Mengapa Malaysia Tidak Boleh Menghantar Bantuan Udara Kepada Gaza Seperti Jordan?

Mengapa Malaysia Tidak Boleh Menghantar Bantuan Udara Kepada Gaza Seperti Jordan?

Raja Jordan Raja Abdullah II mengumumkan kerajaannya telah menghantar bantuan udara kepada Gaza pada 6 November 2023

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 08/11/2023 - Disunting : 08/11/2023

Petition to

Mengapa Malaysia Tidak Boleh Menghantar Bantuan Udara Kepada Gaza Seperti Jordan?

Keadaan di Gaza semakin meruncing apabila serangan oleh tentera Israel berterusan selama sebulan. Mereka turut menyasarkan serangan roket terhadap bangunan-bangunan penting seperti hospital dan sekolah, serta kawasan tempat tinggal. Segala bantuan yang dihantar oleh negara-negara lain pula perlu melalui jalan darat di Rafah, Mesir yang boleh melewatkan penghantarannya.

Pada 6 November 2023, Tentera Udara Jordon dilaporkan melaksanakan misi menggugurkan bantuan perubatan dan farmaseutikal di Gaza melalui payung terjun (air-dropped) ke hospital medan Jordan. Perkara ini adalah menurut titah Raja Jordan Raja Abdullah II yang berkata membantu penduduk di Gaza yang tercedera menjadi kewajipan mereka. 

Sebelum itu, Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali, pernah mempersoalkan di Dewan Rakyat mengapa Malaysia tidak boleh menghantar bantuan kepada Gaza melalui laluan udara. Dia membandingkan situasi itu dengan pengalaman membantu mangsa bencana tsunami sebelum ini. Dalam masa yang sama, dia menyatakan bahawa persefahaman antarabangsa perlu bagi membolehkan bantuan udara tersebut tiba di Gaza. 

Sehubungan dengan itu, orang ramai turut mempersoalkan mengapa Malaysia tidak boleh menghantar bantuan udara kepada Gaza. Hantaran kali ini diharap dapat menjawab persoalan tersebut. 

 

Hubungan Diplomatik Jordan-Israel

Rancangan pemberian bantuan udara oleh Jordan telah mendapat kebenaran dari pihak tentera Israel. Dalam satu kenyataan, tentera Israel berkata ia telah menjalankan koordinasi dengan pihak Jordan untuk menghantar bantuan perubatan melalui payung terjun (airdrop) kepada hospital Jordan di Gaza.

Perkara ini boleh terjadi kerana hubungan diplomatik yang wujud antara kedua-dua pihak tersebut. Perjanjian damai antara Jordon dan Israel telah ditandatangani pada Oktober 1994. Ia berlaku setelah pertemuan antara Raja Hussein dan Perdana Menteri Yitzhak Rabin di Washington, Amerika Syarikat, tiga bulan sebelum itu yang mengisytiharkan mereka ingin menghentikan perang antara kedua-dua pihak. Melalui perjanjian ini, hubungan diplomatik antara Jordan dan Israel terbentuk dan kekal hingga sekarang.

Berbeza dengan Jordan, Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Israel kerana tidak mengiktiraf pendudukan haram itu. Malah, pasport Malaysia tidak boleh digunakan bagi memasuki Israel dan penduduk Israel tidak dibenarkan untuk ke Malaysia tanpa kebenaran khas dari Kementerian Dalam Negeri (KDN).

 

Israel Mengawal Ruang Udara Gaza

Mungkin ada yang mempersoalkan mengapa keizinan Israel perlu didapatkan bagi menghantar bantuan kepada Gaza secara udara. Walaupun Semenanjung Gaza kini ditadbir oleh pihak berkuasa Palestin, namun sebenarnya pihak Israel yang mengawal ruang udara di Gaza.

Pelan pengunduran tentera Israel dari Gaza pada tahun 2005 menetapkan bahawa hanya Israel mempunyai hak terhadap ruang udara Gaza dan akan meneruskan aktiviti ketenteraannya di kawasan perairan wilayah itu. Oleh sebab ini, pihak berkuasa Palestin tidak boleh membuka dan mengawal selia lapangan kapal terbang dan pelabuhan sendiri.

Perkara ini mengekang kebebasan pergerakan dari dan ke Gaza serta mengurangkan kebolehan Gaza untuk menjalankan perdagangan antarabangsa.

