Adakah Bursa Malaysia Menurun Ketika Pakatan Harapan Memerintah Negara?

Benar
Adakah Bursa Malaysia Menurun Ketika Pakatan Harapan Memerintah Negara?

Bursa Malaysia menamatkan bull run terpanjang dunia pada Februari 2020

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 20/10/2022 - Disunting : 20/10/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Bursa Malaysia Menurun Ketika Pakatan Harapan Memerintah Negara?

Seorang pengguna Twitter, Max Muaz, telah membuat kenyataan bahawa Kuala Lumpur Stock Exchange (KLSE), atau gelaran barunya Bursa Malaysia, telah menjunam dan menjadi bearish sejak Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Mari kita semak jika benar ia terjadi dan mengapa ia terjadi.

 

Bursa saham, pasaran bear dan pasaran bull

Sebelum mengupas lebih lanjut mengenai Bursa Malaysia, penting untuk kita memahami mengenai bursa saham dan terma-terma yang berkaitan. Bursa saham merujuk kepada pasaran jual beli sekuriti seperti pelaburan, unit amanah dan bon. Indeks bearish atau pasaran bear yang disebut adalah situasi ketika mana harga sekuriti jatuh 20% atau lebih daripada kadar tertinggi sebelum itu. Ia disebabkan oleh penyebaran sikap pesimis dan sentimen negatif pelabur terhadap suatu pasaran saham.

Sebaliknya, apabila harga aset telah meningkat atau dijangkakan akan meningkat, ia dikenali sebagai indeks bullish atau pasaran bull. Pasaran bull juga sering kali diterangkan sebagai kenaikan harga bursa sebanyak 20% selepas penurunan 20% sebanyak dua kali.

 

Trend Bursa Malaysia

Menurut laman web Bloomberg, Malaysia sebelum ini merupakan negara dengan bull run indeks ekuiti terpanjang di dunia. Memegang rekod selama 12 tahun, Malaysia tidak pernah memasuki pasaran bear sejak kali terakhir pada tahun 2008. Graf di bawah menunjukkan harga pasaran yang meningkat bermula akhir tahun 2008 dan turun menjunam buat seketika pada tiga bulan pertama tahun 2020. 

 

Bull run Bursa Malaysia bermula pada 2008 sehingga Februari 2020
Sumber: yahoo!finance

Sebelum pasaran Bursa Malaysia dilaporkan menjadi bearish pada 24 Februari 2020, indeks KLSE sudah mula menunjukkan penurunan pada April 2018 daripada antara harga tertinggi dalam bull run Bursa Malaysia. Perkara ini bermakna indeks Bursa Malaysia telah mula menurun sebelum parti PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018. 

 

Bursa Malaysia di bawah pemerintahan Pakatan Harapan
Sumber: yahoo!finance

Malaysia sekali lagi mengalami ketidakstabilan politik apabila Langkah Sheraton berlaku dan Perdana Menteri ke-7 Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan pada 24 Februari 2020. Perkara ini telah meningkatkan aliran keluar bersih dari Bursa Malaysia sehingga mencecah RM1.15 bilion jualan bersih. Indeks Bursa Malaysia semakin menurun menjelang pertengahan Mac 2020 disebabkan oleh COVID-19 dan perintah kawalan pergerakan yang mempengaruhi sentimen pasaran.

 

Bursa Malaysia menurun ketika Pakatan Harapan memerintah 

Jelas bahawa Bursa Malaysia telah menurun di bawah pemerintahan PH, dengan penurunan telah bermula sejak April 2018. Peniaga percaya bahawa pelabur asing menjadi berjaga-jaga untuk melabur ke dalam pasaran saham Malaysia kerana kenyataan kerajaan ketika itu mengenai hutang negara yang mencecah RM1 trilion serta penyiasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Walau bagaimanapun, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, seorang Penganalisis Ekonomi berkata penurunan indeks itu konsisten dengan penurunan pasaran serantau dan disebabkan oleh faktor global seperti hasil negatif bagi rundingan peperangan dagang antara Amerika Syarikat dan China, serta rundingan damai senjata nuklear Korea Utara.

Di samping itu, untuk mengatakan kerajaan PH yang menyebabkan pasaran saham Malaysia menjadi bearish adalah tidak benar. Walaupun indeks Bursa Malaysia menunjukkan penurunan semasa tempoh pemerintahan PH, jelas bahawa ia menjadi bearish disebabkan oleh Langkah Sheraton dan ketidakstabilan politik yang berlaku sejak itu. 


Rujukan:

1. https://www.bloomberg.com/news/articles/2020-02-24/world-s-longest-bull-run-set-to-end-amid-malaysia-power-upheaval
2. https://www.astroawani.com/berita-bisnes/bursa-malaysia-dibuka-rendah-233953
3. https://www.bharian.com.my/bisnes/pasaran/2018/05/429148/bursa-malaysia-susut-hampir-30-mata

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago