019-final.pdf
5. https://www.astroawani.com/berita-politik/pru15-826-peratus-calon-berusia-lebih-40-tahun-hanya-25-peratus-bawah-30-tahun-389954
6. https://www.thestar.com.my/news/nation/2022/12/02/interactive-a-look-at-our-slightly-younger-dewan-rakyat
7. https://www.therakyatpost.com/opinions/2023/07/21/malaysian-politicians-wanted-must-be-40-years-old-with-50-years-of-experience-opinion/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 10 months ago