Selain itu, kawalan ke atas ruang udara Gaza membolehkan Israel untuk memperhatikan situasi di darat serta mengganggu siaran radio dan televisyen. Pesawat tentera dan risikan Israel akan melalui ruang udara Gaza setiap hari untuk melakukan perkara ini.

Kawalan oleh Israel ke atas ruang udara Gaza telah berlaku sejak ‘Oslo Accord’ ditandatangani yang memberikan kawalan penuh kepada Israel. Ketika itu, Palestin masih boleh membina lapangan kapal terbangnya sendiri. Lapangan Terbang Antarabangsa Gaza telah beroperasi bermula tahun 1998 dan menyediakan penerbangan ke beberapa negara Arab. 

Namun begitu, setelah tercetusnya intifada kedua pada 8 Oktober 2000, pihak Israel telah menutup lapangan terbang tersebut. Sejak itu sehingga pelan pengunduran pada tahun 2005, lapangan terbang tersebut menjadi pangkalan tentera Israel. 

Setelah pihak Israel mengundurkan diri dari Gaza, lapangan terbang tersebut telah dirosakkan dan walaupun pihak Israel berkata akan membukanya semula, perkara itu tidak terjadi sehingga sekarang.

 

Penghantaran Bantuan Melalui Darat

Sebagai tambahan, negara yang tidak mempunyai hubungan dengan Israel masih boleh menghantar bantuan iaitu dengan melalui lintasan Rafah yang menghubungkan Mesir dengan Gaza. 

Malaysia juga tidak terkecuali daripada memberi sumbangan kepada Gaza. Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Mesir membolehkan bantuan tersebut dihantar melalui negara itu. Pada 4 November 2023, bantuan kemanusiaan dari Malaysia telah tiba di Lapangan Terbang Tentera El-Arish, Mesir, menjadikan ia antara pesawat paling awal tiba di sana. 

Pengarah rantaian bekalan Plan International, Cecile Terraz, berkata lintasan Rafah merupakan satu-satunya laluan dari Gaza yang tidak dikawal oleh pihak Israel dan penting untuk menghubungkan Gaza dengan seluruh dunia.

 

Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel untuk membolehkan bantuan udara dihantar ke Gaza

Walaupun bantuan udara secara teorinya kelihatan mudah untuk dilakukan dan dapat mempercepatkan penghantaran bantuan kepada pihak yang memerlukannya, namun terdapat aspek teknikal yang perlu difahami. 

Jordan yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dapat menjalin kerjasama bagi menghantar bantuan udara kepada Gaza yang terletak di bawah ruang udara dikawal Israel. Harus diingat bahawa untuk memasuki mana-mana ruang udara, pesawat perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada pihak yang mengawal ruang tersebut. 

Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sebelum ini sehingga 500 lori yang membawa bantuan telah tiba di Gaza setiap hari. Penghantaran tersebut telah dihentikan selepas serangan balas terhadap Israel pada 7 Oktober, tetapi dijalankan semula sejak 21 Oktober lalu. Walau bagaimanapun, jumlah lori yang dibenarkan memasuki di Gaza tidak mencukupi. 

PBB berkata sekurang-kurangnya 100 lori bantuan diperlukan sehari bagi bantuan makanan, minuman, perubatan dan petrol yang mencukupi. Setakat 7 November 2023, hanya 569 trak bantuan tiba di Gaza sejak 21 Oktober lalu.


Rujukan:

1. https://www.astroawani.com/berita-dunia/tentera-udara-jordan-gugurkan-bantuan-perubatan-di-semenanjung-gaza-444849
2. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/bantuan-kemanusiaan-gaza-tiadakah-cara-untuk-hantar-bantuan-melalui-udara-soal-dr-halimah-444279
3. https://www.channelnewsasia.com/world/israel-hamas-war-urgent-medical-aid-airdropped-gaza-jordan-air-force-king-says-3899421
4. https://www.jewishvirtuallibrary.org/overview-of-israel-jordan-cooperation
5. https://www.btselem.org/gaza_strip/control_on_air_space_and_territorial_waters
6. https://selangorkini.my/2023/11/hubungan-baik-malaysia-mesir-permudah-penghantaran-bantuan-kemanusiaan-ke-palestin/
7. https://plan-international.org/case-studies/how-aid-being-delivered-gaza/
8. https://skybrary.aero/articles/entering-controlled-airspace
9. https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2023/11/1174290/118-trak-bantuan-masuk-ke-gaza-melalui-lintasan-rafah

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 6 months ago