Pembahagian Harta Pusaka Mengikut Hukum Faraid

Pembahagian Harta Pusaka Mengikut Hukum Faraid

Harta pusaka seorang Islam yang telah meninggal dunia akan diagihkan mengikut hukum faraid

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 03/03/2023 - Disunting : 03/03/2023

Petition to

Pembahagian Harta Pusaka Mengikut Hukum Faraid

Faraid adalah sebuah hukum di dalam Islam bagi pembahagian harta seorang Islam yang telah meninggal dunia. Harta yang boleh dibahagikan secara faraid termasuk wang tunai dan insurans, tanah, bangunan seperti rumah, barang kemas dan binatang ternakan. Harta milik si mati akan dibahagikan dengan waris setelah ditolak bayaran pengurusan jenazah, hutang si mati dan wasiat yang dibenarkan iaitu tidak lebih daripada ⅓ jumlah harta. 

Seseorang yang boleh menerima harta pusaka secara faraid adalah individu yang mempunyai pertalian darah atau perkahwinan dengan si mati dan beragama Islam. Waris utama yang layak menerima harta pusaka menurut hukum faraid adalah suami atau isteri, ibu bapa dan anak-anak si mati. Menurut Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), golongan waris yang berhak atau tidak mendapat harta pusaka boleh ditentukan berdasarkan dua kategori iaitu ashab al-Furud dan asabah

 

Ashab al-Furud

Ashab al-Furud adalah golongan teratas yang diutamakan dalam pembahagian harta berbanding golongan asabah. Golongan in telah disebut di dalam surah al-Nisa’ ayat 11 dan ayat 12. Secara ringkasnya, waris ashab al-Furud akan menerima harta pusaka menurut kadar yang ditetapkan oleh hukum syarak iaitu sama ada ½, ⅓, ¼, ⅔, ⅙ atau ⅛ daripada jumlah harta, atau ⅓ daripada baki harta selepas diwariskan.

Terdapat 12 ahli keluarga yang tergolong di bawah ashab al-Furud dan boleh dibahagikan kepada tiga iaitu waris utama (suami atau isteri, ibu, bapa dan anak perempuan), waris gantian (datuk, nenek dan anak perempuan kepada anak lelaki) serta waris sisian (adik-beradik perempuan seibu sebapa, seibu atau sebapa dan adik beradik lelaki seibu). Kadar bahagian bagi setiap waris ashab al-Furud boleh dilihat melalui laman web MAIS.

 

Asabah

Golongan asabah adalah waris yang tidak mendapat bahagian secara fardu. Waris ashab al-Furud boleh berubah menjadi waris asabah berdasarkan kewujudan waris lain. Waris asabah boleh menerima semua bahagian harta pusaka, menerima baki setelah bahagian waris fardu diselesaikan atau tidak mendapat bahagian langsung kerana telah diberikan semua kepada waris fardu. Golongan asabah boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu asabah bi al-Nafsi, asabah bi al-Ghairi dan asabah Ma’a al-GhairiI.

 

i) Asabah Bi al-Nafsi (lebihan dengan diri sendiri)

Ia merujuk kepada asabah dengan diri sendiri dan tidak menjadi asabah kerana waris lain. Waris asabah Bi al-Nafsi merangkumi semua waris lelaki kecuali suami dan adik-beradik lelaki seibu. Namun begitu, waris yang lebih jauh akan terdinding, iaitu tidak mendapat sebarang harta, sekiranya terdapat ramai waris lain yang paling hampir dengan pewaris. 

Keutamaan pembahagian harta akan mengikut kumpulan hubungan susur galur seperti dalam jadual di bawah. Jika terdapat lebih daripada seorang waris daripada kumpulan yang sama, keutamaan diberikan mengikut kedudukan yang paling hampir dengan pewaris. Sebagai contoh, cucu lelaki kepada anak lelaki yang masih hidup tidak akan menerima sebarang harta pusaka.

Sumber: MYKMU.NET

 

ii) Asabah Bi al-Ghairi (lebihan dengan waris lain)

Ini adalah asabah yang terjadi bersama waris lain apabila pewaris meninggalkan waris lelaki dan waris perempuan yang sama darjatnya (seperti anak lelaki dan anak perempuan). Dalam hal ini, bahagian waris lelaki adalah dua kali ganda daripada bahagian waris perempuan. Terdapat 4 golongan yang termasuk sebagai waris asabah Bi al-Ghairi iaitu anak, cucu, adik beradik seibu sebapa dan adik-beradik sebapa.

Sebagai contoh, anak perempuan yang tidak mempunyai adik-beradik lelaki boleh mendapat ½ bahagian (⅔ jika lebih dari seorang anak perempuan) harta pusaka. Akan tetapi, jika pewaris mempunyai anak lelaki dan anak perempuan, pembahagian harta akan menjadi 2 bahagian anak lelaki bagi setiap bahagian anak perempuan.

 

iii) Asabah Ma’a al-Ghairi (lebihan beserta waris lain)

Asabah yang terakhir adalah yang berkait dengan waris perempuan iaitu adik beradik perempuan seibu sebapa atau sebapa. Mereka menjadi asabah sekiranya pewaris meninggalkan anak perempuan atau cucu perempuan, tetapi dengan syarat tiada  adik-beradik lelaki seibu sebapa atau sebapa yang menjadikan mereka asabah.

Dalam situasi ini, anak perempuan tetap akan mendapat bahagian fardu ½ (⅔ jika lebih seorang), cucu perempuan kepada anak lelaki mendapat 1/6, dan adik-beradik perempuan mendapat bakinya.

 

Dhawi al-Arham

Selain daripada kedua golongan di atas, terdapat juga golongan yang digelar dhawi al-Arham. Ini adalah waris yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan si mati selain daripada waris fardu dan waris asabah. Terdapat dua pendapat berkenaan golongan ini. Ada ulama yang menyatakan mereka berhak mewarisi harta si mati sekiranya tiada waris asabah yang akan menghabiskan harta pusaka. Sebaliknya, terdapat pendapat mereka tidak berhak mewarisi harta pusaka dan sekiranya terdapat lebihan harta setelah diberikan kepada waris-waris, bakinya akan diserahkan ke Baitulmal. 

 

Pengagihan harta pusaka secara muafakat

Menurut Peguam Roslina Sabiyah, harta seorang Islam yang telah meninggal dunia akan menjadi harta pusaka dan tertakluk kepada hukum faraid. Walaupun begitu, waris-waris yang berhak mendapat harta pusaka menurut hukum faraid boleh memilih untuk membahagikan harta secara muafakat melalui proses takharruj.

Dalil mengenai takharruj ada disebut di dalam Surah al-Nisa’ ayat 128:

فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَنْ يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا ۚ وَالصُّلْحُ خَيْرٌ

Maksudnya: “Maka tiadalah salah bagi mereka membuat perdamaian (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik.”

Takharruj bermakna waris-waris melepaskan hak faraid secara sebahagian atau sepenuhnya. Ia mesti dipersetujui oleh semua waris yang layak dan setelah diberitahu dahulu berapa bahagian faraid mereka yang sebenar sebelum melepaskan hak mereka. Sekiranya walaupun seorang waris tidak setuju, harta pusaka perlu dibahagikan secara faraid bagi waris tersebut. 

 

Pendindingan harta pusaka

Pada masa yang sama, penting untuk memahami konsep hijab atau pendindingan apabila berbincang tentang faraid. Ia adalah keadaan di mana waris tertentu akan terhijab atau tidak mendapat harta pusaka tersebut. Terdapat dua kategori hijab iaitu hijab nuqsan dan hijab hirman. 

Salah satu contoh situasi hijab adalah apabila suami yang pada mulanya layak mendapat ½ bahagian harta pusaka isteri cuma mendapat ¼ bahagian sekiranya pewaris mempunyai anak. Perkara ini menunjukkan bahawa kewujudan anak telah mendindingkan sebahagian daripada harta pusaka yang suami layak terima.

Kewujudan anak lelaki juga akan menjadi asabah Bi al-Nafsi, di mana ia akan menghabiskan baki harta pusaka. Hal ini menyebabkan adik-beradik pewaris tidak layak menerima sebarang harta pusaka secara faraid. 

 

Harta pusaka seorang Islam wajib dibahagikan mengikut hukum faraid

Hukum faraid wajib dijalankan dalam membahagikan harta pusaka seorang Islam yang telah meninggal dunia. Setiap waris yang berhak ke atas harta pusaka tersebut wajib diberikan kadar yang ditetapkan mengikut hukum faraid, kecuali jika telah bermuafakat. Haram bagi ahli keluarga atau individu lain yang mengambil bahagian waris dan berdosa melakukan sedemikian.

Bagi anak berumur bawah 18 tahun, harta pusaka tetap akan menjadi miliknya tetapi akan ditadbir oleh bapanya. Sekiranya harta pusaka diterima daripada bapanya, datuk sebelah bapa akan mentadbir harta tersebut. Namun begitu, jika kedua-dua bapa dan datuk sudah tiada, pentadbir harta akan jatuh kepada seorang wasi yang diwasiatkan oleh bapanya. Ibu tidak berhak menjadi pentadbir kepada harta anak-anaknya sekiranya tidak diwasiatkan oleh bapa.


Rujukan:

1. http://kelantan.jksm.gov.my/jksn/index.php/component/content/article/21-joomla/components/215-faraid?Itemid=951
2. https://as-salihin.com/mengapa-anda-perlukan-wasiat-sedangkan-ada-hukum-faraid/
3. https://www.mais.gov.my/harta-pusaka/4/
4. https://www.majalahlabur.com/kewangan/ilmu-perancangan-harta/apa-itu-ashabul-furud-dan-pembahagiannya/
5. https://e-muamalat.islam.gov.my/en/bahan-ilmiah/kertas-ilmiah/404-ahli-waris-ashab-al-furud-dalam-pusaka-islam
6. https://efaraid.mais.gov.my/waris-fardu/
7. https://efaraid.mais.gov.my/waris-asobah/
8. https://mykmu.net/2021/05/22/waris-asabah-dalam-faraid/
9. https://efaraid.mais.gov.my/pendindingan/
10. https://www.majalahpama.my/jika-si-mati-ada-anak-lelaki-adik-beradik-si-mati-tiada-hak-atas-harta-faraid/
11. https://www.majalahlabur.com/kewangan/ilmu-perancangan-harta/siapa-akan-jadi-pentadbir-harta-bagi-anak-bawah-umur-18-tahun/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago