Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat

Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat

Tujuan Recall Election adalah untuk memecat wakil rakyat yang dilantik

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 04/11/2022 - Disunting : 04/11/2022

Petition to

Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat

Salah satu isu yang dibangkitkan semasa penggubalan undang-undang anti lompat parti adalah Recall Election, iaitu pilihan raya untuk memecat atau menarik balik mandat yang diberikan kepada seseorang wakil rakyat. Di dalam Kertas Kajian Awal Undang-undang Lompat Parti, tiga mekanisme untuk mengekang lompat parti telah disenaraikan yang merangkumi Rang Undang-undang (RUU) Pemecatan Ahli Dewan Rakyat. 

 

Kepentingan Recall Election

Salah seorang penyokong utama Recall Election adalah Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, yang mempercayai bahawa ia boleh digunakan sebagai salah satu mekanisme untuk menghalang wakil rakyat melompat parti. Recall Election juga mengembalikan hak kepada rakyat untuk sama ada memilih wakil rakyat baru atau mengekalkan wakil rakyat yang melompat parti. 

Turut menyokong cadangan Azalina adalah Wong Chin Huat, pengkaji politik dari Sunway University, yang merasakan Recall Election sebagai kaedah terbaik untuk menutup kelemahan undang-undang lompat parti, seperti apabila sesebuah parti hendak memecat ahlinya yang merupakan seorang wakil rakyat. Pemecatan tersebut akan menyebabkan parti kehilangan satu kerusi Parlimen kerana wakil rakyat masih memegang kerusi tersebut atas alasan tidak lompat parti tetapi dipecat. 

Menurut perkongsian oleh Chin Huat, ahli-ahli Langkah Sheraton boleh dihukum  jika Malaysia mempraktikkan Recall Election pada masa itu. Undang-undang anti lompat parti cuma akan menghukum wakil rakyat, tetapi Recall Election boleh bertindak terhadap sebuah parti secara keseluruhan, seperti Bersatu yang keluar daripada parti gabungan Pakatan Harapan dan mewujudkan Perikatan Nasional. Seterusnya, Pilihan Raya Kecil (PRK) boleh diadakan untuk memilih semula wakil rakyat di kerusi-kerusi terlibat sekiranya pemilih mahukan sebuah Recall Election

Recall Election bukan sahaja terpakai dalam situasi wakil rakyat lompat parti, tetapi juga sebagai jaminan terhadap hak rakyat untuk mendapatkan wakil rakyat yang berprestasi dan berkualiti. Pengerusi Bersih, Thomas Fann, berkata ia boleh bertindak sebagai sebuah mekanisme bagi pemilih untuk meminta pilihan raya pada pertengahan penggal bagi mengeluarkan wakil rakyat yang dipilih sekiranya khidmatnya tidak memuaskan. 

 

Menjalankan Recall Election

Recall Election boleh diadakan dalam situasi seorang ahli Parlimen dipecat oleh partinya atau jika sesebuah parti ingin keluar dari sesuatu parti gabungan. Melalui cadangan Azalina, sebuah PRK untuk memilih wakil rakyat baru boleh dijalankan jika 40% pemilih di sesebuah konstituen pilihan raya menandatangani petisyen bagi sebuah Recall Election.

Terdapat tiga bahagian di dalam RUU Recall Election yang dicadangkan. Pertama, sebuah kempen tandatangan dalam kalangan pemilih berdaftar di sesebuah kawasan akan dijalankan. Apabila bilangan tandatangan melepasi tahap minimum, sebuah referendum akan diadakan untuk menentukan sama ada rakyat mahu memecat wakil rakyat sedia ada atau tidak. Jika kedua-duanya menunjukkan tindak balas positif daripada rakyat, sebuah PRK akan dijalankan untuk memilih wakil rakyat yang baru.

Pada masa yang sama, harus diingat bahawa pelaksanaan Recall Election boleh melibatkan jumlah kos tinggi terutamanya bagi proses PRK dan lantikan semula wakil rakyat. Undang-undang berkaitan pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya perlu dipinda untuk melaksanakan Recall Election.

 

Mewujudkan Recall Election

Kewujudan Recall Election yang memberi semula kuasa memilih kepada rakyat berbanding kepada parti politik dilihat sebagai satu langkah progresif dalam membina negara yang lebih demokratik. PRK boleh diadakan di kawasan-kawasan di mana wakil rakyatnya telah melompat parti, ataupun tidak menjalankan khidmat yang memuaskan bagi penduduk setempat. Namun begitu, Recall Election juga boleh menjadi kesempatan bagi kumpulan dengan niat buruk untuk memecat wakil rakyat yang tidak digemari atas sebarang tujuan yang mungkin tidak berkaitan dengan prestasi kerja atau melakukan lompat parti. 

 


Rujukan:

1. https://www.sinarharian.com.my/article/158327/berita/nasional/perkenal-pilihan-raya-pecat-wakil-rakyat-lompat-parti
2. https://www.bheuu.gov.my/pdf/RUUPerlembagaan/KERTAS%20KAJIAN%20AWAL%20UNDANG-UNDANG%20LOMPAT%20PARTI.pdf
3. htts://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2022/08/11/recall-elections-seen-as-best-way-to-plug-loopholes-in-anti-hopping-law/
4. https://malaysia.news.yahoo.com/why-recall-elections-could-better-020152621.html

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago