Adakah Bandar-bandar di Malaysia Berisiko Tenggelam Pada Tahun 2050?

Benar
Adakah Bandar-bandar di Malaysia Berisiko Tenggelam Pada Tahun 2050?

Dunia sedang menghadapi peningkatan paras air laut yang boleh memberi kesan terhadap bandar-bandar di serata dunia

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 10/08/2022 - Disunting : 10/08/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Bandar-bandar di Malaysia Berisiko Tenggelam Pada Tahun 2050?

Pada hujung tahun 2021, Malaysia telah dikejutkan dengan banjir seratus tahun yang telah mengakibatkan banjir di hampir seluruh Semenajung Malaysia. Akibat daripada banjir itu, lebih 50 orang menjadi mangsa korban dan Malaysia mengalami kerugian sehingga RM6.5 billion. Pada tahun 2019, The Rakyat Post pernah mengeluarkan sebuah hantaran bertajuk ‘9 Malaysian Cities Will Be Underwater By 2050 Due To Rising Sea Levels’ berdasarkan sebuah hantaran Twitter oleh institusi kajian Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS). 

National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) melaporkan bahawa paras air laut dunia mencecah paras tertinggi pada tahun 2020, iaitu 91.3 mm lebih tinggi berbanding paras pada 1993. Paras air laut telah meningkat sebanyak 21 cm hingga 24 cm sejak 1880. Data oleh National Geographic menunjukkan bahawa air laut dunia meningkat sebanyak 1.8 mm setiap tahun. Di Malaysia, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) melaporkan peningkatan paras air laut sebanyak 2.73 mm sehingga 7.0 mm setahun bagi tahun 1993 hingga 2010. 

 

Peningkatan paras air laut di Malaysia

Cent-GPS berkongsi sebuah kajian yang menggunakan model CoastalDEM, atau Coastal Digital Elevation Models, untuk melihat kesan peningkatan paras air laut di Malaysia. Mereka mendapati hampir semua negeri-negeri di Malaysia akan terkesan dengan peningkatan paras air laut. Pada tahun 2050, dianggarkan bahawa Alor Setar akan menjadi sebuah pulau, Port Klang tenggelam sepenuhnya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan berada di sebelah pantai. 

NAHRIM walau bagaimanapun telah menafikan kajian oleh CentGPS tersebut. Di dalam sebuah kenyataan media pada 10 November 2019 menerusi Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS), NAHRIM berkata bahawa dapatan kajian mengenai kesan kenaikan air laut tersebut adalah sebuah anggaran yang berlebihan, atau overestimation. Kaedah analisa yang digunakan hanya sesuai untuk penilaian global dan tidak menggambarkan keadaan banjir di pesisiran pantai Malaysia.

Kajian itu menggabungkan data bagi peningkatan paras air laut dan kejadian banjir di tanah tinggi. Ia juga menggunakan model topografi statik yang tidak mengambil kira faktor-faktor lain seperti perlindungan pinggir laut dan pelan mitigasi banjir sedia ada serta yang bakal dijalankan. Kerajaan cakna tentang kesan peningkatan paras air laut dan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah membina bangunan perlindungan pinggir laut sejak 1986. JPS juga turut menyediakan sebuah Peta Bahaya Hakisan.

Antara gambar yang dikongsi, Port Klang dan pulau-pulau di sekitarnya tenggelam sepenuhnya pada tahun 2050 (Kredit gambar: CentGPS/ Twitter)

Menerusi laman web Climate Central, kita boleh menggunakan Coastal Risk Screening Tool untuk melihat sendiri kesan peningkatan paras air laut terhadap bandar-bandar di Malaysia. Sememangnya anggaran bagi tahun 2050 menunjukkan gambaran yang hampir serupa dengan yang dikongsi oleh CentGPS. Namun begitu, tidak banyak perbezaan jika dibandingkan dengan anggaran bandar tenggelam bagi tahun 2030. Climate Central memberitahu bahawa memandangkan peta itu menggunakan set data besar, sudah tentu ralat akan berlaku dalam anggarannya. Data yang digunakan adalah lebih tepat bagi Amerika Syarikat berbanding tempat-tempat lain di dunia. 

