Perbezaan Antara Sabun Pencuci Baju Cecair dan Serbuk

Perbezaan Antara Sabun Pencuci Baju Cecair dan Serbuk

Terdapat pelbagai bentuk sabun pencuci baju yang boleh didapati di pasaran

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 22/02/2023 - Disunting : 22/02/2023

Petition to

Perbezaan Antara Sabun Pencuci Baju Cecair dan Serbuk

Pelbagai bentuk sabun pencuci pakaian yang terdapat di pasaran seperti cecair, serbuk, buku, kapsul dan manik. Namun begitu, ramai yang lebih memilih untuk menggunakan sabun pencuci baju jenis cecair atau serbuk. Mungkin ada yang tertanya-tanya apakah perbezaan antara kedua jenis sabun pencuci baju ini dan yang manakah yang paling bagus untuk digunakan. Hantaran kali ini akan meneliti kedua-dua jenis sabun pencuci baju.

 

Serbuk pencuci baju 

Seperti umum sedia maklum, serbuk pencuci baju adalah pilihan yang lebih murah daripada cecair pencuci baju. Ia adalah sabun pencuci jenis surfaktan dan mengandungi alkilbenzena sulfonat yang berkesan dalam menghilangkan kotoran degil seperti tanah, lumpur serta rumput. Serbuk pencuci baju juga lebih stabil dan tahan lama berbanding pencuci lain. 

Walau bagaimanapun, sesetengah serbuk pencuci baju sukar larut di dalam air sejuk dan lebih elok digunakan dengan air panas. Ia juga boleh digunakan untuk mencuci kesan di baju, tetapi perlu dilarutkan menjadi pes terlebih dahulu. Di samping itu, serbuk pencuci baju perlu dikekalkan dalam keadaan kering kerana air boleh menyebabkan ia bergumpal. 

Menurut Mary Gagliardi, saintis di Clorox, serbuk pencuci baju sesuai digunakan terhadap pakaian yang terlebih kotor kerana ia mempunyai tahap pH yang lebih tinggi. 

 

Secara ringkasnya, serbuk pencuci baju mempunyai kebaikan seperti berikut

  • Kurang bersepah 
  • Lebih murah
  • Tahan lama
  • Bungkusan lebih mesra alam
  • Sesuai untuk pakaian yang sangat kotor, seperti baju sukan

 

Apabila menggunakan serbuk pencuci baju, penting untuk menggunakan ukuran yang betul. Hal ini adalah kerana penggunaan yang berlebihan boleh menyebabkan ia sukar melarut dan akan melekat pada pakaian

 

Cecair pencuci baju

Kebanyakan cecair pencuci baju mengandungi bahan alkohol etoksilat yang berkesan dalam menghilangkan kotoran berminyak. Tidak seperti serbuk pencuci, pencuci baju dalam bentuk cecair boleh digunakan dengan air sejuk mahupun panas. 

 

Antara kebaikan cecair pencuci baju adalah:

  • Tidak meninggalkan kesan pada pakaian
  • Lebih mudah larut
  • Boleh digunakan untuk rawatan setempat
  • Bagus untuk menghilangkan kesan minyak
  • Boleh digunakan untuk mencuci guna tangan

 

Gagliardi berkata cecair pencuci baju adalah pilihan yang lebih baik sekiranya pengguna tidak menggunakan air panas atau suam untuk membasuh pakaian, sama ada atas sebab penjimatan elektrik atau mencuci pakaian yang hanya boleh dibasuh menggunakan air sejuk. Seperti serbuk pencuci baju, cecair pencuci baju juga perlu digunakan berdasarkan ukuran yang ditetapkan. Jika terlalu banyak cecair digunakan, ia boleh menjadi kotoran di dalam mesin basuh dan mengeluarkan bau yang kurang enak. 

Cecair pencuci baju lebih bagus digunakan untuk pencucian awal atau pra-rawatan (pre-treatment) berbanding serbuk pencuci. Menurut Jessica Zinna, saintis senior di Tide, kesan kotor hanya perlu dicuci menggunakan air sebelum ditambah cecair pencuci dan digosok untuk memastikan pencuci serap ke dalam pakaian. 

 

Kedua-dua serbuk dan cecair pencuci baju mempunyai kelebihan masing-masing

Jelas bahawa kedua-dua bentuk pencuci baju itu berkesan dalam membersihkan pakaian serta mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Oleh itu, pilihan harus dibuat berdasarkan keperluan dan situasi membasuh pakaian. Lebih bagus jika kita mempunyai bekalan kedua-dua bentuk pencuci baju untuk memudahkan kita.

Sebagai tambahan, teknologi wangian dan pembersihan sabun pencuci tidak bercampur. Kerana itulah sesetengah pencuci pakaian akan menghasilkan bau yang amat wangi tetapi berasa kurang bersih, dan setengah yang lain membersihkan pakaian dengan sempurna tetapi berbau kurang wangi. 


Rujukan:

1. https://www.tasteofhome.com/article/liquid-vs-powder-detergent-which-is-better-to-use
2. https://www.rd.com/article/liquid-vs-powder-detergent/
3. https://www.mstar.com.my/xpose/i-suke/2020/12/29/nak-pilih-yang-mana-bahan-pencuci-serbuk-atau-cecair-ada-beza-ke
4. https://www.facebook.com/nurulscafe.laundry/posts/pencuci-serbuk-atau-pencuci-cecair-mana-satu-lagi-bagusharini-admin-nak-cakap-pa/1886651494890079/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago