Adakah Berus Gigi ‘Soft Bristle’ Lebih Baik Untuk Membersihkan Gigi?

Benar
Adakah Berus Gigi ‘Soft Bristle’ Lebih Baik Untuk Membersihkan Gigi?

Terdapat berus gigi dengan kekerasan bulu atau 'bristle' yang pelbagai bermula dengan paling keras hinggalah ke 'ultra-soft'

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 16/02/2024 - Disunting : 16/02/2024

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Berus Gigi ‘Soft Bristle’ Lebih Baik Untuk Membersihkan Gigi?

Berus gigi mempunyai bulu atau ‘bristles’ yang berfungsi dalam membersihkan kotoran di permukaan dan di celah-celah gigi. Terdapat beberapa jenis bulu berus gigi seperti bulu lembut, sederhana dan keras. Sesetengah orang beranggapan berus gigi dengan bulu keras adalah lebih berkesan bagi membersihkan gigi. 

Namun begitu, terdapat juga individu yang memilih berus gigi berbulu lembut kerana ia dikatakan dapat mencuci gigi dan mulut dengan lebih berkesan. Persoalannya, berus gigi yang manakah lebih elok digunakan?

 

Sejarah berus gigi

Berus gigi telah lama dicipta oleh manusia. Menurut American Dental Association (ADA), antara berus gigi terawal adalah ranting kecil yang digunakan bagi menyingkirkan sisa makanan dan lain-lain di celah gigi. 

Ia kemudiannya mula digunakan dengan ‘bristles’ yang dihasilkan daripada bulu babi hutan. Berus gigi moden dengan bulu nilon yang digunakan kini telah diciptakan pada tahun 1930. Pada masa yang sama, terdapat pelbagai pilihan berus gigi seperti berus gigi elektronik dan berus gigi bulu lembut.

Bagi umat Islam pula, pasti tahu bahawa Rasulullah SAW membersihkan gigi (bersiwak) menggunakan kayu sugi dan amalan itu menjadi satu sunah. Namun amalan ini bukanlah khusus bagi umat Islam kerana ia telah mula diamalkan oleh manusia zaman pemerintahan Babylon lebih 2,000 tahun dahulu.

Kredit: Fajar Ramadhani Al Hadis Syam/ Pixabay

 

Kekerasan bulu berus gigi

Berdasarkan laman web University of Pennsylvania, setiap berus gigi berfungsi untuk menangani dua masalah, iaitu menghilangkan plak dan mengelakkan gusi daripada terhakis. Berikut merupakan penjelasan mengenai berus gigi dengan kekerasan bulu berlainan:

 

Extra Soft

Berus gigi dengan bulu lebih lembut adalah berus khas yang biasanya digunakan bagi mereka yang mengalami masalah gusi menyusut, radang gusi (gingivitis) dan periodontitis. Pakar periodontik yang tumpu ke atas pencegahan dan rawatan penyakit gusi boleh membantu pesakit menggunakan teknik yang betul menggunakan berus gigi extra soft supaya tidak lagi merosakkan gusi.

 

Lembut

Mungkin ada yang menganggap berus gigi lembut kurang efektif seperti yang berbulu keras. Sebenarnya, teknik memberus gigi dengan betul adalah lebih penting berbanding kekerasan bulu dan kekuatan memberus gigi.

Akan tetapi, memberus dengan kuat menggunakan berus gigi lembut boleh menyebabkan masalah yang sama seperti menggunakan berus gigi sederhana atau keras.

 

Sederhana

Berus gigi dengan kekerasan bulu sederhana dapat menyingkir plak sama seperti bulu lembut. Namun begitu, ia lebih berisiko merosakkan gusi dan boleh menyebabkan gusi menjadi nipis.

 

Keras

Orang ramai sering menganggap berus gigi jenis ini adalah lebih berkesan bagi membersihkan gigi berbanding berus gigi bulu lembut. Walau bagaimanapun, penggunaan berus gigi bulu keras dalam jangka masa panjang akan menghakis enamel gigi. 

Menurut Colgate, satu syarikat penjagaan kesihatan mulut terkenal, rata-rata doktor gigi memberi saranan agar menggunakan berus gigi bulu lembut berbanding yang sederhana atau keras. Mereka mungkin akan mencadangkan penggunaan berus gigi extra-soft bagi individu yang mempunyai gigi sensitif dan tanda-tanda gigi terhakis.

 

Kajian ke atas penggunaan kekerasan bulu pada berus gigi

Satu penyelidikan telah mengenal pasti beberapa faktor ketika memberus gigi yang boleh menyebabkan lebih banyak kerosakkan pada gigi dan gusi. Penggunaan berus gigi bulu keras dengan kekerapan dan kekuatan menggosok gigi yang tinggi boleh bertindak sebagai faktor bersama dalam menyebabkan lesi serviks bukan karies (non-cervical carious lesions, NCCL).

Rujukan ke atas 13 kajian mendapati kekerasan bulu berus gigi sebagai salah satu faktor yang menyebabkan gusi menyusut (resesi gingiva). Faktor-faktor lain termasuk kekerapan memberus gigi, kekerapan menukar berus gigi dan memberus menggunakan kaedah datar.

Masalah resesi gingiva pada gusi. Sumber: Dental Press Journal of Orthodontics

Terdapat juga penyelidikan yang dijalankan bagi mengkaji penggunaan berus gigi lembut dan sederhana dengan kekuatan menggosok terhadap dentin gigi yang terletak di bawah lapisan enamel. Menggunakan berus gigi sederhana dengan kekuatan menggosok yang semakin meningkat akan menyebabkan hakisan yang sangat tinggi pada dentin berbanding apabila menggunakan berus gigi lembut.

Menggosok gigi menggunakan berus gigi sederhana juga didapati boleh lebih banyak menyebabkan permukaan bahan nanohibrid yang digunakan bagi membaiki gigi rosak lekuk atau menjadi kasar.

Kajian lain mendapati berus gigi keras menyebabkan lebih banyak lesi gusi (gingival lession) berbanding berus gigi bulu sederhana dan lembut. Sebagai info tambahan gusi juga lebih banyak sedikit menyusut jika menggunakan berus gigi dengan bulu berhujung bulat (end-rounded) berbanding yang berbentuk runcing (tapered). Kajian tersebut menyimpulkan bahawa berus gigi lembut dan extra-soft adalah lebih selamat untuk kesihatan gigi dan gusi.

Sebagai maklumat tambahan, berus gigi extra-soft didapati dapat mengurangkan indeks plak pada tahap garis dasar (baseline), tetapi bukan pada tahap optimum.

 

Berus gigi lembut dan ‘extra-soft’ kurang menyebabkan masalah gigi dan gusi berbanding berus gigi sederhana dan keras

Walaupun berus gigi berbulu keras dipercayai akan dapat lebih membersihkan gigi, namun tidak banyak bezanya jika menggunakan berus gigi berbulu lembut kerana kebersihan gigi bergantung kepada teknik menggosok.

Berus gigi perlu dipegang agar bulunya menghadap garis gusi, iaitu sekitar 45 darjah, dan memberus dalam bentuk bulatan untuk membuang plak. 

Sumber: YouTube NHS England Workforce, Training and Education

Memberus gigi dan gusi dengan terlalu kuat boleh merosakkan kesihatan gusi. ADA mengesyorkan agar individu memberus gigi menggunakan berus gigi lembut selama dua minit pada setiap sesi untuk mendapatkan hasil optimal.

Untuk menyingkirkan plak pada gigi, jangan gunakan berus gigi keras kerana ia boleh mengakibatkan masalah lain seperti gusi susut dan dentin terhakis. Sebaliknya, berjumpa dengan doktor gigi yang boleh mencuci gigi dengan selamat tanpa menyebabkan masalah mulut yang dikaitkan dengan penggunaan berus gigi keras. 


Rujukan:

1. https://mypenndentist.org/dental-tips/2019/01/09/soft-vs-hard-toothbrush/
2. https://www.colgate.com/en-my/oral-health/selecting-dental-products/soft-vs-hard-toothbrush
3. https://www.majalahsains.com/kayu-sugi-masih-menjadi-pilihan/
4. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/24993269/
5. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/25495508/
6. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC8597153/
7. https://iopscience.iop.org/article/10.1088/1742-6596/884/1/012008/pdf
8. https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S002065392032181X
9. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC7921760
10. YouTube NHS England Workforce, Training and Education

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 9 months ago