Adakah Durian Tidak Boleh Dimakan Bersama Kopi, Susu dan Coca-Cola?

Salah
Adakah Durian Tidak Boleh Dimakan Bersama Kopi, Susu dan Coca-Cola?

Musim durian yang dinanti-nantikan telah tiba tahun ini

Oleh : Sharifah Nur Syafiqah

Diterbitkan : 04/07/2022 - Disunting : 04/07/2022

Keputusan:Salah

Petition to

Adakah Durian Tidak Boleh Dimakan Bersama Kopi, Susu dan Coca-Cola?

Sudah pasti semua peminat durian sedang menikmati buah durian yang seringkali hanya boleh didapati ketika musimnya. Dalam kegembiraan tersebut, sesetengah orang menganggap kopi, susu dan Coca-Cola tidak boleh diminum sebaik sahaja selepas makan durian. Adakah ini fakta atau sekadar mitos?

Kredit gambar: Olof Nyman/ Pexels

Pasti anda pernah mendengar bahawa kita tidak seharusnya minum kopi setelah makan durian. Dikatakan bahawa kandungan kafein di dalam kopi akan membuatkan kadar jantung seseorang lebih tinggi sehingga boleh menyebabkan serangan jantung. Seorang Pakar Kardiologi, Dr Beni Isman Rusani, telah menafikan kenyataan ini sama sekali kerana serangan jantung terjadi akibat daripada lemak beku di dalam saluran darah dan tidak akan terjadi dengan serta-merta. Institut Jantung Negara (IJN) juga tidak pernah melaporkan sebarang kes serangan jantung akibat campuran kedua makanan dan minuman ini. Malah, produk kopi durian kini telah banyak dijual di pasaran

Coca-Cola merupakan satu lagi minuman yang tinggi dengan kafein dan dipercayai tidak boleh diminum selepas makan durian. Syarikat Coca-Cola sendiri telah mengeluarkan kenyataan yang menjamin seseorang tidak akan mengalami sebarang masalah kesihatan akibat minum Coca-Cola  bersama durian. Walau bagaimanapun, pakar pemakanan Fizah Sobri mengatakan bahawa sumber zat kalium (potassium) yang terkandung di dalam durian tidak akan dapat diserap oleh badan dengan sepenuhnya kerana dihalang oleh kafein. 

Durian turut dilarang untuk diambil bersama susu yang dikatakan akan meningkatkan tekanan darah. Menurut Fizah, tiada sebarang zat di dalam susu dan durian yang boleh meningkatkan tekanan darah. Dr Faridah Abdullah pula berkata susu tidak memudaratkan dan hanya dilarang ke atas pesakit dialisis kerana banyak mengandungi fostat. Oleh itu, durian boleh dimakan bersama susu. Tambahan pula, beliau turut menyatakan bahawa tiada sebarang masalah untuk makan ubat selepas makan durian. 

Kredit gambar: Anita Jankovic/ Unsplash

 

Durian Boleh Dimakan Bersama Kopi, Susu dan Coca-Cola

Menurut kenyataan daripada pakar-pakar pemakanan dan kesihatan, setakat ini tiada bukti bahawa makan durian bersama kopi, susu dan Coca-Cola boleh mengakibatkan masalah kesihatan. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga minuman itu harus diambil dalam kuantiti yang berpatutan kerana kesemuanya mempunyai kandungan yang boleh menyebabkan masalah kesihatan sekiranya diminum terlalu banyak. Golongan berpenyakit pula disarankan untuk berhati-hati dan mendapatkan nasihat doktor apabila mengambil sebarang makanan dan minuman. 

Kredit gambar: Jim Teo/ Unsplash


Durian itu sendiri harus dimakan dalam kadar yang berpatutan. Oleh kerana ia mengandungi kadar gula yang tinggi, pesakit diabetes seharusnya elak daripada makan durian. Kadar kalium yang tinggi di dalam durian juga boleh mengakibatkan hyperkalemia sekiranya durian dimakan dalam jumlah yang amat banyak. Hyperkalemia bererti terlalu banyak kandungan kalium di dalam badan dan boleh menyebabkan masalah jantung. Disebabkan hyperkalemia lebih senang terjadi dalam kalangan pesakit buah pinggang, pesakit dilarang untuk makan durian dengan banyak. Namun begitu, jika kalium diambil dalam kuantiti yang berpatutan, ia boleh menurunkan tekanan darah seterusnya mengurangkan risiko penyakit jantung. Kementerian Kesihatan Malaysia mencadangkan supaya pengambilan durian dihadkan kepada 3 ulas sahaja bagi satu-satu masa


Rujukan:

1. https://gempak.com/berita-terkini/hatihati-ya-ini-6-makanan-yang-tak-boleh-dimakan-bersama-durian-37521
2. https://www.astroawani.com/gaya-hidup/betulkah-tak-boleh-ambil-durian-dan-kopi-pada-masa-sama-181055
3. https://www.techarp.com/science/foods-never-eat-durian-facts/
4. https://twitter.com/rafidah72/status/1270966421565005824
5. https://www.kidney.org/atoz/content/what-hyperkalemia
6. https://www.therakyatpost.com/press-release/2022/06/20/wait-durians-are-actually-healthy/
7. https://www.therakyatpost.com/living/2021/07/04/theres-more-to-the-humble-durian-than-a-roadside-feast/

Updates

More updates...
Sharifah Nur Syafiqah
Sharifah Nur Syafiqah
Mengemukakan petisyen ini 2 years ago