Adakah Dinosaur Wujud Di Zaman Kuno Malaysia?

Benar
Adakah Dinosaur Wujud Di Zaman Kuno Malaysia?

Fosil dinosaur telah ditemui di kesemua tujuh benua dunia

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 26/10/2022 - Disunting : 26/10/2022

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Dinosaur Wujud Di Zaman Kuno Malaysia?

Dinosaur merupakan sejenis haiwan reptilia purba yang hidup di muka bumi sewaktu era Mesozoic sekitar 252-266 milion tahun dahulu. Jenis dinosaur adalah berbeza mengikut zaman-zaman di bawah era Mesozoik iaitu zaman Trias (Triassic), Jurasik (Jurassic) dan Batu Kapur (Cretaceous). 

Dinosaur sering dikaitkan dengan sejarah dan budaya Barat seperti melalui filem Jurassic Park dan kewujudan fosil-fosil dinosaur di American Museum of Natural History. Namun begitu, kewujudan dinosaur juga turut ditemui di tanah besar China. Sebelum geografi dunia moden terbentuk, kawasan asia tenggara pernah bergabung dengan kawasan lain dalam sebuah Superbenua Pangea yang mula berpecah ketika zaman Jurasik. Persoalannya, adakah dinosaur turut wujud di zaman purba Malaysia?

Kredit: Britannica

 

Penemuan fosil dinosaur di Malaysia

Kira-kira 8 tahun lepas, negara telah dikejutkan dengan penemuan fosil dinosaur buat pertama kalinya di tanah air. Pada Ogos 2013, sekumpulan ahli paleontologi dari Universiti Malaya (UM) dan dua universiti di Jepun telah membuat penemuan fosil gigi dinosaur di Pahang. Gigi tersebut adalah milik dinosaur Spinosaurid, sejenis dinosaur karnivor separa-akuatik. Kumpulan yang sama sekali lagi menemui fosil gigi dinosaur pada November 2014, kali ini milik sejenis dinosaur Ornithischian. Ia ditemui dalam pembentukan batu sedimen yang terbentuk sejak zaman Batu Kapur juga di Pahang.

Kumpulan dinosaur Ornithischian. Kredit gambar: UCMP Berkeley University

Pada tahun yang sama, penyelidik dari beberapa buah universiti di Malaysia telah mengadakan sebuah ekspidisi bergelar Ekspedisi Gagau-Menjejak Dinosaur 2014. Melalui ekspedisi tersebut, mereka telah menemui fosil dinosaur dalam bentuk tapak kaki, tulang dan gigi di Gunung Gagau yang terletak di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. Fosil yang ditemui tersebut bukanlah dari satu spesies dinosaur, tetapi dari tiga kumpulan dinosaur Iguanodontid, Sauropod, dan Theropod. Kesemua fosil itu dianggarkan berusia 200 hingga 65 juta tahun dahulu. 

Tyrannosaurus rex adalah salah satu spesies dinosaur Theropod
Kredit gambar: Markus Spiske/ Unsplash

Berita terkini tentang penemuan kewujudan dinosaur di Malaysia adalah pada tahun 2020 di Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan. Setelah penyelidikan dijalankan sejak tahun 2017, kumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya menemui tujuh kesan tapak kaki berusia di antara 66 juta hingga 160 juta tahun. Berdasarkan saiz yang besar dengan purata panjang 72cm dan purata lebar 66cm, ia didakwa milik sejenis dinosaur Sauropod. Sebelum penemuan ini, penyelidik pernah membuat dakwaan bahawa Taman Negara Kuala Koh mungkin pernah didiami dinosaur dari kumpulan Theropod dan Sauropod.

Spesies dinosaur sauropod gergasi. Kredit: KoprX/ Wikimedia

 

Dinosaur pernah mendiami Malaysia pada era Mesozoic

Dengan ketiga-tiga penemuan fosil dinosaur di Malaysia, jelas bahawa tanah Malaysia suatu ketika dahulu pernah didiami oleh pelbagai spesies dinosaur. Arham Muchtar Achmad Bahar, pensyarah di UMK berharap supaya penemuan fosil dinosaur mendapat maklum balas positif semua pihak bagi meneruskan kajian. Katanya, mungkin terdapat banyak fosil dinosaur lain yang masih belum ditemui di dalam batuan di Bukit Panau. 


Rujukan:

1. https://www.amnh.org/dinosaurs/dinosaur-facts
2. https://www.nhm.ac.uk/discover/dino-directory/country/china/gallery.html
3. https://www.britannica.com/science/Jurassic-Period
4. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/fosil-gigi-dinosaur-pemangsa-spinosaurid-ditemui-di-pahang-30333
5. https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2014/11/13/fosil-dinosaur-kedua
6. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/721529/7-fosil-tapak-kaki-dinosour-ditemui-di-bukit-panau

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago