Adakah Dasar Ekonomi ‘Trickle-Down’ Berkesan Dalam Pembangunan Ekonomi Negara?

Salah
Adakah Dasar Ekonomi ‘Trickle-Down’ Berkesan Dalam Pembangunan Ekonomi Negara?

Elaun cukai pelaburan yang dicadangkan di bawah Belanjawan 2024 dikaitkan dengan ‘trickle-down economy’ yang berdepan dengan kritikan orang ramai

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 18/10/2023 - Disunting : 18/10/2023

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Dasar Ekonomi ‘Trickle-Down’ Berkesan Dalam Pembangunan Ekonomi Negara?

Pembentangan Belanjawan 2024 telah dilakukan pada 13 Oktober lalu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bertemakan ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’, ia memperuntukkan RM393.8 bilion iaitu belanjawan tertinggi dalam sejarah. Daripada jumlah ini, RM303.8 bilion adalah belanja mengurus, RM90 bilion belanja pembangunan dan RM2 bilion menjadi simpanan luar jangka.

Anwar berkata “pendekatan insentif berasaskan keberhasilan ialah satu dimensi baharu yang menggunakan sistem ‘tiering’ dalam pemberian insentif”. Antara inti pati pembentangan adalah berkenaan cukai pelaburan bagi perniagaan. Belanjawan 2024 mencadangkan supaya galakan cukai pelaburan semula secara ‘tiering’ diberikan kepada syarikat dalam bentuk elaun cukai pelaburan antara 70% hingga 100%.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berpendapat cadangan tersebut berkaitan dengan dasar ‘trickle-down economics’ dan mempunyai potensi untuk meningkatkan pelaburan modal dalam negara. Perkara ini menyebabkan orang ramai mempersoalkan keberkesanan dasar ‘trickle-down economics’. Hantaran kali ini akan menyemak sama ada dasar ini dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

 

Elaun Cukai Pelaburan

Sebelum itu, penting untuk memahami tentang Elaun Cukai Pelaburan. Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), elaun in merupakan sebahagian daripada insentif atau galakan percukaian yang diberikan oleh kerajaan terhadap perniagaan. Ia diberi atas perbelanjaan modal yang dilakukan dalam suatu tempoh oleh syarikat yang menyertai atau bercadang untuk menyertai dalam aktiviti digalakkan atau menghasilkan produk digalakkan oleh kerajaan. 

Elaun ini tertakluk di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986. Kadar dan tempoh masa elaun berbeza mengikut kepada kategori syarikat.

 

Dasar ‘trickle-down economics’

Teori ‘trickle-down economics’ menjelaskan bahawa pengecualian cukai dan bantuan lain bagi syarikat dan golongan kaya akan mengalir ke bawah dan membawa kebaikan bagi seluruh golongan masyarakat. Antara contoh bantuan yang diberikan dan dapat dikaitkan dengan polisi ini adalah pengurangan cukai pendapatan, pengurangan cukai keuntungan modal malah elaun cukai.

Ia dikatakan akan meningkatkan lagi kekayaan golongan kaya yang kemudiannya akan membelanjakan wang mereka. Wang ini seterusnya akan mengalir ke seluruh masyarakat dan meningkatkan kekayaan semua. Kekayaan dikongsi apabila terdapat permintaan ke atas barangan dan perkhidmatan yang berlebihan daripada golongan kaya yang dapat meningkatkan kemampuan majikan untuk mengupah lebih ramai orang dan meningkatkan gaji.

Menurut pakar ekonomi H. W. Arndt dalam kertas kajiannya pada tahun 1983, mendapati asas ‘trickle-down economy’ pertama kali disebut dalam satu artikel yang diterbitkan pada tahun 1933. Penulis merupakan Jawaharlal Nehru iaitu Perdana Menteri India ketika itu. Dia berkata eksploitasi ke atas negara India dan negara jajahan lain menghasilkan banyak kekayaan buat England sehingga setengah daripadanya ‘trickle-down’ kepada golongan pekerja dan meningkatkan taraf hidup mereka.

Jawaharlal Nehru merupakan Perdana Menteri India pertama. Kredit gambar: Wikipedia

Dasar ekonomi ini telah digunakan oleh parti politik kanan di bawah Presiden Amerika Syarikat (AS) Ronald Reagan dan Perdana Menteri United Kingdom (UK) Margaret Thatcher pada era 1980-an. Ia kemudiannya diguna pakai semula di AS ketika pemerintahan George W Bush dan Donald Trump.

Perdana Menteri UK Liz Truss merupakan ketua parlimen yang berkhidmat hanya 44 hari pada tahun 2022, paling singkat dalam sejarah parlimen di sana. Truss meletak jawatan apabila strategi ‘trickle-down economy’ yang dilakukannya menyebabkan kacau-bilau dalam pasaran kewangan dan pergaduhan politik dalaman.

Liz Truss merupakan Perdana Menteri tersingkat United Kingdom yang berkhidmat dari September hingga Oktober 2022. Kredit gambar: Wikipedia

Kerajaan UK ketika itu tidak menggelarnya sebagai polisi ‘trickle-down economy’, sebaliknya usaha ekonominya dikenali sebagai ‘supply-side reform’. Ia merupakan satu konsep bahawa peningkatan dalam penghasilan bekalan akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi. Perkara ini boleh dilakukan melalui potongan cukai dan pengawalan oleh kerajaan yang dikurangkan.

Sebenarnya, perkara ini tidak berbeza dengan ‘trickle-down economics’ kerana seperti yang dipersetujui oleh penyokong ‘supply-side’ sendiri, peningkatan penghasilan akan menyebabkan efek ‘trickle-down’ apabila syarikat berkembang dan akan mengupah lebih pekerja.

 

Kritikan terhadap ‘trickle-down economics’

Seperti yang terjadi di UK dan AS, dasar ‘trickle-down economics’ ini telah berkali-kali dibuktikan menyebabkan kegagalan dalam pertumbuhan ekonomi negara. 

The Guardian, dalam satu artikelnya berkata apabila cukai dikurangkan untuk golongan kaya sewaktu zaman Reagan dan Bush, ketidaksamaan pendapatan meningkat. Antara tahun 1979 dan 2005, pendapatan golongan kaya 1% teratas meningkat tiga kali ganda sedangkan mereka yang berada pada tahap 20% pendapatan terendah menerima peningkatan hanya 6%. Perkara ini sebaliknya digelar ‘trickle up’.

‘Trickle-down economics’ dipercayai telah mula-mula dikritik oleh Arndt yang menggelarnya sebagai satu mitos kerana ia tidak pernah disahkan oleh sebarang pakar ekonomi pembangunan sewaktu penulisannya dilakukan, hampir 40 tahun setelah ‘teori’ itu diguna pakai secara meluas.

 

Analisis oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam kertas kajiannya bertajuk ‘Causes and Consequences of Income Inequality: A Global Perspective’ mendapati pengagihan pendapatan sebagai pemboleh ubah yang penting dalam pertumbuhan ekonomi. Jika bahagian pendapatan golongan kaya 20% teratas meningkat, perkembangan keluaran dalam negara kasar (KDNK) akan menurun dalam jangka masa sederhana, yang bermakna faedah tidak ‘trickle down’. Sebaliknya, peningkatan pendapatan golongan miskin 20% terbawah boleh menyebabkan pertumbuhan KDNK yang lebih tinggi.

IMF juga, ketika pelaksanaan strategi ekonomi oleh kerajaan Truss, berkata perkara itu kemungkinan akan meningkatkan ketidaksamaan serta meminta UK untuk menilai semula polisi pencukaian terutamanya yang memberi kelebihan kepada golongan kaya.

 

Pengkaji dari London School of Economics and Political Science dan King’s College telah melakukan analisis ke atas data dari 18 negara OECD bagi tempoh masa 50 tahun. Kajian itu bertujuan untuk menganggar kesan pemotongan cukai bagi golongan kaya terhadap ketidaksamaan pendapatan, pertumbuhan ekonomi dan pengangguran. Mereka mendapati potongan cukai meningkatkan ketidaksamaan pendapatan seperti yang diukur oleh 1% pendapatan negara sebelum cukai teratas (as measured by the top 1% share of pre-tax national income.). Manakala, pertumbuhan ekonomi dan pengangguran tidak terkesan dengan polisi tersebut.

Jacob Mallinder dari Finance Monthly berkata pelaksanaan polisi ‘trickle-down economics’ menyebabkan golongan kaya menjadi semakin kaya kerana mereka tidak menggunakan kekayaan yang berlebihan. Sebaliknya, wang tersebut disimpan, kebiasaannya di dalam akaun ‘off-shore’. Perkara ini bermakna wang yang tidak dibelanjakan tidak meningkatkan perbelanjaan pengguna, kadar pekerjaan dan pendapatan kerajaan dalam jangka masa panjang.

Dalam masa yang sama, Mallinder berpendapat bahawa polisi ‘trickle-up’ lebih berkesan dalam perkembangan ekonomi dan boleh dilakukan melalui potongan cukai bagi golongan pendapatan pertengahan dan miskin. 

 

Pihak kami turut menghubungi ahli dan pengkaji ekonomi dalam mendapatkan pandangan mereka. Pakar ekonomi negara, Tan Sri Dr Ramon Navaratnam berkata ‘trickle-down economics’ menyebabkan pembaziran dan disalah guna bukan sahaja oleh golongan kaya, malah pegawai kerajaan juga. Navaratnam percaya bahawa intervensi dan subsidi secara terus adalah lebih efektif dalam membantu golongan miskin.

Yugendran T Kannu Sivakumaran yang bertugas sebagai Pembantu Penyelidik di Bait Al Amanah, merujuk kepada artikel “United for a Fair Economy” berkenaan cukai, berkata individu di AS dengan pendapatan sekitar $250,000, secara purata hanya membelanjakan 15% hingga 35% daripada jumlah itu. Tambahan lagi, banyak syarikat besar lebih memilih untuk mengagihkan keuntungan tambahan sebagai dividen untuk meningkatkan harga saham mereka.

 

‘Trickle down economics’ terbukti tidak meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara

Berdasarkan carian kami, tiada bukti ‘trickle down economics’ sebagai dasar yang bagus untuk ekonomi negara ditemui. Walaupun dasar ini dikatakan telah berjaya menghentikan kemelesetan ekonomi AS pada era 1980an, ia juga telah meningkatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak 2.5% setahun dan hutang persekutuan meningkat tiga kali ganda.

IMF berkata kerajaan perlu beri lebih perhatian ke atas polisi yang akan membantu golongan pertengahan dan miskin secara langsung, daripada berharap ke atas ‘trickle down economics’. Menurutnya, golongan ini adalah lebih penting bagi pertumbuhan negara melalui beberapa saluran ekonomi, sosial dan politik.

Berbalik kepada cadangan yang diutarakan dalam Belanjawan 2024, tidak dinyatakan secara langsung bahawa ia menggunakan dasar ‘trickle-down economics’. Malah, dalam satu penerbitan oleh ISEAS – Yusof Ishak Institute pada tahun 2020, Anwar dikatakan telah menolak ‘trickle-down economics’ sebelum ini. Dia berkata terma itu digunakan sebagai justifikasi yang lemah bagi faedah kolateral yang dicipta oleh kapitalis. Sebaliknya, Anwar mahukan satu polisi sosial yang bertindak atas dasar keadilan sosial dan kemapanan.


Rujukan:

1. https://www.investopedia.com/terms/t/trickledowntheory.asp
2. https://www.finance-monthly.com/2023/06/economy-101-trickle-down-economics/
3. https://www.jstor.org/stable/1153421
4. https://www.theguardian.com/business/2022/sep/20/liz-truss-favours-trickle-down-economics-but-results-can-be-trickle-up
5. https://www.cnbc.com/video/2022/10/25/how-trickle-down-economics-backfired-on-liz-truss.html
6. https://www.investopedia.com/terms/s/supply-sidetheory.asp
7. https://www.imf.org/external/pubs/ft/sdn/2015/sdn1513.pdf
8. https://www.cnbc.com/2022/09/28/imf-gives-damning-verdict-on-britains-tax-cuts.html
9. https://academic.oup.com/ser/article/20/2/539/6500315
10. https://www.iseas.edu.sg/wp-content/uploads/2020/12/TRS18_20.pdf

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago