Adakah Duduk Lama Boleh Menyebabkan Masalah Kesihatan?

Benar
Adakah Duduk Lama Boleh Menyebabkan Masalah Kesihatan?

Rata-rata ramai yang sering duduk lama terutamanya apabila melakukan kerja

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 20/03/2023 - Disunting : 20/03/2023

Keputusan:Benar

Petition to

Adakah Duduk Lama Boleh Menyebabkan Masalah Kesihatan?

Seorang pengguna Twitter, Jimmy Mackey, mendakwa bahawa duduk lebih 6 jam sehari boleh merosakkan badan sama seperti merokok. Mari kita semak berkenaan perkara ini. 

Duduk lama

Sebenarnya berapa lamakah yang didefinisikan sebagai duduk lama? Melihat kepada pelbagai kajian yang dijalankan, duduk hanya 2 jam secara berterusan sudah dianggap sebagai duduk lama. Individu yang duduk 6 hingga 8 jam sehari, terutamanya apabila melakukan kerja, dilihat duduk terlalu lama. 

Duduk lama dikenal pasti sebagai gaya hidup yang tidak aktif yang menyebabkan pelbagai risiko kesihatan. Apabila seseorang duduk lama, otot-otot akan mulai rileks dan menggunakan sedikit glukosa yang terkandung dalam darah untuk menghasilkan tenaga. Perkara ini meningkatkan kandungan gula dalam darah seterusnya menyebabkan pelbagai masalah kesihatan.

 

Kesan ke atas kesihatan akibat duduk lama

Menurut National Health Services (NHS) United Kingdom, kadar metabolisme badan akan menurun jika duduk terlalu lama, seterusnya mempengaruhi kemampuan badan untuk mengawal kadar gula dalam darah dan tekanan darah serta memecahkan lemak. Keadaan ini kemudiannya meningkatkan risiko menghadapi diabetes jenis 2, berat badan berlebihan dan obes, beberapa jenis kanser dan kematian pada usia awal. 

Duduk juga boleh meningkatkan tahap sakit kerana ia akan mengetatkan dan menegangkan sendi-sendi di fleksor pinggul dan otot hamstring yang mengganggu perjalanan dan keseimbangan badan. Selain itu, fleksor pinggul dan hamstring yang ketat boleh menyebabkan sakit belakang bahagian bawah dan kekejangan lutut. 

Selain metabolisme, gaya hidup tidak sihat turut mempengaruhi hormon, kadar kolestrol, insulin, malah kemampuan untuk memperbaharui sel otak yang seterusnya memberi kesan kepada ingatan. 

Dementia adalah masalah ingatan dan kemampuan berfikir yang mengganggu kehidupan seharian.
Kredit gambar: Robina Weermeijer/ Unsplash

Sebuah kajian ke atas 8,000 individu dewasa mendapati duduk lama meningkatkan risiko kematian akibat apa-apa sebab. Pada masa yang sama, individu yang hanya duduk kurang 30 minit pada satu-satu masa mempunyai risiko terendah. Di samping itu, individu yang menghabiskan sebahagian besar masanya setiap hari dalam posisi duduk lebih berisiko menghadapi masalah kardiovaskular atau kematian akibatnya. 

Memetik laporan oleh Berita Harian, sebuah kajian lagi mendapati duduk selama enam jam secara berterusan dalam jangka masa 15 tahun akan meningkatkan punca kematian sebanyak 40% berbanding mereka yang duduk kurang daripada tiga jam. Tambahan lagi, duduk menonton skrin alatan teknologi selama dua jam menyumbang kepada 50% daripada punca kematian.

 

Berdasarkan analisis ke atas 13 kajian berlainan, individu yang duduk lebih 8 jam sehari tanpa sebarang aktiviti fizikal mempunyai risiko kematian sama seperti mereka yang merokok atau menghidap obesiti. 

Leonie Heron dari Queens University Belfast mendapati banyak duduk memakan anggaran kos £762 juta antara tahun 2016 dan 2017, serta 69,279 kematian pada tahun 2016 di United Kingdom. Heron juga menganggarkan duduk lama menjadi sebab utama kepada 16.9% kes diabetes jenis 2, 4.9% kes penyakit jantung, dan 11.6% kematian oleh pelbagai sebab. Ia juga boleh dikaitkan dengan 7.5% kanser paru-paru, 9% kanser kolon dan 8% kanser endometrial. 

Duduk lama menyebabkan pelbagai masalah kesihatan. Kredit gambar: Olga Kononenko/ Unsplash

Risiko akibat duduk lama boleh diringkaskan seperti berikut:

  • Masalah jantung/ kardiovaskular
  • Dementia 
  • Mengurangkan kesan senaman
  • Diabetes
  • Berat badan berlebihan/ obes
  • Kanser
  • Sakit belakang
  • Vena varikos (varicose vein) – darah terkumpul di kaki
  • Trombosis vena dalam (deep vein thrombosis) – darah beku membentuk di kaki
  • Osteoporosis (tulang lemah)

 

Kaitan duduk lama dengan penyakit jantung

Pakar kardiologi Yale, Dr Rachel Lampert, berkata gaya hidup tidak aktif adalah faktor kepada pelbagai penyakit kardiovaskular, iaitu sebab utama kematian bagi kedua-dua lelaki dan wanita. Duduk lama akan menyebabkan berat badan meningkat dan mempengaruhi tekanan darah, kedua-duanya meningkatkan risiko serangan jantung. 

Duduk lama meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung sebanyak dua kali ganda berbanding jika melakukan kerja dalam posisi berdiri. Berdasarkan sebuah kajian oleh Jurnal Pencegahan Kardiovaskular Eropah, individu yang mempunyai penyakit jantung dan sering duduk lama lebih berisiko mengalami serangan jantung teruk berbanding mereka yang aktif. 

Risiko penyakit kardiovaskular meningkat dalam individu yang sering duduk lama.
Kredit gambar: Robina Weermeijer/ Unsplash

Walaupun pesakit jantung aktif bersenam setiap hari, mereka berisiko mengalami serangan teruk jika duduk selama purata lapan jam sehari. Menurut Dr Stephanie Prince daripada University of Ottawa, lelaki lebih banyak duduk lama dengan purata empat jam berbanding wanita yang banyak melakukan kerja rumah. 

 

Duduk lama meningkatkan risiko pelbagai masalah kesihatan

Ternyata bahawa duduk lama, walaupun sependek 2 jam secara berterusan, boleh mendatangkan pelbagai risiko terhadap kesihatan seseorang. Kesan-kesan akibat duduk terlalu lama boleh diseimbangkan semula terutamanya melalui senaman. Untuk mengurangkan risiko kesakitan, NHS menasihatkan supaya waktu duduk dikurangkan dan melakukan senaman sekurang-kurangnya 150 minit seminggu

Menurut Keith Diaz dari Columbia University Medical Center, kesan duduk lama boleh dikurangkan hanya dengan berjalan perlahan selama lima minit setiap setengah jam. Walaupun hanya berjalan seminit bagi setiap jam, tekanan darah dapat dikurangkan dalam kadar yang tinggi. 


Rujukan:

1. https://www.health.harvard.edu/pain/the-dangers-of-sitting
2. https://www.nhs.uk/live-well/exercise/exercise-guidelines/why-sitting-too-much-is-bad-for-us/
3. https://www.humanitas.net/health/health/wellness/4107-sitting-more-than-6-hours-per-day-is-bad-for-your-health/
4. https://www.yalemedicine.org/news/sitting-health-risks
5. https://www.bharian.com.my/bhplus-old/2015/12/105156/jangan-duduk-terlalu-lama
6. https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/adult-health/expert-answers/sitting/faq-20058005
7. https://www.inverse.com/article/54342-costs-of-sitting-and-risks-of-death
8. https://www.webmd.com/fitness-exercise/ss/slideshow-sitting-health
9. https://edition.cnn.com/2023/01/12/health/sitting-prolonged-study-wellness/index.html

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 1 year ago