 

C40 Cities, sebuah rangkaian yang merangkumi wakil daripada hampir 100 bandar-bandar di dunia termasuk Kuala Lumpur telah menjalankan sebuah kajian yang lebih terkini. Kuala Lumpur telah dikenal pasti sebagai salah satu bandar yang akan terkesan dengan banjir, sama ada banjir dari paras air sungai tinggi atau banjir akibat hujan lebat. Melihat kepada peta yang dijana di dalam laman web kajian tersebut, Kuala Lumpur akan lebih terkesan akibat banjir hujan berbanding banjir air sungai. Menjelang 2050, Kuala Lumpur akan mengalami peningkatan sebanyak 50% hingga 100% banjir hujan. C40 Cities juga menganggarkan kesan banjir air sungai di Kuala Lumpur akan mengakibatkan kerugian melebihi RM350 per kapita setiap tahun.

 

Sebuah kajian lain mengenal pasti kesan peningkatan paras air laut terhadap kawasan pesisiran pantai di Malaysia. Kenaikan paras air laut sebanyak satu meter dianggarkan akan menyebabkan kehilangan sebanyak 180,000 hektar kawasan pertanian dan 15% hingga 20% hutan bakau di pesisir pantai. Sebagai contoh, kawasan pantai di Selangor telah mengalami hakisan tanah sebanyak 1,878.5 hektar. Banjir pesisir pantai di Johor mengakibatkan kerugian ekonomi sebanyak RM2.4 bilion. Kajian juga membuat anggaran terhadap kehilangan kawasan pembangunan akibat banjir ini dan mendapati banyak bandar di Malaysia akan menghadapinya terutamanya Batu Pahat (100%), Port Klang (40.67%) dan Kedah (38.57%).

 

Beberapa bandar di Malaysia berisiko tenggelam

Berdasarkan kajian-kajian yang dijalankan, benar bahawa beberapa bandar di Malaysia menghadapi risiko untuk tenggelam menjelang 2050. Walau bagaimanapun, perkara ini bukan bermaksud bandar-bandar akan tenggelam sepenuhnya seperti yang dikongsikan oleh CentGPS. Pada masa yang sama, penting untuk kerajaan terus menjalankan usaha-usaha mitigasi untuk mengelak bandar-bandar daripada tenggelam akibat peningkatan paras air laut dan banjir. Contohnya cadangan wakil rakyat Klang, Charles Santiago, supaya kerajaan memperkenalkan konsep “sponge city” yang diamalkan China atau “drip irrigation” di India.


Rujukan:

1. https://www.therakyatpost.com/living/2019/11/06/9-msian-cities-will-be-underwater-by-2050-due-to-rising-sea-levels/
2. https://www.climate.gov/news-features/understanding-climate/climate-change-global-sea-level
3. https://education.nationalgeographic.org/resource/sea-level-rise
4. https://www.iges.or.jp/sites/default/files/inline-files/12_NAHRIM%20Impact%20of%20Climate%20Change_1.pdf
5. https://go.climatecentral.org/coastaldem/
6. https://malaysia.news.yahoo.com/cities-gone-underwater-2050-rising-065615072.html
7. https://coastal.climatecentral.org/
8. https://www.c40.org/about-c40/
9. https://storymaps.arcgis.com/stories/75508f9fac8c43bda366ae545fb60ec8
10. https://cas-platform.com/c40/risk-impact-riverine-flooding-v2/
11. https://iopscience.iop.org/article/10.1088/1755-1315/228/1/012023/pdf
12. https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/03/08/klang-bakal-tenggelam-pada-2050-akibat-perubahan-iklim-kata-ahli-parlimen/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago