Adakah Air Paip Di Malaysia Boleh Dan Selamat Diminum?

Benar
Adakah Air Paip Di Malaysia Boleh Dan Selamat Diminum?

Terdapat individu yang berasa tidak selamat meminum air paip walaupun setelah dimasak

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 17/05/2023 - Disunting : 17/05/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Air Paip Di Malaysia Boleh Dan Selamat Diminum?

Rata-rata mereka yang menetap di Malaysia memasak air paip untuk dijadikan air minuman. Namun begitu, terdapat juga individu yang tidak berani menggunakan air paip sebagai sumber minuman dan hanya membeli air mineral atau air minuman dalam botol. Selain itu, penapis air turut digunakan untuk menapis air paip sebelum diminum. 

Mungkin terdapat pertanyaan sama ada air paip di Malaysia boleh diminum ataupun tidak. Jika ia boleh diminum, adakah ia perlu dimasak atau ditapis terlebih dahulu atau boleh diminum terus dari paip? 

Sebuah undian dalam talian yang mengajukan persoalan ini telah dilakukan pada 19 Oktober 2018. Daripada undian ini, 88.7% responden tidak bersetuju bahawa air paip selamat diminum. Hantaran kali ini akan menyemak berkenaan perkara ini.

 

Sumber air di Malaysia

Pada 20 Oktober 2018, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah mengumumkan bahawa sumber air di Malaysia bebas daripada bakteri E.coli dan selamat untuk diminum berdasarkan analisis oleh program Kawalan Kualiti Air Kebangsaan.  

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkenalkan Program Kebangsaan Kawalan Mutu Air Minum (PKKMAM) sejak 1983 untuk memantau kualiti air yang dibekalkan oleh pengendali sumber air. Menurut ketua pegawai eksekutif SPAN, Datuk Mohd Ridhuan Ismail, air yang disalurkan kepada orang awam mematuhi piawai kualiti minimum yang ditetapkan oleh KKM berdasarkan Garis Panduan Kualiti Air oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia. 

Datuk Mohd Ridhuan berkata E.coli adalah salah satu daripada pelbagai parameter mikrobiologi yang dianalisa secara berterusan oleh pengendali sumber air dan KKM. Pengendali perlu memastikan terdapat sekurang-kurangnya 0.2mg/l sisa klorin selepas air dirawat yang akan membunuh bakteria E.coli sekiranya pencemaran berlaku dan menjadikan air selamat diminum.

Ketika proses rawatan air, mendapan yang terdapat dalam sumber air akan diasingkan dan klorin ditambah untuk membunuh bakteria. Oleh itu, secara umumnya, air paip selamat untuk terus diminum. Pada masa yang sama, sistem perpaipan yang mengandungi karat atau unsur-unsur lain mungkin menjadikan air paip tidak enak diminum, terutamanya air yang disimpan dalam takungan. 

 

Loji rawatan air 

Air yang diambil daripada sumber asal akan diproses di loji rawatan air terlebih dahulu sebelum disalurkan kepada pengguna. Setakat tahun 2017, Malaysia mempunyai sejumlah 509 buah loji rawatan air. Dengan adanya 509 buah loji rawatan tersebut, Malaysia mampu menghasilkan air bersih sebanyak 16,881 Juta Liter Sehari (JLH) dengan rezab margin sebanyak 14.3%.

Proses rawatan air sebenarnya berada di bawah bidang kuasa pengendali sumber air di sesuatu kawasan. Setiap negeri mempunyai pengendali sumber air sendiri seperti Syarikat Air Darul Aman, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan Air Kelantan Sdn Bhd. Oleh itu, kualiti dan kebersihan air tertakluk kepada rawatan yang diterima di sesuatu kawasan. 

Loji Rawatan Air Semenyih 2 di bawah Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd. Kredit gambar: Air Selangor/ Facebook

Pengerusi Malaysian Water Engineers Action Committee (MyWAC), Ishak Hasnan, berkata kebanyakan loji rawatan air mempunyai kemampuan yang terhad. Hal ini bermakna, loji rawatan hanya mampu merawat kekeruhan kurang 1,000 Nephelometric Turbidity Unit (NTU) dan amonia kurang 1.5 ppm (bahagian per sejuta). Kekeruhan lebih daripada ini akan menyebabkan loji perlu ditutup.

Di samping itu, kebersihan air yang dirawat di loji menggunakan sumber air daripada sungai bergantung kepada tahap pencemaran sungai tersebut. Jika sungai dicemari bahan kimia atau tumpahan minyak, loji tak dapat merawatnya dan perlu ditutup kerana telah berlaku pencemaran loji. 

Oleh yang demikian, jika sesuatu kawasan mempunyai tahap pencemaran yang lebih tinggi, air mungkin tidak menjadi bersih walaupun setelah dirawat. Malah, air paip juga boleh menjadi kotor jika paip dalam premis telah usang dan tangki simpanan air kotor. 

 

Memasak air paip

Bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar telah memberi jaminan bahawa air paip di negara ini selamat untuk terus diminum. Walaupun begitu, Timbalan Menteri Kesihatan ketika itu, Dr Lee Boon Chye mencadangkan supaya air paip dimasak terlebih dahulu sebelum diminum. 

Perkara ini adalah kerana walaupun air paip telah diproses, saluran air paip yang menyambungkan loji rawatan dan tempat tinggal mungkin telah lama dan berkarat. Dr Lee berkata air yang diproses di loji rawatan boleh terus diminum, tetapi apabila telah disalurkan berpuluh kilometer jauhnya, ia mungkin menjadi kurang bersih. 

 

Air paip selamat untuk diminum

Berdasarkan kenyataan oleh SPAD dan Dr Xavier, air paip di Malaysia secara umumnya selamat untuk diminum. Namun begitu, disarankan supaya air paip dimasak terlebih dahulu untuk menjamin kebersihannya. Pada masa yang sama, tahap kebersihan sumber air berbeza di setiap kawasan dan bergantung kepada pengendali sumber air. 

Diana Abdullah yang pernah menetap di New York, Amerika Syarikat, berkata bahawa walaupun paip rumahnya di Kuala Lumpur menggunakan sistem penapis air, kualiti air paip di sini tidak sejajar dengan kualiti air paip di New York. 


Rujukan:

1. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/10/488424/ramai-tidak-setuju-minum-air-terus-dari-paip
2. https://www.malaymail.com/news/malaysia/2018/10/20/malaysias-water-safe-to-drink-straight-from-tap-says-span/1684932
3. https://www.hmetro.com.my/utama/2018/10/387953/air-paip-bebas-e-coli-span
4. https://www.compeer.my/is-tap-water-safe-to-drink/
5. https://www.nrecc.gov.my//parlimen/Lists/papar-Jawapan-Parlimen.aspx?ID=%20%20%20%201815
6. https://selangorkini.my/2020/02/industri-air-di-malaysia-jauh-ketinggalan/
7. https://www.facebook.com/airselangor/photos/tahukah-anda-bahawa-antara-sebab-sebab-mengapa-air-menjadi-kotor-sebegini-adalah/1647935711903671/
8. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/air-paip-perlu-dimasak-sebelum-diminum-dr-lee-188839
9. https://www.thestar.com.my/news/nation/2022/06/11/imagine-drinking-water-straight-from-the-tap

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 12 months ago